NAK KE PUTRAJAYA.....BOLEH KE......????

on Nov 8, 2010

Rentetan tindakan Zaid, Mustaffa gesa pemilihan PKR ditangguh




KUALA LUMPUR, 8 Nov — Mustaffa Kamil Ayub, seorang lagi calon jawatan timbalan presiden PKR menegaskan, sudah sampai masanya proses pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditangguhkan sementara segala kepincangan yang didakwa wujud diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, Mustaffa yang juga naib presiden PKR berkata, beliau akan mengemukakan satu memorandum komprehensif mengenai isu-isu yang timbul sejak proses pemilihan pusat dimulakan 29 Oktober lalu kepada sekretariat parti untuk tindakan.

Bagaimanapun kata Mustaffa, sama ada beliau akan mengekori keputusan Datuk Zaid Ibrahim yang memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua itu, bergantung pada tindakan diambil pucuk kepimpinan terhadap memorandum tersebut.
“Kita tengok dulu hasil tindakan berhubung memorandum (yang akan dihantar kepada sekretariat),” kata beliau kepada The Malaysian Insider mengenai tindakan Zaid yang diumumkan menerusi blognya awal pagi ini.

Mustaffa mengulas perkembangan yang menyelubungi proses pemilihan parti, antara lain Zaid meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan bahawa pemilihan dicemari kecacatan dan tidak dijalankan dengan adil.
Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan yang tidak adil meskipun isu-isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali sebelum ini.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” kata Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.
Zaid, bekas anggota Kabinet kerajaan pusat, menyertai PKR pertengahan tahun lalu. Beliau kini merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan menganggotai Biro Politik.
Dalam saingan jawatan timbalan presiden, Zaid berhadapan dengan cabaran Azmin Ali, yang didakwa mendapat sokongan Anwar, dan Mustaffa.

Azmin dan Mustaffa masing-masing merupakan Pengerusi PKR Selangor dan Perak.
Selepas 87 cabang menyelesaikan proses pengundian sehingga semalam, Azmin berada jauh di depan dengan menguasai sebahagian besar undi dari Sabah.
Sambil berpendapat keputusan Zaid itu sebagai sesuatu yang tidak baik bagi parti, jelas Mustaffa, tindakan itu menunjukkan beliau sudah tidak yakin dengan proses pemilihan parti.
Mustaffa berkata, beliau mendengar beberapa kepincangan yang turut wujud ketika proses pemilihan pusat di Sabah kelmarin dan semalam.

“Sebagai contoh, saya mendengar ketika pemilihan cabang, yang keluar mengundi hanya sekitar 100 orang tetapi meningkat beratus ketika pemilihan pusat,” katanya.
The Malaysian Insider difahamkan ia merujuk kepada peratusan keluar mengundi yang begitu tinggi di cabang Sandakan dan Libaran.
“Bukan itu sahaja sebabnya (isu di Sabah), kemungkinan beliau (Zaid) ada sebab-sebab lain tersendiri,” kata Mustaffa lagi.

“Saya sedang menyediakan memorandum yang komprehensif, dengan sebab-sebab yang baik dan munasabah mengapa pemilihan ini perlu ditangguhkan,” kata beliau lagi.
“Saya sedang mengumpulkan bukti, fakta untuk menyediakan satu memorandum yang komprehensif mengenai pemilihan... sebagaimana saya katakan minggu lalu, pemilihan ini harus ditangguhkan buat sementara waktu,” kata Mustaffa.

Katanya, memorandum itu akan diserahkan kepada sekretariat parti sama ada esok ataupun Rabu ini.

MS : Sebagai orang biasa, yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, beranggapan bahawa kejadian-kejadian sebegini sedikit sebanyak menghilangkan keyakinan pada kemampuan pihak-pihak berkenaan dalam megendalikan sesuatu isu. Cakap-cakap dan pandangan atau penafian orang dalam atau orang berkepentingan (pimpinan PKR) - yang orang ramai tidak pasti kesahihannya - kadang-kadang tidak boleh diterima.
Itu apa yang aku rasa. Korang mungkin berlainan. Subjektif.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List