Kalau banyak melakukan kesalahan, memang liat hendak melepaskan kuasa

on Jun 7, 2012



7 JUN 2012  -


Hari demi hari undang-undang ketat yang menghantui rakyat semakin jelas dengan hampirnya pilihanraya umum ke13 ini. Nampaknya kartoon tidak boleh digunakan dalam pilihanraya ini, itu kata Timbalan Pengerusi SPRM. Dr Mahathir pula meminta kebebasan internet disekat dan seperti biasa Rais Yatim dengan pantas ‘merawikan’ kata-kata Dr Mahathir itu.

Tetapi cerita tentang pengundi haram yang didaftarkan dalam senarai pengundi tidak juga diselesaikan oleh SPRM. Pihak berkuasa dan pemimpinnya asyik mentelaah bagaimana hendak sekat pihak pembangkang, tetapi kerja dan tanggungjawabnya untuk membersihkan senarai pengundi yang merupakan asas demokrasi itu sampai kehari ini tidak diindahkan.

Saya dan ramai lagi telah bercakap dan bertanya kenapa kali ini sudah mula timbulnya unsur-unsur menekan seolah-olah ianya membayangkan yang BN tidak mahu menerima keputusan PRU jika  rakyat menolaknya. Dengan penekanan ini maka jelas yang sebenarnya yang akan mewujudkan huru-hara selepas pilihanraya nanti ialah pihak BN.

Zunar, kartoonis begitu berang dengan kecenderungan kartoon digunakan oleh setengah pihak sebagai alat kempen dalam pilihanraya nanti. Zunar akan tetap melukis kartoonnya dan tidak ada apa-apa pun boleh menghalang beliau melukis kartoon yang menjadi bidang kegemaran dan  profesionalisma nya.

Jika seruan Mahathir untuk melakukan sekatan terhadap internet sebagai alat penyampai maklumat bagi pihak pembangkang elok kita bertanya, bagaimana pembangkang hendak menyampaikan mesejnya kepada rakyat? Kerajaan buat apa lagi kepada pembangkang? Segala-galanya hendak disekat.

Kalau takut sangat dengan kebangkitan maklumat untuk rakyat, kenapa masih hendak menjadi kerajaan?  Rakyat hendak menggunakan internet itu untuk mengetahui apa terjadi kepada isu scorpene misalnya. Media arus perdana tidak akan menyiarkan perkara yang sebenarnya tentang scorpene ini. Rakyat ingin tahu bagaimana penglibatan Altantuya dalam isu pembelian scorpene itu.

Melalui internet lah yang kita boleh mengetahui bagaimana komisyen haram yang diterima oleh pemimpin kita dalam projek membeli kapal selam yang suatu ketika dahulu tidak dapat hendak menyelam itu? Semua orang hendak tahu dimana komisyen haram itu dibayar…..diHongkong ke atau di Singapura atau dimana?

Kita hendak tahu berapa Najib perolehi dari pembelian kapal selam itu dan jika boleh kita hendak tahu samada isu tuntutan Najib untuk dibayar sebanyak USD1 billion sebelum wakil syarikat pembinaan kapal selam itu mendapat tempahannya. Kita juga hendak tahu berapa Altantuya sepatutnya dapat sebahagian dari komisyen itu. Sudah dibayar atau belum lagi kepada Altantuya.

Jika belum dibayar kita hendak tahu sudahkah dibuat urusan untuk membayar waris kepada Altantuya jumlah yang sepatutnya diberi kepadanya. Banyak lagi isu-isu yang rakyat hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Semuanya ini memerlukan maklumat dari internet kerana media arus perdana tidak akan menyiarkannya. Kenapa kita perlu menyokong seruan Mahathir untuk membebaskan kegiatan melalui internet itu. Jika dilaksanakan kehendak Mahathir itu ia bermakna kerajaan ingin mengikat tangan penyokong pembangkang dan melakukan ‘circumvention’ terhadap proses demokrasi yang sebenarnya.

