Shah Alam: Pertembungan merebut sokongan Melayu bandar

on Nov 26, 2012






Pilihan raya umum akan datang dijangka menjadi perlawanan sengit bagi membentuk kerajaan Malaysia. Beberapa kerusi di seluruh negara cenderung menjadi pertempuran hebat oleh kerana dimenangi dengan majoriti tipis dalam pilihan raya lalu. The Malaysian Insider melihat beberapa kerusi panas ini dalam apa yang dikatakan pilihan raya sengit untuk memerintah Malaysia. 

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor terletak di kawasan yang didiami oleh persara kerajaan, penjawat awam, peniaga, mahasiswa dan pekerja kilang dimana majoritinya terdiri daripada orang-orang Melayu.
Pilihan raya umum (PRU) 2008 menjadi sejarah apabila buat pertama kalinya parti pembangkang menang di kerusi ini apabila Khalid Abdul Samad (gambar kanan) dari PAS menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dengan majoriti besar 9,314 undi.

Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar sehingga Jun lalu adalah 96,066 orang dimana pengundi Melayu berjumlah lebih kurang 70 peratus, selebihnya adalah Cina, India dan lain-lain.
Terdapat dua kerusi dewan undangan negeri (Dun) iaitu Kota Anggerik dan Batu Tiga dalam kawasan parlimen Shah Alam.

Selepas tewas dalam PRU 2008, Umno dan Barisan Nasional (BN) memulakan gerak langkah bagi manawan semula ibu negeri Selangor, negeri terkaya di Malaysia itu.
PR nampaknya akan mengekalkan penyandang sedia ada, Khalid sebagai calon pada PRU akan datang, manakala BN pula menurut seorang sumber dari Umno Shah Alam, bakal meletakkan anak tempatan, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin kerana kedudukannya sebagai ketua bahagian Umno sekaligus pengerusi BN Shah Alam.
Walaupun tidak begitu terkenal di peringkat nasional, Ahmad Nawawi bukanlah nama yang asing di Shah Alam.

Seperti Khalid yang mempunyai keluarga aktif politik iaitu melalui abangnya, Tan Sri Shahrir Samad (ahli parlimen Johor Bharu dari Umno), Ahmad Nawawi juga membesar dalam keluarga yang aktif politik.
Beliau merupakan anak kepada bekas Adun Batu Tiga, Datuk Md Zin Sulaiman yang terkenal di kawasan Shah Alam dan pernah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal dari tahun 1982 hingga 1994.
Mad Zin meninggal dunia ketika masih lagi berkhidmat sebagai Adun setahun sebelum PRU 1995.

Kedudukan Ahmad Nawawi sebagai anak tempatan dan ayahnya yang masih diingati oleh penduduk veteran Shah Alam memberikan kelebihan kepada dirinya untuk menjadi pesaing hebat kepada Khalid.

Ahmad Nawawi (gambar kiri) yang ditemui oleh The Malaysian Insider yakin gabungan parti pemerintah itu akan dapat menawan semula kerusi parlimen Shah Alam oleh kerana kekuatan mereka di kerusi kedua-dua kerusi Dun Batu Tiga dan Kota Anggerik.
“Batu Tiga dikategorikan sebagai kawasan putih iaitu diyakini menang oleh BN sementara bagi Kota Anggerik, ianya berstatus putih kelabu dimana ianya dianggap sebagai berpeluang menang tetapi gabungan parti pemerintah tersebut perlu bekerja dengan lebih keras,” katanya.





Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List