Penumpang durjana......???

on Oct 29, 2010

KULAIJAYA – Seorang pemandu teksi tergamam apabila beliau tiba-tiba diacukan sebilah pisau di lehernya ketika dalam perjalanan menghantar dua penumpang ke lokasi yang diminta. 

Mahmod Samion, 53, berkata, sebelum kejadian, dua penumpang berkenaan meminta agar menghantar mereka ke Batu 24 berhampiran kawasan perindustrian, di sini, kira-kira jam 12.15 malam, kelmarin. 

“Ketika itu pakcik sedang tunggu penumpang di Hentian Teksi Terminal Kulaijaya seperti biasa sebelum didatangi dua penumpang berkenaan. Tanpa berfikir panjang dan curiga, pakcik segera memulakan perjalanan menghantar mereka ke destinasi yang diminta,” katanya ketika ditemui. 

Bagaimanapun katanya, ketika tiba di lokasi yang dimaksudkan, beliau diarahkan agar menuju terus ke kawasan gelap dan sunyi manakala lehernya diacukan pisau oleh penumpang yang duduk di bahagian tempat duduk belakang. 

“Pakcik terpaksa mengikut arahan mereka kerana terlalu terkejut dan cemas setelah leher diacukan pisau. 

“Manakala seorang lagi penumpang yang duduk di sebelah pakcik turut mengeluarkan sebilah parang pemotong daging sambil meminta menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya. 

Mahmod berkata, situasi itu turut menyebabkan kecederaan pada bahagian bahu dan kedua-dua pergelangan tangannya akibat ditetak salah seorang suspek. 

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua suspek turut melarikan teksi berkenaan dan meninggalkan mangsa sehelai sepinggang di lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer daripada jalan utama. 

“Salah seorang daripada mereka bertindak agresif dengan menarik pakcik keluar dari kereta dan memberi amaran supaya tunggu di kawasan itu selama lima minit. 

“Pakcik terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer untuk meminta pertolongan dan terpaksa menunggu selama 15 minit sebelum terserempak dengan salah seorang anggota polis dan dibawa ke hospital,” katanya. 

Katanya, beliau kerugian kira-kira RM1,000 termasuk wang tunai sebanyak RM 300 manakala kedua penumpang itu dipercayai lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu, memakai t-shirt dan jaket berwarna gelap ketika kejadian. 

Dalam pada itu, teksi milik mangsa yang dilarikan suspek berjaya dikesan berada berhampiran tangki air Taman Tropika, di sini kira-kira jam 2.45 petang, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut di bawah seksyen 395 & 396 Kanun Keseksaaan. 

“Pada masa ini pihak polis sedang mengesan dua suspek untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 395 & 396 Kanun Keseksaaan,” katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List