Pada Okt 25 baru-baru ini, Ketua Audit Negara Ambrin Buang mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Menurut petikan Bernama, "Laporan Ketua Audit Negara 2009 itu turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan termasuk Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan mengambil tindakan "corrective dan preventive" (membetulkan dan mencegah) terhadap kelemahan yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan mempertingkatkan penglibatan pegawai pengawal dan ketua jabatan secara "hands-on" dalam perkara ini.
Berbalik pula kepada Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2008 yang menunjukkan terdapat kegiatan ketirisan besar dalam perbelanjaan kerajaan sebanyak RM200 bilion! Antara sebab terjadinya pembaziran itu adalah aktiviti kurangnya mematuhi urus tadbir berkualiti, serta kegiatan rasuah.
Apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkobar-kobar hendak menyiasat kejadian ketirisan yang berskala besar itu? SPRM ditubuhkan pada 1 Januari 2009 atas inisiatif Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi untuk menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
SPRM dikira mempunyai kuasa besar untuk mengesan siapa saja yang terlibat dalam rasuah meskipun ia masih tiada kuasa mendakwa. Bagaimanapun sejak ia dilancarkan sehingga kini, suruhanjaya tersebut ditanggap sebagai bertindak tidak seimbang, yakni ia lebih digunakan terhadap golongan pembangkang meskipun pihak kerajaan akan tetap mempertahankan bahawa ianya sebuah badan bebas dan bertindak tidak mengira bulu.
Kenapa adanya tanggapan sedemikian di kaca mata umum? Pertamanya SPRM itu nampaknya dengan jelas sekali mengelakkan sasarannya ke atas pemimpin berprofil tinggi dari kalangan parti pemerintah. Sebaliknya SPRM lebih cenderong mengorek kes-kes yang dikira kecil daripada kalangan parti pembangkang.
Sebagai satu contoh, ramai masih tertanya-tanya kenapa dakwaan bahawa mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo yang memiliki sebuah banglo mewah bernilai RM24 juta hanya diberikan 'jawapan piawai' -- seolah-olah dakwaan serius terhadap pemimpin BN itu adalah tidak benar.
Khir juga dikatakan telah menyalah guna wang kerajaan sejumlah RM1,733,423 untuk 'pakej percutian ke Magribi dan Disneyland' pada akhir tahun 2004 dan awal tahun 2008.
Bagaimanapun 'perbelanjaan' itu dijelaskan sebagai 'kesalahan teknikal'. Agensi kerajaan terlepas pandang akan kesalahan teknikal itu, dengan lain perkataan bermakna yang memberi itu (iaitu agensi kerajaan) yang salah dan bukannya yang menerimanya, iaitu Khir.
Ada ramai lagi pemimpin BN yang memiliki rumah mewah yang menjangkau berpuluh-puluh juta ringgit yang juga tidak mungkin dapat dibiayai hasil pendapatan mereka sepanjang hayat makan gaji sebagai penjawat kerajaan.
Malahan terdapat ramai terlibat dalam 'rasuah' memandangkan negara mengalami ketirisan besar bernilai berbilion-bilion ringgit sepanjang pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. Mungkin SPRM tidak cukup tangan untuk menanganinya walaupun pada tahun 2009 sejumlah RM600 juta telah diperuntukkan bagi projek pembangunan infrastruktur SPRM. Dijangkakan 12 kompleks SPRM di seluruh negara akan dibina.
Dikorek habis-habisan kes TBH
SPRM agak bertindak dengan kontras pula apabila misalnya menyiasat dakwaan seorang yang melibatkan wang berjumlah lebih kurang RM2,000 berkaitan dengan satu-satu transaksi seperti yang disiasat ke atas Teoh Beng Hock, pembantu kepada seorang ahli exco Selangor.
Teoh, seorang penyokong DAP, disiasat habis-habisan hingga lewat pagi dan berakhir dengan kematian. SPRM bagaikan mengorek kes Teoh itu sehingga ke lubang cacing. Tetapi kita tidak dengar lagi siasatan maha intensif dibuat ke atas seseorang dari kalangan BN dan berakhir dengan yang disyaki itu dihakimi.
Sampai sekarang kerajaan masih tidak meletakkan pendekatan atau satu sistem baru untuk memantau keadaan ketirisan setiap perbelanjaan kementerian. Rakyat boleh menilai tahap kecekapan kerajaan yang tidak mengamalkan dasar yang telus dalam perbelanjaan kerana berlaku banyak kes pembaziran akibat rasuah dan ketidakcekapan mengurus.
Terdapat banyak kes berprofil tinggi yang telah didedahkan oleh media arus perdana mahupun media alternatif, namun setakat ini tampaknya pihak SPRM tidak bersungguh-sungguh lagi untuk menyiasat dan mengheret mereka yang didakwa itu ke muka keadilan.
Salah satu kes yang melibatkan jumlah wang yang besar adalah isu Zon Bebas Port Klang (PKFZ) yang ditaksirkan sebanyak RM12.5 bilion telah lesap ditelan dek kegiatan rasuah. Nama-nama beberapa kerat Datuk berprofil tinggi didakwa terlibat dalam skandal besar ini.
Jika SPRM bersikap ala kadar terhadap skandal sebesar ini, maka ini akan menguatkan tanggapan rakyat bahawa SPRM adalah sebuah badan yang tidak bebas untuk bertindak. Apa yang lebih buruk akan berlaku lagi.
Ikan bilis ditangkap, jerung terlepas
Rakyat akan menganggap bahawa SPRM adalah alat kepada parti pemerintah dan digunakan untuk tujuan mengecewakan strategi PR daripada memberi cabaran yang wajar kepada BN, memandangkan PR semakin dekat untuk menawan Putrajaya.
SPRM mempunyai kuasa besar namun apa yang lebih penting lagi ialah SPRM harus bertindak tanpa memilih-milih siapa objek sasarannya. Kini banyak kritikan pedas dan tajam dilemparkan sehingga Ketuanya turut mengundurkan diri lebih awal daripada tarikh rasminya. Tindakan itu tidak lagi boleh menaik semula imej dan integriti SPRM.
Bagaimana SPRM hendak memulihkan imejnya jika pada tahun 2009, tahun pertama ia dilahirkan, cuma terdapat 12 daripada 1.2 juta penjawat awam telah dibuang kerja daripada dikenakan tindakan disiplin. Ramai di antara 12 pesalah itu adalah dalam kategori 'ikan bilis'.
Nama baik untuk menyerikan martabat SPRM mengambil masa yang lama untuk diperolehi. Bagaimanapun SPRM, jika tidak bebas, akan bertindak agak lebih kurang sama seperti di bawah pimpinan Ahmad Said Hamdan.
Penggantinya, Abu Kassim Mohammed tidak lagi menunjuk apa-apa hasil konkrik kejayaan SPRM selain mengatakan beliau akan meletak jawatan jika kes-kes besar tidak dibuat siasatan. SPRM bagaikan tiada kesungguhan melainkan ia dikekang melalui tangan ghaib.
Pokoknya mungkin apa yang perlu adalah SPRM distruktur semula dan menjadi sebuah entiti bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen atau kepada Yang diPertuan Agong dan bukannya kepada PM. Jangan pula SPRM jadi seperti seekor kerbau yang kuat tenaga fizikalnya tapi hidungnya diikat.
0 comments:
Post a Comment