SEMASA BERHIMPUN Tuduh DAP anti Melayu, hakikatnya Pemimpin UMNO kaut untung jual tanah orang Melayu di P. Pinang

on Dec 3, 2012






Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir semalam akan selamanya diingati sebagai perhimpunan raja lawak.

Macam-macam adegan lucu yang timbul daripada para perwakilan di PWTC, seperti perwakilan Sabah yang memperlekehkan penyeludupan wang tunai RM40 juta yang menjadi sumbangan politik Umno Sabah sebagai “jumlah yang kecil” malah tidak mencukupi, serta perwakilan Pemuda Umno yang menghebahkan dengan megahnya bahawa Umno telah dipilih oleh Tuhan untuk diberi amanah dan kuasa untuk memerintah negara Malaysia.

Jika benar Umno itu parti terpilih Tuhan, maka tidak perlulah Umno bertanding dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Apakah gunanya mandat rakyat jika kemenangan Umno sudah ditakdirkan Yang Maha Esa?


Satu lagi lawak besar yang muncul dari PWTC adalah kenyataan perwakilan Pulau Pinang Datuk Rahim Saibu yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa masyarakat Melayu Pulau Pinang telah dimangsakan melalui “pembersihan etnik melalui pemajuan hartanah”.

Beliau juga mendakwa dalam sesi perdebatan bahawa keperluan rakyat untuk perumahan mampu milik tidak dipedulikan langsung dan “tiada ada sebiji pun” rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri.

Umno sememangnya tiada modal lain selain mengulangi fitnah-fitnah yang sama. Umum sudah mengetahui bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang telah menyediakan tabung perumahan mampu milik yang berjumlah RM500 juta, iaitu tabung perumahan terbesar yang pernah diperuntukkan oleh mana-mana kerajaan negeri di Malaysia.

Selain daripada itu, kerajaan negeri Pulau Pinang juga giat berusaha untuk memenuhi keperluan perumahan bagi rakyatnya.

Sejak tahun 2008, sebanyak 11,596 unit perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah telah pun diluluskan untuk pemajuan oleh pihak swasta dan juga kerajaan negeri melalui agensi-agensinya.

Tambahan kepada 11,596 unit tersebut, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan 277 ekar tanah di serata negeri merangkumi setiap daerah untuk pembinaan 18,000 unit perumahan mampu milik baru, termasuk lebih kurang 1,320 unit yang akan dibangunkan di Jalan SP Chelliah di perkarangan pusat bandar Geoge Town.



Justeru, dakwaan bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak memenuhi keperluan perumahan rakyat adalah tidak berasas langsung.

Datuk Rahim sepatutnya akur bahawa penyelewengan tanah Melayu selama ini telah dilakukan oleh Umno sendiri, seperti dalam kes Kampung Terang, Balik Pulau, di mana 10 ekar tanah yang dimiliki 31 orang pemilik Melayu telah dijual kepada syarikat kepunyaan dua pemimpin kanan Umno negeri iaitu Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Datuk Omar Faudzar. 

Tanah yang dibeli daripada pemilik-pemilik Melayu tersebut dengan jumlah harga RM8.6 juta kemudiannya telah dijual kepada sebuah pemaju swasta pada harga RM13.5 juta. 

Dalam erti kata lain, dengan mengambil kesempatan ke atas pemilik-pemilik Melayu tersebut, Datuk Musa dan Datuk Omar telah mengaut keuntungan “atas angin” yang berjumlah hampir RM5 juta.

Bukankah ini contoh jelas penyelewengan amanah di mana tanah Melayu telah digadai demi keuntungan peribadi pemimpin-pemimpin Umno, apatah lagi apabila orang Melayu dikatakan sudah ketandusan tanah khususnya di bahagian pulau?

Hakikatnya, sekiranya benar Melayu Pulau Pinang terjerut dalam keadaan tidak bertanah, bukankah ini salah pentadbiran Umno-Barisan Nasional selama 50 tahun di Pulau Pinang? Tidak mungkin keadaan sebegini boleh terjadi dalam sekelip mata.

Dasar kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Pulau Pinang adalah bertujuan bukan untuk menghapuskan kepentingan mana-mana masyarakat tetapi untuk menghapuskan gejala sosioekonomi seperti kemiskinan melalui Agenda Ekonomi Saksama yang akan memastikan tiada satu pun keluarga di Pulau Pinang yang mempunyai pendapatan kurang daripada garis kemiskinan kebangsaan bagi Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun 2013. 

Usaha ini adalah ekoran daripada kejayaan kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2009 setelah setahun mengambil alih pucuk kepimpinan negeri.

Jelas, dasar kerajaan Pakatan Rakyat adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukan untuk menggadai kepentingan rakyat demi keuntungan diri sendiri.
Zairil Khir Johari




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List