Apa yang BN hendak sorokkan sangat itu? Bukankah BN kata mereka tidak bersalah dalam semua tuduhan dan spekulasi rakyat seluruh dunia itu? Jika tidak bersalah kenapa takut-takut? Kalau pembangkang berbohong rakyat boleh tengok pembohongan itu melalui internet. Kenapa takut kerana rakyat akan menghakimi nya samada BN atau PR yang berbohong. Tetapi kita takut-takut yang BN lah yang berbohong, bukannya PR.

Jika pembangkang memenangi pilihanraya melalui internet, apa salahnya. Negara ini negara demokrasi dan rakyat berhak untuk mendapatkan semua maklumat-maklumat tersebut. Kalau dinegara Cina komunis pun internet bebas untuk menjadi media pilihan rakyatnya kenapa Malaysia memilih untuk menjadi lebih buruk dari pentadbiran negara komunis itu.

Jika Myanmar sekarang sudah terbuka kepada dunia luar kenapa pula kita yang hendak menutup negara kita dari dunia luar. Mahathir juga yang telah memperjuangkan dunia tanpa sempadan tetapi apa bila ‘nature’ hendak mengambil tempat dan melakukan perubahan BN sudah tidak dapat menerimanya. Sikap tidak dapat menerima kekalahan ini adalah sikap semula jadi politik dunia ketiga.

Tetapi pemimpin kita dengan gah kesana kemari bercakap tentang wawasan 2020 yang meletakkan negara setaraf dengan negara-negara maju. Negara maju apa yang hendak kita capai jika kekalahan dalam pilihanraya menjadikan mereka hilang akal dan tidak dapat menerimanya langsung, seolah-olah hendak memisahkan kulit dari daging atau hendak memisahkan kulit dengan kuku.

Parti Buruh Britain baru sahaja menerima kekalahan dan kekalahan yang terbaru ini bukannya kekalahan kali pertama. Parti Buruh bergilir-gilir memerintah dengan parti Conservative tetapi tidak pula mereka sanggup menolak asas demokrasi yang sebenar semata-mata untuk mempertahankan kuasa. Kalah kali ini mereka akan dapat semula dalam pilihanraya yang akan datang. Menang dan kalah itu perkara biasa dalam sesebuah negara maju.

Hanya BN sahaja yang merasakan seolah-olah dunia akan kiamat jika kalah dalam pilihanraya. Sebenarnya kekalahan BN jika benar berlaku, merupakan hikmah besar buat BN itu sendiri. Dalam kekalahan itu BN boleh membersihkan kekotoran yang mereka lakukan semasa memerintah. BN tidak mungkin dapat membersihkan kekotoran yang mereka lakukan jika masih berkuasa, malahan BN akan bertambah sombong dan angkuh jika terus mendapat mandat.

Jika BN menang lagi rasuah akan dilakukan dalam jumlah trillion ringgit, bukannya lagi dalam jumlah ratusan billion. Lagi pun adalah ‘natural’ bagi sesebuah parti yang terlalu lama memerintah dimana-mana negara lain jatuh tersungkur dihadapan mata rakyat mereka.

Hanya di negara kita pengalaman ini baru sahaja hendak berlaku. Di negara lain pertukaran pemerintah ini berlaku acap kali tanpa masalah. Gordon Brown telah menyerahkan kuasa hanya dalam tempoh enam jam kepada parti Conservative dan Liberal Demokrat setelah beliau tidak berdaya menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya Britain tahun lalu.

Jika saya yang jembel ini boleh mempelajari apa yang berlaku dinegara maju, masakan Mahathir tidak dapat belajar dari keadaan itu. Jika untuk menutup kesalahan merupakan sebab untuk mempertahankan kuasa dengan apa daya sekali pun, itu bukan masalah rakyat kita. Itu masalah mereka. Siapa suruh melakukan kerja-kerja tidak baik terhadap negara dan rakyat?

Kita mesti akui segala kerja jenayah yang dilakukan oleh pimpinan BN selama ini merupakan kerja jenayah (treason) terhadap negara dan mengkhianati negara itu adalah terlalu besar kesalahannya untuk dimaafkan rakyat.



ASPAN ALIAS


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List