Siapakah Yang Bimbang Jika UMNO Kehilangan Kuasa...? = PEMIMPIN UMNO.

on Jun 7, 2012





7 JUN 2012  -
Kebimbangan tentang kemungkinan UMNO bakal tumbang dan kehilangan kuasa makin terserlah daripada beberapa kenyataan yang diluahkan oleh pimpinan tertinggi parti itu sejak kebelakangan ini. Perdana Menteri, Najib Razak beberapa kali menyatakan tentang kedudukan orang-orang Melayu yang bakal terancam jika UMNO tumbang dan Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa. Pelbagai bentuk kemungkinan yang berupa ancaman kepada kedudukan dan masa depan orang Melayu disuarakan oleh Najib seolah-olah di Malaysia ini UMNOlah pemberi rezeki dan penentu takdir bangsa Melayu.

Muhyiddin, Tun Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO yang lain juga mengeluarkan kenyataan dengan nada yang hampir serupa. Tun Mahathir secara terang-terang menyatakan negara tidak akan aman jika Pakatan Rakyat memperolehi kuasa sambil membandingkannya dengan keadaan di beberapa negara Arab seperti Mesir, Libya dan Tunisia yang terus bergolak meskipun baru bertukar kepimpinan kerajaannya.

Dalam masa yang sama Tun Mahathir juga menyatakan huru-hara akan tercetus kiranya Pakatan Rakyat kalah dalam pilihanraya kali ini dan menganggap beberapa demonstrasi seperti Perhimpunan Bersih adalah persediaan pembangkang ke arah itu. Idea itu kemudiannya disambut pula oleh Muhyiddin yang nampaknya bersetuju seratus-peratus dengan pandangan Tun Mahathir itu.

Sebenarnya pembangkang sudah biasa menerima kekalahan sejak 12 kali pilihanraya diadakan tetapi UMNO memang tidak biasa menerima kekalahan. Kebimbangan Mahathir dan Muhyiddin tentang kemungkinan huru-hara itu sebenarnya adalah naluri kebimbangan UMNO yang cuba disembunyikannya. Secara logiknya, huru-hara juga lebih mungkin tercetus jika UMNO kalah berbanding pembangkang yang kalah.

Tetapi Muhyiddin tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya tentang masa depan UMNO apabila mengatakan pilihanraya akan datang ini adalah penentuan hidup dan mati bagi UMNO. Jika menang, UMNO akan terus hidup tetapi jika kalah bukan sahaja UMNO akan mati malahan harapan Muhyiddin untuk mengempuki kerusi Perdana Menteri juga akan turut mati sama.

Beberapa kenyataan lain seperti Melayu akan kehilangan kuasa, Melayu akan merempat, negara akan dikuasai oleh Cina, Cina akan jadi Perdana Menteri, bahasa Melayu terhapus, Raja-Raja Melayu turut terhapus, peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang dan berbagai kenyataan yang menakutkan serta berupa ugutan kepada orang-orang Melayu telah dikeluarkan dengan harapan orang Melayu akan kembali menyokong serta memilih UMNO dan BN.

Walaupun secara umumnya orang Melayu semakin cerdik dan dapat menilai antara kebenaran dan kepalsuan tetapi pemimpin UMNO terus juga melontarkan ugutan-ugutan seperti itu. Bagi sebahagian orang Melayu ungkapan tersebut tidak lebih hanyalah ugutan untuk meraih sokongan semata-mata dan agak mustahil menjadi kenyataan. Kedudukan Raja-Raja, bangsa Melayu, bahasa Melayu serta hak istimewanya perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dan semua pihak baik Melayu, Cina dan India menghormati kedudukan itu. Malahan kedudukan Perdana Menteri yang terdiri daripada bangsa Melayu juga sudah disepakati, bukan saja oleh BN tetapi juga Pakatan Rakyat.

Sebenarnya siapakah yang bimbang jika UMNO kehilangan kuasa? Adakah orang Melayu yang bimbang atau pemimpin UMNO sahaja yang berasa demikian? Adakah jika UMNO tumbang, orang Melayu akan kebulur dan mati tak makan?

Jika dilihat realiti politik masa kini di mana orang Melayu terbahagi kepada UMNO, Pas, PKR serta sebahagian besarnya tidak memihak kepada mana-mana parti, hakikatnya UMNO tidak boleh mendakwa mereka mewakili majoriti orang-orang Melayu. Orang Melayu yang tidak berparti malahan lebih besar jumlahnya daripada yang menjadi ahli UMNO. Yang menyertai Pas dan PKR juga makin ramai jumlahnya. Yang sudah berada dalam UMNO dan mengambil keputusan keluar UMNO juga makin bertambah bilangannya. Yang masih bersama UMNO tapi makin benci dengan UMNO juga tak terkira jumlahnya. Hakikatnya UNNO makin mengecil statusnya.

