PASCA PRU 13 :- INDAH SANGKA DARI NYATA...?

on May 14, 2013



putrajaya01


Mungkin ramai yang mula menimbulkan keraguan tersendiri, samada ia terbit secara sendirinya dengan pengamatan sendiri atau dengan hasutan mana-mana pihak. Atau memang ia sengaja ditimbulkan atas matlamat tertentu yang barangkali lebih panjang dan unjurannya sungguh sukar ditafsirkan. Keraguan sememangnya wajar ada, dilayani dan dibiarkan, tetapi setiap keraguan ada akar dan ada pucuknya. Persoalannya, mampukah sesebuah keraguan yang sesetengahnya dianggap tidak berasas menjadi nyata? Atau setengahnya menganggap ia sebenarnya terjadi hanya sekadar sebuah dongeng cerita?
Pasca PRU 13; gelombang sebelumnya masih lagi hangat dan menular, masih meniti di mulut-mulut dan masih bermain di benak. Masih ramai yang melihat gelombang sebelum berlangsungnya PRU 13 menjadi nyata, ia terbukti dengan statistik penggunaan media sosial seperti facebook menunjukkan ramai yang menyatakan sokongan secara terus kepada Pakatan Rakyat dan menyuarakan sendiri (menyahut seruan) “Tukar”, “Ini kalilah”, “Ubah” dan sebagainya. Ini cukup ketara di laman sosial  yang tiada siapa boleh mengawal arus gelombangnya dan wajarlah dengan mengambil kira gelombang itu, sesudah PRU 13, sepatutnya apa yang digambarkan dan diramalkan terjadi dengan nyata. Namun, sayangnya ia menjadi sebaliknya dan apakah benar ia seperti indah sangka dari nyata?
Melihat kepada jumlah pengundi yang meningkat secara drastik pada PRU kali ini, sesuailah dikatakan bahawa kesedaran untuk turun mengundi buat rakyat Malaysia sudah hampir matang dan stabil, masing-masing sudah merasa bertanggungjawab memilih pemimpin dan menyatakan sokongan secara terbuka. Kenyataan SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) memberitahu seramai 13, 291, 385 adalah pengundi yang layak mengundi pada PRU 13. Berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012, seramai 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun.
Pasca PRU 13 juga, setelah diumumkan keputusannya, bantahan demi bantahan muncul seolah-olah keputusan yang dikeluarkan (dengan tidak mengambil kira dakwaan penipuan dan sebagainya) tidak dapat diterima oleh rakyat dan meskinya gelombang ini tidak boleh disekat lagi, berlakulah pula gelombang “blackout” dan protes keputusan yang dikeluarkan. Lalu pihak yang sudah lama mencari ‘peluru’ untuk ‘menembak’, dengan melihat peningkatan kemenangan di kerusi parlimen oleh sesebuah parti yang didominasi oleh sesebuah kaum, meluncurkan peluru perkauman, seperti tidak kisah kesan jangka panjangnya hanya kerana matlamat peribadi yang dianggap lebih penting.
Ini berlaku setelah DAP membolot kerusi parlimen paling banyak daripada parti komponen yang lain di dalam Pakatan Rakyat. Isu Tsunami Kaum Cina diuar-uarkan, disebut-sebut dan disebar-sebarlah cerita mengatakan bahawa kaum Cina bakal memerintah Malaysia, mereka itu rasis dan sangat monopoli. Jika andaian itu berasas, mana asasnya? Adakah dengan hanya melihat kerusi parlimen yang dimenangi DAP lebih banyak daripada PAS dan PKR itu sebagai bukti andaian itu dikeluarkan? Dan benarkah DAP itu sangat rasis dan merupakan parti kaum Cina semata?
Pada tahun 1986, DAP telah bertanding di 177 kerusi parlimen dan 24 daripadanya menang. Begitu juga pada tahun 1982, DAP telah bertanding sebanyak 63 kerusi parlimen. Pada tahun 2004, DAP telah bertanding di 44 kerusi parlimen dan terakhir pada tahun 2008, DAP telah bertanding sebanyak 47 kerusi parlimen. Dan pada PRU 13, DAP telah bertanding sebanyak 51 di kerusi parlimen dan PAS sebanyak 73 kerusi parlimen.
DAP tidak bertanding di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, begitu juga dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Disimpulkan bahawa, DAP tidak bertanding di tempat majoritinya pengundi melayu. Begitulah sifirnya dan penyertaan DAP pada banyak kerusi sudah sememangnya kebiasaan sejak sebelum PR ditubuhkan lagi. Apakah semasa DAP bertanding dahulu berlakunya rasis dan sentimen perkauman?
Mungkin wajar sedikit kerisauan itu ada, itu biasa, tetapi biarlah berdasarkan logik dan berasas – menganalisis sejarah yang tidak pernah menipu dan mengkaji dengan penuh berhemah, tidak menuntut mana-mana balasan material yang bersifat kepentingan sendiri.
Persoalan seterusnya, benarkah DAP hanya parti sesebuah kaum sahaja? Tuduhan ini langsung tidak masuk akal kerana parti DAP ialah parti yang bebas, di dalamnya ada kaum melayu yang juga pernah bertanding. Perkara ini bukan baharu, pada tahun 1999, empat calon DAP daripada kaum Melayu telah bertanding dan dua daripadanya menang iaitu Ibrahim Singah dan Hassan Ahmad. Terkini pula, PRU 13 mencatat kemenangan buat kaum melayu DAP iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dengan memenangi Dun Mentakab apabila mendapat 7,882 undi menewaskan Chuah Boon Seng (MCA-BN) dengan majoriti 1,554 undi. Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz pula memenangi kerusi Parlimen Raub dengan memperoleh 23,415 undi apabila menewaskan Datuk Hoh Khai Mun (MCA-BN) dengan meajoriti 2,814 undi. Zairil Khir Johari pula memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera dengan majoriti 12,813 undi apabila mendapat 45,591 undi menewaskan Teh Leong Meng (Gerakan-BN) yang hanya mendapat 12,813 undi.
Apabila DAP banyak memenangi kerusi parlimen, ia menarik perhatian ramai pihak dan semestinya parti komponen lain seperti PAS dan PKR mengambil pengajaran tentang apakah taktik dan strategi DAP memenangi hati pengundi di tempat majoriti bukan melayu dan apakah kekuatan DAP yang dimaksimumkan. Di dalam era menuju politik matang, sentimen perkauman adalah penghalang kemajuan sesebuah negara untuk bersikap stabil politik dan memusnahkan mentaliti masyarakat yang sepatutnya dipandu dengan ilmu dan maklumat, dan diberi kebebasan menilai dan membanding. Sepertinya pihak yang kerap menyala-apikan sentimen perkauman seperti tidak berminat untuk melihat Malaysia menuju ke arah politik matang dan terkehadapan, bebas korupsi dan monopoli, masing-masingnya bersaing melakukan kebaikan buat rakyat.

KREDIT KEPADA :-  Hafizul Faiz



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List