PEMILIHAN PKR - JANGAN KERANA YB NURUL IZZAH KITA LANGGAR PERATURAN PARTI.....???
Copy & Posted By mahi on Oct 13, 2010
SAYA rasa ramai yang tahu bahawa tarikh tutup pencalonan pemilihan pimpinan PKR adalah 10 Okt yang lalu. Justeru itu, mengapa timbul dakwaan mengatakan adanya konspirasi apabila pencalonan YB Nurul Izzah ditolak setelah beliau hanya mendapat 1 pencalonan sahaja selepas tarikh tutup tersebut? Masakan YB Nurul Izzah sendiri tidak tahu syarat-syarat dan peraturan pemilihan parti yang dipimpin oleh ayahanda dan bondanya itu.
Adilkah tarikh tersebut ditunda semata-mata kerana mahukan YB Nurul Izzah masuk bertanding? Sekiranya parti ini mendabik dada ingin menunjukkan contoh pemilihan yang adil, maka parti mestilah konsisten dengan peraturannya sendiri. Sampai bila kita ingin menuduh parti punyai konspirasi apabila kita sendiri tidak konsisten dengan peraturan yang kita buat? Terlalu banyak masa diberikan, mengapa bila tiba masa akhir baru kita mahu mencalonkan orang itu dan orang ini. Calon pula suka membuat keputusan bertanding di penghujung tempoh dan ini menyukarkan Cabang-Cabang untuk membuat pencalonan.
YB Nurul Izzah sehingga pencalonan ditutup hanya mendapat 1 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, sedangkan untuk mendapatkan kelayakan mestilah sekurang-kurangnya 2 pencalonan. Oleh itu, wajarlah pihak pemilihan menolak pencalonannnya kerana itu lah undang-undang dan peraturan parti, bukan kerana susuk tubuh YB Nurul Izzah. Seandainya pula tarikh ditunda bagi membolehkan YB Nurul Izzah masuk bertanding, maka akan berbunyi pula suara mengatakan mentang-mentang YB Nurul Izzah anak Presiden dan Ketua Umum PKR, maka beliau boleh melanggar peraturan parti.
Mungkin ada yang berkata saya tidak sokong atau bersetuju YB Nurul Izzah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, sebab itu saya menulis sedemikian. Memang benar, saya tidak setuju beliau bertanding merebut jawatan nombor dua itu, tetapi bukan bererti saya tidak menyokongnya. Saya telah pun menulis sebelum ini tentang mengapa YB Nurul Izzah tidak perlu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR . Mungkin apa yang berlaku sekarang satu hikmah di mana YB Nurul Izzah tidak layak bertanding kerana mendapat hanya 1 pencalonan. Sebenarnya sayang untuk menyaksikan YB Nurul Izzah tumbang di medan yang sepatutnya beliau berada.
Jangan diributkan lagi pemilihan PKR yang sedang berjalan ini dengan tuduhan konspirasi. Terlalu banyak kekecohan kita dengar di dalam pemilihan kali ini, tetapi hampir kesemuanya berpunca daripada aspek teknikal. Itu perkara biasa di dalam parti yang buat pertama kalinya melaksanakan pemilihan secara lebih demokrasi `satu kepala, satu undi'. Mana yang cacat, patut diperbaiki agar pemilihan di masa akan datang lebih baik dan teratur./wfauzdin.blogspot.com
Labels:
Pemilihan PKR
0 comments:
Post a Comment