Kuasa Ketiga untuk PRU 13.........???

on Nov 18, 2010

16 orang telah menawar diri, Haris Ibrahim




"Kuasa ketiga" bakal meletakkan calon yang berkualiti untuk mengisi kekosongan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13, menurut pelopornya, Haris Ibrahim.  Peguam hak asasi manusia ini menafikan bahawa Zaid Ibrahim adalah sebahagian daripada gerakan ini, sambil memaklumkan bahawa 16 orang telah menawar diri untuk menjadi calon bebas dalam PRU akan datang.

Haris Ibrahim telah menyatakan hasratnya untuk membentuk "Kuasa Ketiga" sejak awal Ogos tahun ini.  Matlamatnya adalah memilih mereka yang berkualiti dari masyarakat sivil untuk dijadikan calon, agar peristiwa lompat parti untuk kepentingan diri oleh ahli parlimen pembangkang tidak berulang.  Cadangan ini mengundang pujian dan kritikan setelah diutarakan.  Mereka yang kecewa dengan PR bertepuk tangan, sementara ada yang menganggap ia terlalu "naif" - kerana tindakan ini bakal memecah-belahkan kekuatan pembangkang.

Haris Ibrahim menjelaskan kepada MerdekaReviewbahawa menumpaskan Barisan Nasional adalah matlamat yang dikongsi bersama oleh "kuasa ketiga" dan PR.  Namun demikian, PR kekurangan calon yang berkualiti untuk bertanding di kesemua 222 kawasan parlimen.  Oleh itu, "kuasa ketiga" cuba mendapatkan mereka yang berkualiti tetapi tidak berniat untuk menyertai mana-mana parti politik dari masyarakat sivil, untuk ditawarkan kepada PR.

"Kemudian, terserahlah kepada Pakatan Rakyat untuk membuat keputusan.  Mereka sendiri yang kekurangan calon," katanya ketika dihubungi MerdekaReview, semalam.
Namun, ketika ditanya sama ada "perang tiga penjuru" bakal menghakis sokongan terhadap PR, Haris Ibrahim berkata, "Tengoklah PRK Batu Sapi, perang tiga penjuru tetap wujud walaupun tiada masyarakat sivil."

Kuncinya, calon terbaik harus diletakkan untuk bertanding, tegas Haris Ibrahim.
Ketika ditanya kayu ukur penilaian calon, beliau berkata piawaiannya telah ditetapkan PKR sendiri.  "Kuasa ketiga" akan menilai calon berdasarkan kayu ukur yang ditetapkan PKR.  Sambil mengambil ahli parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne (gambar kanan) sebagai contoh, Haris berkata mereka sudi menerima Loh sebagai calon, seandainya Loh lulus mengikut kayu ukur PKR.

Sebaliknya, Haris mempersoalkan, "Jikalau Loh Gwo-Burne sudah tidak lulus mengikut kayu ukur kamu sendiri (PKR), mengapa masih lagi diletakkannya sebagai calon?"

Integriti menjadi keutamaan

Beliau memaklumkan bahawa keutamaan yang diberikan ketika memilih calon bukan berasaskan prestasi calon tersebut, tetapi integriti - untuk mengelakkan peristiwa keluar parti seperti Zulkifli Nordin, Wee Choo Keong, Zahrain Hashim dan sebagainya daripada berlaku.

Haris berkata, daripada 222 kerusi parlimen, BN dan pro-BN mempunyai 146 sementara PR mempunyai 76 kerusi, menunjukkan bahawa PR kelihatan tidak mempunyai calon berintegriti yang mencukupi untuk bertanding.

"Seandainya PR menang dalam PRU ke-13, dan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.  BN menawarkan RM2 bilion, dan kita akan menyaksikan satu lagi krisis Perak," katanya.

Haris turut memaklumkan bahawa setakat ini, terdapat 16 orang calon yang "sangat baik" telah menawar diri sebagai calon bebas.

Haris Ibrahim berkata, beliau mencadangkan tiga usaha untuk gerakan di bawah inisiatif masyarakat sivil ini.  Selain menawarkan calon bebas yang berintegriti, dan berpendirian sama dengan PR dalam isu berhubung kepentingan rakyat, mereka juga akan menyebarkan maklumat tentang masyarakat sivil, malah memulakan gerakan peringkat kebangsaan untuk menyeru agar rakyat menghukum parti politik yang terlebih belanja ketika berkempen.

"Akta Pilihan Raya menetapkan bahawa perbelanjaan di setiap kawasan pengundian (parlimen) tidak boleh melebihi RM200 ribu.  Tetapi dalam PRK Hulu Selangor, RM100 juta telah dibelanjakan."

Nafi berkempen untuk Zaid

Satu mesyuarat tertutup dijadualkan pada hujung minggu lalu di kalangan wakil dari masyarakat sivil untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk gerakan tersebut, namun terpaksa digugurkan kerana kehadiran yang terlalu rendah.  Haris Ibrahim memberitahu bahawa satu mesyuarat meja bulat akan dipanggil pada 19 Disember ini untuk mengumpulkan wakil dari badan bukan kerajaan.  Seterusnya, satu Konvensyen Rakyat akan diadakan pada awal Januari 2011 untuk merestui hasil perbincangan meja bulat tersebut.

"Tidak, tidak, tidak," beliau menafikan Zaid Ibrahim (gambar kanan) sebagai sebahagian daripada gerakan ini.  Zaid Ibrahim menjadi tumpuan media sejak kebelakangan ini apabila menarik diri dari pemilihan parti dan meletak jawatan partinya dalam PKR.
Ketika dibangkitkan bahawa Haris Ibrahim kelihatan seolah-olah berkempen untuk Zaid Ibrahim dalam pemilihan PKR, beliau mengajukan soalan kepada wartawan sebaliknya, "Kamu tunjukkan mana artikel saya dalam tiga bulan kebelakangan ini berkempen untuk Zaid?  Saya mengkritik proses Pemilihan PKR, ya, saya mengkritik Anwar dan Azmin Ali mempunyai agenda Islam, saya akan terus berbuat demikian."

Beliau menambah, oleh sebab PKR menuntut pilihan raya yang adil dan mendukung konsep ketuanan rakyat, maka PKR perlu menunjukkan teladan.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List