Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa cadangan untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu akan dilaksana sekiranya Pakatan berjaya menawan  Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Dengan kemenangan itu, Pakatan mampu menjalankannya apabila dapat menguasai perbendaharaan negara, katanya.

Malah Pakatan mampu melakukannya dalam tempoh 100 hari – sekiranya BN terus menyerahkan pentadbiran negara kepada Pakatan, katanya lagi dengan sinis.

"Cadangan daripada (ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar atas asas, sekiranya kami berpeluang untuk menguasai Putrajaya.

"Kalau kita menguasai perbendaharaan, keutamaan kita antaranya mengenai peruntukan pendidikan.

"Peruntukan pendidikan, kita akan pastikan pendidikan percuma boleh dilaksanakan kepada setiap warga negara di negara ini... Bukan sekarang," kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mengulas satu kenyataan menteri pengajian tinggi Datuk Mohamed Khaled Nordin yang menggesa Universiti Selangor – sebuah institusi bahawa kerajaan negeri – membatalkan yuran pengajiannya selari dengan kempen Pakatan Rakyat untuk memberi pendidikan percuma.

Khaled menulis demikian malam tadi susulan laporan Malaysiakini bahawa PTPTN membekukan pinjaman untuk siswa baru Unisel.

Khaled menyalahkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pinjaman kepada pelajar baru Unisel itu kerana Anwar menggesa supaya siswa tidak membayar semula pinjaman melalui PTPTN.