NORMAN HAKIM :- 'Saya tak hutang Abby'

on Sep 16, 2010

 “Tidak timbul langsung soal hutang wang hantaran kerana saya dan Abby sudah berbincang dan bersetuju bersama membelanjakan wang terbabit untuk majlis perkahwinan,” kata aktor Norman Hakim, 34, mengenai dakwaan bekas isterinya yang juga pelakon, Abby Abadi, 32, yang disiarkan Harian Metro semalam bertajuk ‘Norman hutang hantaran RM11,111.11’.
Menurut Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nor Hakim Zaidon, wang berkenaan dipersetujui bersama untuk kos majlis persandingan pada 31 Ogos 2002 di Perdana Grand Ballroom, Dewan Felda, Jalan Semarak, di sini, selepas mereka selamat bernikah pada 8 Januari tahun yang sama.

“Kami (merujuk kepada dia dan Abby) sudah belanjakan wang itu atas persetujuan bersama untuk membuat majlis perkahwinan besar. Apabila terjadi perselisihan faham tiba-tiba dah jadi hutang. Kami saja yang tahu masa mula-mula nak kahwin dulu.

“Apapun saya sebenarnya tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan kami dengan mengeluarkan macam-macam kenyataan. Cuma saya sedih sebab isu ini timbul ketika saya masih belum masuk kerja kerana dalam mood raya dan bertunang,” katanya.

Ditanya adakah dia akan melayani tuntutan hutang hantaran didakwa bekas isterinya itu, Norman yang kesal, kecewa dan sedih dengan dakwaan berkenaan menyatakan dia tidak berhutang apa-apa pun dengan Abby.

“Keperluan ada dua iaitu material dan kasih sayang. Janganlah segala kasih sayang tak nampak langsung hingga saya seolah-olah kejam, tak pernah memberi sumbangan dan tak berfungsi kepada keluarga.

“Selama ini apa jua kenyataan (Abby), saya cuma tunggu dan lihat sebab nak jaga hubungan baik dengan bekas isteri. Bagaimanapun jika terus tunggu dan lihat, orang akan memperkatakan ia betul walaupun hakikatnya jelas bias (berat sebelah).

“Anak-anak telefon saya tanya saya ok ke? Bagaimana dengan maruah dan hati keluarga dan saudara mara apabila keluar dakwaan sebegini,” katanya.

Norman berkata, selama ini dia mengandaikan Abby takkan terlalu berkira dengannya kerana dia juga bersikap sama terhadap bekas isterinya itu.

Tiba-tiba, katanya, dia langsung tidak menyangka dan sungguh terkejut apabila membaca laporan semalam apabila Abby meminta dia menjelaskan hutang hantaran kahwin RM11,111.11 yang realitinya sudah dibelanjakan bersama.

Seperkara lagi dikesalkan Norman ialah apabila Abby mengungkit jumlah sen perbelanjaan untuk tiga cahaya mata mereka iaitu Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5 dan Maria Danisha Hakim, 2. “Takkanlah saya nak beritahu secara tepat segala jumlah nafkah anak dalam media. Janganlah jadikan anak-anak umpama perisai dijaja aib merata tempat.

“Benar, perbelanjaan anak ada orang serah duit bulat-bulat kepada isteri. Tetapi saya beri ikut tahap kemampuan dan saya rekodkan supaya ia mencukupi untuk keperluan. Dalam hal ini perlulah lebih fleksibel serta bersama tunai tanggungjawab.

“Selepas itu dakwa pula saya tak meluangkan masa untuk anak umpama saya macam dah meninggal dunia dan tak wujud...padahal saya beraya dengan mereka,” katanya.

Apapun, Norman berkata dia memberikan kenyataan kali ini adalah untuk menjernihkan status bahagian dirinya yang digambarkan seolah-olah sangat kejam, bersifat tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List