Akhir-akhir ini ramai pemimpin UMNO mengaku salah

on Nov 26, 2012






Akhir-akhir ini ramai di antara pemimpin-pemimpin BN berkata yang UMNO sudah pulih dan parti itu telah membetulkan kesilapannya. Kata mereka lagi yang UMNO akan berubah dan akan membetulkan kesalahannya. UMNO tidak akan lakukan lagi apa yang mereka telah lakukan selama ini. Oleh itu marilah menyokong UMNO sekali lagi kerana telah berubah. Begitulah lebih kurang kata-kata mereka di antaranya termasuk apa yang dikatakan oleh Najib dan Muhyiddin Yassin.

Dengan kata-kata itu ia memberi makna yang selama ini mereka mengaku UMNO dan BN telah membuat kesalahan dan UMNO telah mengakui apa yang dituduh oleh pelbagai pihak yang UMNO itu telah melacurkan politik dan siasah negara. Justeru UMNO sememangnya parti yang telah berdosa dan sekarang mahu bertaubat. Saya gembira dengan pengakuan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO yang lain yang UMNO telah melakukan kesalahan dan sekarang mahu bertaubat dan meminta diberi lagi peluang untuk memerintah kita rakyat yang sudah begitu lama dalam pencarian ini.

Persoalannya sekarang apa yang mereka telah taubatkan itu? Maaf-memaafkan sesama sendiri itu memang amalan orang mukmin. Tetapi tidak bermakna menjanjikan taubat itu sudah cukup untuk meneruskan penguasaan lagi terhadap rakyat dan negara. Apabila UMNO sudah taubat, parti itu sepatutnya direhatkan untuk melaksanakan apa yang mereka taubatkan itu. Jika RM ratusan billion wang rakyat dicuri dan diambil oleh pimpinan BN secara haram, ia memakan masa untuk melakukan proses pemulangan balik harta-harta curi itu kepada rakyat jelata.

Orang yang telah sedar dan bertaubat tidak boleh lagi melakukan apa-apa kesalahan yang terbesar terutamanya terhadap sesama manusia. Saya selalu katakan rasuah itu merupakan ketagihan tegar yang dihidapi oleh UMNO dan BN itu. Seperti penagih dadah yang hendak kembali berbuat baik dan menjauhi amalan mengambil dadah itu mereka sepatutnya duduk di dalam pusat-pusat serenti yang banyak di sediakan oleh kerajaan sekarang ini untuk beberapa lama yang wajar. Mereka dikawal dan dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan supaya merawat ketagihan itu dengan bersistem. Banyak cara untuk merawat penagih ini.

Ada juga yang berjaya dirawat dan menjadi ahli masyarakat yang berguna dan berbuat baik selepas keluar dari pusat pemulihan serenti itu. Tidak kurang juga yang kembali menagih dan kembali ke pusat-pusat serenti itu. Di dalam pusat-pusat serenti itu panagih-penagih ini akan diberikan bimbingan untuk menjadi insan yang baik dengan kelas agama dan memberikan mereka kegiatan riadah seperti bersenam dan sebagainya untuk memulihkan mereka kembali. Mereka ini perlu bimbingan dan ditunjukkan bagaimana untuk menjadi umat yang baik dan berguna untuk masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi untuk agamanya.

Begitu jugalah dengan pimpinan-pimpinan UMNO. Seperti yang kita tahu salah satu dari salah laku pimpinan UMNO ialah rasuah. Rasuah ini merupakan salah satu dari penyakit ketagihan yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Rasuah sepatutnya dijadikan musuh nombor satu negara kerana banyak tamadun telah runtuh oleh kegiatan rasuah pemimpinnya.

Oleh kerana secara terus menerus UMNO telah melakukan ketagihan itu, maka UMNO patut berihat dan melakukan pembaik-pulihan supaya parti itu menjadi parti yang berguna kepada rakyat dan negara dan tidak lagi menjadi penagih rasuah yang telah hampir menjahanamkan negara kesayangan kita ini.

Maka tidak boleh lah UMNO sendiri mengisytiharkan yang mereka telah pulih dari semua penyakit merbahaya untuk manusia itu dan meminta terus memerintah negara ini seperti biasa. Penagih ini tidak semua yang baik dengan sendirinya. Selalunya ia perlu dibimbing dan diatur segala kegiatan kehidupan mereka. Maka UMNO perlu berihat dan memulihkan penyakit ketagihan ini. Kita tidak mahu penagih rasuah ini kembali melakukan rasuah seperti penagih dadah yang kembali menagih selepas keluar dari pusat serenti itu.

Tetapi yang pentingnya sekarang UMNO sudah mula sedar dan mengakui kesalahannya dan serangan terhadap pembangkang yang menuduh mereka (UMNO) itu rasuah sepatutnya di tarik balik dan di dalam hati meminta maaf kepada mereka yang membuat tuduhan yang benar itu.

Ramai pemimpin-pemimpin UMNO telah mengisytiharkan yang mereka telah berjaya memulihkan kesalahan yang telah mereka lakukan dahulu dan telah mengakui kesilapan dan kesalahan mereka. Mengakui kesalahan itu sudah cukup untuk mengakui yang pihak pembangkang adalah pihak yang benar dan kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat kepada mereka (pembangkang) sepatutnya mendapat galakan dan sokongan dari orang ramai.

Buat sementara waktu UMNO biarkanlah mereka duduk berihat sambil memperbaiki diri mereka supaya parti itu pula yang akan menjadi parti alternatif kepada Pakatan Rakyat yang memerintah nanti. Jika Pakatan Rakyat melakukan kesalahan yang sama UMNO yang sudah pulih semasa dalam ‘political confinement’ itu boleh kembali dan menjadi UMNO yang bertenaga dan tidak lagi seperti dahulu. Mungkin semasa itu nanti UMNO akan menjadi bertenaga dan berseri-seri wajah pimpinan mereka setelah melakukan rawatan mereka selama beberapa tahun semasa menjadi pembangkang itu.

Maksud saya ini ialah, menjadikan negara ini sebagai negara demokrasi yang mempunyai sistem dua parti itu akhirnya akan memberikan kenaikan kepada rakyat. Semasa itu nanti baru lah rakyat sedar betapa nikmatnya jika kuasa itu sebenar-benar berada ditangan mereka dan bukannya di tangan ‘war lords’ UMNO seperti sekarang ini.

Rakyat yang bermaruah tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengawal hak mereka dengan wang sogokan atau bantuan seperti gigi palsu percuma, BRIM dan sebagainya. Rakyat tidak boleh memberikan hak kepada pihak lain setelah mendapat tayar teksi percuma dan sebagainya.

Harga diri rakyat itu lebih tinggi dari harga tayar dan bantuan BRIM serta pembayaran bonus satu setengah bulan gaji dan sebagainya. Sedangkan kucing belaan kita pun sekarang tidak makan ikan mentah lagi. Mereka (kucing) sekarang makan Friskies dan Whiskas yang dibeli dari pasaraya. Kucing pun tahu harga diri mereka.


 http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List