KUALA LUMPUR - Populariti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatasi Datuk Seri Najib Tun Razak dari aspek siapa lebih layak jadi perdana menteri kali ini, demikian menurut hasil kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).
Kajian membabitkan 1,407 responden itu dijalankan bermula hari pembubaran Dewan Rakyat sehingga 20 April lalu, iaitu pada hari penamaan calon.
"Peratusan keseluruhan siapa yang layak menjadi perdana menteri menunjukkan Anwar (dapat) 43 peratus manakala Najib 39 peratus," kata Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Baki adalah mereka yang tidak pasti pendirian.
"Populariti Anwar ini meningkat apabila beliau memulakan siri jelajah ke seluruh negara," ujar beliau.
Menurut hasil kajian itu lagi katanya, 54 peratus daripada pengundi Melayu turut memilih Anwar sebagai perdana menteri manakala 34 peratus pula memilih Najib.
Anwar turut popular di kalangan pengundi kali pertama yang cenderung memilih beliau sebagai perdana menteri.
Berdasarkan hasil kajian yang membabitkan pelbagai latar belakang umur, kaum, pekerjaan dan pendidikan itu di Semenanjung Malaysia, Najib mengungguli aspek pemimpin yang rapat dan mesra pengundi atau rakyat.
Sementara kajian membabitkan manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) pula menunjukkan kecenderungan pengundi lebih kepada manifesto pembangkang.
"Manifesto yang diterima rakyat, BN 38 peratus, PR 42 peratus sementara 22 peratus tidak pasti," kata Mohammad Redzuan.
Kajian itu juga menunjukkan 61 peratus pengundi Cina percaya kepada manifesto PR.
Kajian Umcedel turut meliputi sama ada isu politik semasa seperti video seks turut mempengaruhi pengundi untuk memilih mana-mana parti politik menunjukkan 62 peratus daripada mereka merasakan ia tidak memberi sebarang kesan.
Sebanyak 11 peratus menyatakan "ya" manakala 27 peratus lagi mengatakan "tidak pasti" sama ada ia memberi kesan atau mempengaruhi mereka.
Kajian juga menunjukkan 39 peratus mengatakan video seks ini adalah propaganda Umno sebagai gimik pilihan raya, 22 peratus mengatakan tidak, sementara 39 peratus lagi tidak pasti.
"Kajian terbaru kita menunjukkan pengundi Cina sudah membuat pilihan berbanding orang Melayu," katanya.
Menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini sebagai sengit, kedua-dua parti popular, BN dan PR katanya, hanya dipisahkan oleh lima peratus dan 10 hari yang terakhir ini adalah peluang untuk merebut hati pengundi.
"Peratusan pengundi atas pagar telah menurun daripada 21 peratus pada Mac kepada sembilan peratus pada bulan ini.
"Kita lihat pengundi Cina, yang sebelum ini majoriti pengundi atas pagar, sudah membuat keputusan siapa yang akan mereka undi," ujar beliau.
Namun katanya, hari-hari terakhir akan memberikan impak besar sama seperti pada Mac 2008.
"Dalam konteks pilihan raya di Malaysia, apa-apa pun boleh berlaku. Dalam 10 hari ini macam-macam boleh berlaku," kata beliau..
0 comments:
Post a Comment