Saya telah mendaftar di sebuah sekolah menunggang kuda beberapa hari yang lalu. Kali terakhir saya menunggang kuda adalah tujuh tahun yang lalu. Selepas Hulu Selangor (di mana saya digelarkan sebagai seorang kaki judi dan baru-baru ini sebagai seekor Kuda Trojan), saya fikir adalah tidak bijak bagi saya untuk melibatkan diri dengan kuda. Bagaimanapun, saya memutuskan untuk menunggang kuda kembali, kerana saya sukakan kuda.
Tetapi selepas dua kelas di Taman Ekuestrian Putrajaya, saya telah diberitahu oleh pihak pengurusannya bahawa saya tidak lagi dibenarkan untuk menunggang di sana. Walaupun berita itu mengecewakan, saya tidak menyalahkan syarikat dan pihak pengurusannya kerana saya faham bahawa mereka berada di dalam satu keadaan yang sukar. Jelas sekali seseorang berpengaruh telah memastikan yang Zaid Ibrahim tidak akan menunggang di sebuah tempat yang, walaupun dipunyai oleh kerajaan, terbuka kepada masyarakat umum.
Kisah ini hanyalah satu contoh di mana keputusan telah dibuat untuk memenuhi agenda dan kepentingan peribadi seseorang menggunakan institusi dan harta kerajaan.
Satu lagi pengalaman peribadi saya dan isteri juga menzahirkan tema yang sama. Suliana telah menguruskan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) sejak sekian lama. Kami bekerja keras untuk mengumpulkan dana daripada masyarakat umum kerana segala aktiviti kami untuk membantu orang miskin dan orang kurang upaya perlu dibayar. Kebajikan ini memanfaatkan masyarakat umum secara keseluruhannya, dan kami tidak pernah tidak memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja hanya kerana pegangan politik mereka. Sewaktu saya berada di dalam Umno, kami membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, sama ada mereka ahli PAS atau Umno.
Apabila saya menyertai pembangkang, kami tetap menggunakan dasar yang sama. Malangnya, institusi-institusi kerajaan telah menjadi alat kepada kerajaan yang memerintah. Kami mendapat tahu bahawa Jabatan Pelajaran Kelantan telah mengarahkan sesetengah guru supaya berhenti menghantar kanak-kanak ke pusat pemulihan kami dan supaya berhenti melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti kebajikan kami. Ini bukan sahaja merugikan kami, tetapi juga guru-guru dan kanak-kanak yang memerlukan. Saya tidak fikir Menteri terbabit mengetahui tentang arahan ini tetapi demi kepentingan kanak-kanak, sahabat lama saya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melihat perkara ini.
Tetapi di sinilah wujudnya perbezaan: apabila keputusan perlu dibuat terutamanya ke atas perkara-perkara yang melibatkan kepentingan umum, dan untuk kemudiannya menggunakan institusi-institusi ini dengan betul, kita gagal untuk berbuat demikian.
Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengambil keputusan yang tidak mencerminkan kedudukannya sebagai mahkamah tertinggi negara. Keengganan mereka untuk memperkatakan tentang isu-isu penting yang ditimbulkan di dalam kes Shamala (yang dirujukkan kepadanya oleh Mahkamah Rayuan) ke atas pelbagai interpretasi undang-undang sivil dan syariah adalah tidak baik dan tidak patut. Konflik-konflik yang timbul daripada perbezaan interpretasi perundangan di Mahkamah-Mahkamah Sivil dan Syariah mesti diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Seseorang yang berada di dalam mahkamah-mahkamah tertinggi Malaysia mesti mempunyai keberanian dan kejujuran intelektual untuk menjawab isu yang mahkamah mempunyai kuasa mutlak untuk memberi interpretasi dan membuat keputusan mutlak ke atas peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri, tanpa mengira sama ada nama undang-undang itu adalah Islam atau sebaliknya. Sehingga mahkamah menerima tanggungjawab ini, negara kita tidak boleh berharap untuk membangun dengan aman dan mempertahankan keharmonian agama.
Kita hanya menyaksikan kebisuan dari semua pemimpin politik kedua-dua belah pihak ke atas isu ini. Ini adalah contoh di mana kelangsungan politik lebih diutamakan. Seseorang itu sudah semestinya boleh kehilangan undi dengan memihak, walaupun jika ketidakadilan dan kesukaran pada rakyat jelas terlihat. Di mana hakim-hakim takut untuk berpijak, maka pemimpin-pemimpin politik yang bertanggungjawab mesti bangkit dan membuat undang-undang jika perlu.
Intinya, maksud saya adalah bahawa ahli-ahli politik dan parti-parti politik bukanlah kurang di Malaysia. Malah, saya fikir kita sudah mempunyai lebih dari yang diperlukan untuk sebuah negara yang mempunyai 28 juta penduduk. Tetapi parti-parti yang ada sekarang mempunyai satu persamaan – mereka tidak mempunyai kesanggupan untuk membuat pendirian ke atas mempertahankan prinsip-prinsip asas, terutamanya jika isu-isu itu dikira kontroversi atau tidak selari dengan kepentingan-kepentingan peribadi pemimpin mereka, atau kerana prospek mereka untuk memperolehi undi yang lebih akan terhalang oleh pembuatan pendirian yang berprinsip.
Di dalam dunia politik yang melimpah dengan parti-parti yang tidak sanggup untuk membuat pendirian, yang membuatkan kita tidak dapat membezakan di antara satu parti dengan parti yang lain, masanya telah tiba untuk sebuah parti politik yang berbeza dan berpinsip dilahirkan.
0 comments:
Post a Comment