Jika tanpa UMNO, mereka ini menjadi kebulur dan mati tak makan, sudah tentu mereka ini kekal bersama UMNO, tidak menjadi berkecuali dan jauh sekali menyertai Pas dan PKR.

Sebaliknya yang tidak bersama UMNO ini dapat pula hidup gembira, berkeluarga dan menjalani kehidupan yang tidak jauh berbeza dengan mereka yang menjadi pemimpin dan ahli UMNO. Malahan ramai juga orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO menjadi lebih kaya dan berjaya dalam hidupnya.

Jadi, Melayu manakah yang bimbang jika UMNO tumbang dan kehilangan kuasanya?

Bagi orang Melayu yang mempunyai pekerjaan, karier, perniagaan serta kemahiran dalam pelbagai bidang kerjaya, sama ada UMNO berkuasa atau tidak, bezanya hampir tidak ada. Kakitangan kerajaan serta swasta yang mempunyai kelulusan dan kemahiran juga tidak bimbang jika UMNO tumbang. Orang Melayu yang mempunyai keyakinan dan rajin berusaha juga tidak bimbang sama ada UMNO berkuasa atau tidak. Kesemua golongan ini meyakini bahawa rezeki dan pendapatan akan hadir dalam hidup jika mereka rajin berusaha dan tahu merebut peluang.

Orang Melayu secara majoritinya akan terus hidup seperti biasa dan makan seperti biasa sama ada UMNO berkuasa atau sebaliknya.

Rezeki tidak ditentukan oleh UMNO dan kedudukan Melayu juga sebenarnya bukan hak eksklusif UMNO untuk memperjuangkannya. Pas juga sebenarnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam. PKR juga meletakkan kedudukan Melayu ditarafnya yang tinggi sesuai dengan Perlembagaan Negara walaupun ia parti berbilang kaum. DAP sendiri menghormati orang Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini dan kini semakin ramai orang Melayu yang menyertai DAP.

Sebenarnya pihak yang bimbang jika UMNO tumbang bukanlah orang Melayu secara keseluruhannya tetapi hanyalah segelintir Melayu dalam UMNO yang agak malas berusaha dan lebih mengharapkan rezeki daripada tapak tangan pemimpin UMNO itu sendiri. Mereka ini sentiasa mengharapkan ehsan pemimpin UMNO yang berkuasa untuk memperolehi projek dan peuang perniagaan dengan meletakkan diri sendiri sebagai kroni kepada seseorang pemimpin itu. Mereka inilah yang meletakkan rezeki itu ada kaitannya dengan UMNO. Lagi besar jawatan pemimpin yang dipuja itu lagi besarlah perniagaan atau kontrak yang boleh diperolehi dan begitulah sebaliknya.

Pihak lain yang bimbang ialah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri tetapi kebimbangan mereka bukanlah kerana masa depan Melayu, kebimbangan tentang bahasa Melayu atau kerisauan tentang kedudukan Raja-Raja Melayu, sebaliknya hanyalah bimbang kerana kuasa untuk memperkaya diri sendiri,keluarga dan kroni yang terlepas dari genggaman. Lebih dari itu, mereka juga bimbang jika kemungkaran yang dilakukan selama ini akan dibawa ke muka pengadilan sebagaimana kes salah laku pemimpin di beberapa negara yang akhirnya menghuni penjara sebaik kehilangan kuasa.

Selama ini pemimpin-pemimpin UMNO ini terlalu asyik menggunakan kuasa yang ada untuk kemewahan diri sendiri dan mereka nampaknya belum bersedia untuk kehilangan kuasa tersebut. Ini kerana walaupun kekayaan dan kemewahan untuk anak, isteri dan keluarga sudah dikaut tetapi ketamakan dalam hati mereka tidak pernah ada surutnya.

Ahli UMNO sendiri tidak semuanya bimbang jika UMNO tumbang, malahan semakin ramai yang merasakan lebih baiklah UMNO yang kelihatan begitu hodoh sekarang dek perangai pemimpin-pemimpinnya yang rasuah dam penuh skandal dibiarkan tumbang seketika supaya ia dapat menimbulkan keinsafan serta mampu bangkit dengan lebih kuat lagi di masa depan.

Jika Najib, Mahathir, Muhyiddin dan lain-lain pemimpin UMNO tidak henti-henti merayu supaya kuasa UMNO dikekalkan sambil mengeluarkan pelbagai kata-kata yang berupa ancaman kepada kedudukan Melayu,ia sebenarnya hanyalah mewakili kepentingan diri masing-masing sementara orang Melayu selebihnya dan rakyat sebahagian besarnya tetap yakin bahawa negara ini akan menjadi lebih baik jika UMNO kehilangan kuasanya kali ini. 

Shahbudin Dot Com


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List