Pelantikan Zaid sah, Hanafi sudah digantung keahlian – KITA

on Dec 16, 2010

Zaid 1

Bekas Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Zakaria Salleh hari ini mempertahankan pelantikan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim sebagai presiden semalam adalah sah mengikut perlembagaan parti.
Melalui pelantikan Zaid itu juga, Zakaria turut menegaskan parti Akim yang kini bertukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) juga adalah sah selepas keputusan daripada ahli dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat agung tahunan parti itu di Tropicana Golf & Country Resort di sini semalam.
Zakaria yang melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Zaid menerajui kepimpinan KITA membidas dakwaan bekas calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 2008 Hanafi Hamat bahawa dirinya masih presiden yang sah.
Beliau ketika dihubungi FMT sebaliknya berkata, dalam pemilihan ahli jawatankuasa parti semasa Muktamar Agung Akim pada 26 Disember tahun lalu, undian daripada ahli parti memilih dirinya sebagai presiden dan bukannya Hanafi.
"Memang benar pada 24 Oktober tahun lalu Hanafi masih seorang presiden dan saya timbalannya. Namun beliau bukan lagi presiden selepas Akim mengadakan Muktamar Agung kali kedua pada Disember tahun lalu," katanya.
Konflik kepimpinan
viewerZakaria mendakwa, konflik kepimpinan terjadi apabila Hanafi yang memegang jawatan sebagai presiden ketika itu menganggap Akim sebagai satu syarikat perniagaan ’sendirian berhad’.
"Bagi dia (Hanafi) parti Akim dianggap seperti parti sendirian berhad yang mahu ikut kepentingan sendiri.
"Dia tidak ada apa-apa hala tuju dalam memimpin parti, malah tidak mahu adakan sebarang mesyuarat atau perbincangan parti sepanjang memegang jawatan sebagai presiden," katanya.
Berikutan itu, Zakaria berkata ahli Akim mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Hanafi dan pada satu perjumpaan untuk menentukan tarikh mesyuarat agung parti yang dipengerusikan sendiri oleh Hanafi pada 10 Disember tahun lalu, ahli parti mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan presiden.
"Berikutan beberapa perselisihan pada ketika itu, Hanafi sendiri bertindak keluar dewan meninggalkan mesyuarat itu separuh jalan.
Peruntukan perlembagaan parti
"Namun parti tetap mengadakan Muktamar Agung mengikut peruntukan perlembagaan parti yang mewajibkan mesyuarat diadakan dua kali setahun sebelum 31 Disember setiap tahun," katanya.
Selain itu, Zakaria berkata Akim pada Oktober lalu telah pun megambil keputusan menggantung keahlian Hanafi kerana tindakannya yang membuat keputusan mahu meletakkan calon daripada parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Galas tanpa berunding dengan ahli parti yang lain.
Penggantungan Hanafi menurut Zakaria diputuskan lembaga tindakan tatatertib kerana beberapa sebab tertentu yang boleh merugikan parti dan bertentangan dengan perlembagaan parti, malah laporan polis juga dibuat parti itu terhadap Hanafi pada Oktober lalu.
"Hanafi digantung keahliannya sehingga kepada satu tempoh masa yang belum ditetapkan.
"Jadi sekarang beliau bukan lagi seorang presiden malah bukan lagi seorang ahli kerana telah digantung..bagaimana beliau masih boleh keluarkan kenyataan mendakwa dirinya masih lagi seorang presiden yang sah dan tidak mahu mengiktiraf sebarang bentuk penukaran nama baru parti ini..sudah jelas beliau tiada sebarang hak untuk bersuara pun.
KITA diiktiraf oleh ahli
Ini juga bermakna Zaid adalah presiden parti yang sah selepas mesyuarat agung memutuskannya semalam dan KITA juga diiktiraf oleh ahli dalam mesyuarat," katanya.
Beliau berkata perkara ini dapat dibuktikan melalui notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Putrajaya bertarikh 20 Oktober tahun ini (gambar) yang menerima Muktamar Agung Tahunan pada 26 Disember tahun lalu sebagai penyelesaian kepada pertikaian dan mengiktiraf dirinya sebagai presiden.
Sementara itu, Zakaria ketika ditanya tentang penukaran Akim kepada KITA, beliau berkata pihaknya sehingga kini masih lagi belum mengisi borang ROS untuk menukar nama baru parti itu walaupun kata sepakat sudah pun diambil semasa mesyuarat agung semalam.
"Borang sudah ada tapi masih belum diisi. Kita akan serahkan kepada ROS untuk mengiktiraf KITA dalam masa terdekat," katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List