Kenapa Jawatankuasa Disiplin UMNO Tidak Mengambil Tindakan Terhadap Mahathir Kerana Terang Terangan Menyokong Calon Bebas...?

on Apr 30, 2013





Mahathir terlalu ‘emotional’ dan ‘personal’ terhadap Husam Musa serta memandang rendah terhadap calon PAS di Putrajaya itu. Mahathir sememangnya seorang yang angkuh tetapi saya tidak pernah terfikir keangkuhan bekas Perdana Menteri itu tiada batasannya. Saya ingatkan hanya Firaun sahaja yang berkata tiada siapa yang boleh menyainginya di dalam dunia ini.

Mahathir cuba merendah-rendahkan Husam Musa dengan meminta Husam duduk diam-diam di Kelantan dan jika dah berjaya di Kelantan barulah minta izin untuk bekerja di Putrajaya. Siapa Dr Mahathir ini untuk menyekat Husam ke Putrajaya? Meminta Husam meminta izin sebelum ke Putrajaya itu menampakkan sikap ego besar bagi melindungi perasaan ‘desperate’ beliau sehingga sanggup bercakap begitu peribadi terhadap seorang warga negara sebuah Persekutuan yang lain.

Mahathir telah menunjukan ‘desperation’ beliau dengan begitu ketara. Husam tidak perlu menjawabnya, kerana pengundi Putrajaya akan menjawabnya tidak lama lagi. Husam hanya perlu berdiam diri. Anggap sahaja Mahathir itu sebagai seorang yang sedang sakit. Putrajaya itu bukannya kepunyaan Dr Mahathir dan beliau terlupa yang Putrajaya itu dibina atas hasil Petronas dan bukannya hasil dari keluarga beliau.

Mahathir bercakap seolah-olah Kelantan itu terlalu miskin dan Husam wajar duduk di Kelantan diam-diam. Siapa Dr Mahathir untuk meminta Husam berdiam diri? Negara ini negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana. Kita boleh mengkritik lawan kita dalam politik tetapi kena adalah sedikit etika lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi pemimpin utama negara suatu ketika dahulu.

Sebenarnya Dr Mahathir ini tidak ada siapa yang boleh menolongnya untuk memulihkan status beliau sebagai seorang bekas pemimpin yang ulung. Kesilapan ini bukan kesilapan sesiapa tetapi kesilapan beliau sendiri. Beliau sendiri memilih untuk merasa resah gelisah dalam kehidupannya. Tiada siapa yang menyuruh beliau untuk melakukan kesalahan demi kesalahan semasa menjadi pemimpin utama negara dahulu.

Beliau sendiri yang suka untuk melakukan keganasan terhadap partinya dan dirinya sendiri. Beliau jugalah yang telah memecat hakim-hakim yang tidak bersalah. Kesalahan hakim-hakim Mahkamah Agong dahulu semata-mata hakim-hakim semasa itu bersikap adil dan terhormat. Mahathir tidak suka kepada hakim yang mengutamakan keadilan. Bagi Mahathir keadilan hanyalah jika keuntungan berpihak kepada beliau. Apabila beliau merasakan hakim akan memberikan ‘verdict’ yang tidak memihak kepada beliau, maka hakim itu akan mendapat penghakiman dari beliau pula.

Entah apa yang menyebabkan Dr Mahathir terlalu ghairah untuk mempertahankan UMNO itu sedangkan beliau sendiri pernah keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan di Sri Perdana dahulu. Kita juga tidak faham kenapa beliau tidak pula mahu UMNO bertanding di Pasir Mas dan meminta pula calon UMNO yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya supaya jangan diambil tindakan. Kita sedang menunggu tindakan UMNO terhadap Dr Mahathir kerana menyokong calon bebas. Mahathir sepatutnya dipecat bersama 61 ahli UMNO yang lain kerana bertanding bebas dan menjadi penyokong kepada calon-calon bebas itu.

Kenapa Dr Mahathir tidak dipecat? Kenapa UMNO biarkan Mahathir bermaharajalela tanpa sebarang sekatan daripada jawatankuasa disiplinnya? Jika Dr Mahathir sendiri membunuh peluang UMNO untuk menang di Pasir Mas kenapa beliau beriya-iya sangat mempertahankan UMNO di Putrajaya? Kenapa Dr Mahathir mahu beriya-iya sangat untuk meruncingkan keadaan negara ini? Apakah niat sebenar Dr Mahathir ini?

Apa salahnya jika UMNO kalah di Putrajaya? Adat pertandingan mestilah ada kalah menangnya. Dr Mahathir mahukan UMNO bersifat seperti beliau mengendalikan UMNO dahulu. Beliau tidak berani bertanding sekali lagi dalam pemilihan UMNO maka beliau terus mengharamkan UMNO itu. Apabila dirasakan akan kalah dalam pertandingan tinju beliau akan musnahkan pentas tinju itu dan akan membina pentas tinju yang lain. Jika dirasakan kalah dalam pertandingan bola sepak, beliau akan alihkan tiang gol ke mana beliau suka.

Mahathir mahukan semua manusia mengikut kehendak beliau dan jangan ada yang menentangnya. Mahathir telah mengalahkan semua musuh-musuhnya sehingga tiada siapa yang beliau hendak kalahkan lagi. Sekarang Mahathir sedang berhadapan dengan ‘nature’ dan saya merasakan jika semua orang membantu beliau sekali pun, beliau tidak akan dapat diselamatkan lagi. Beliau akan terus dengan keresahannya sampai bila-bila.

Sekarang kita doakan Mahathir ini agar beliau kembali berada dalam ketenangan hidup. Beliau ini sebenar-benarnya memerlukan pertolongan dari kita. Seperti yang saya sebut tadi tiada siapa yang boleh membantu beliau lagi selain dari kita berdoa untuk beliau mendapat ketenangan yang amat-amat beliau perlukan sekarang ini.

Ini menjadi pengajaran kepada pihak Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk berkuasa. Perdana Menteri gantian nanti janganlah melakukan kerja seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir semasa beliau berkuasa dahulu. Jika melakukan perkara yang sama keterlaluan maka zaman persaraan kehidupannya akan dihimpit dengan perasaan seperti yang dialami oleh Mahathir sekarang ini.

Beringat-ingatlah. Jika keresahan ini boleh dialami oleh Dr Mahathir, ia akan juga dialami oleh sesiapa yang lain jika melakukan perlakuan yang sama seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu.




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List