Jenapala Calon Ketiga Umum Hasrat Rebut Timbalan Presiden

on Sep 17, 2010



KUALA LUMPUR 17 Sept - Gelanggang pertarungan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) semakin hangat dan menarik apabila bekas Timbalan Setiausaha Agung PS Jenapala menawarkan diri bertanding kerusi itu hari ini.
Jenapala menjadi calon ketiga mengumumkan secara rasmi hasrat mengisi kerusi tersebut yang dikosongkan oleh Senator Dr Syed Husin Ali apabila memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandang beliau sejak 2003, Selasa lalu.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim merupakan orang pertama menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Kuantan 6 September lalu.
Ini ikuti pula oleh Naib Presiden Azmin Ali yang berbuat demikian ketika sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Dalam satu kenyataan yang diemel kepada Suara Keadilan Jenapala berkata keputusan beliau bertanding bagi jawatan kedua tertinggi dalam KEADILAN didorong oleh empat faktor - perwakilan yang adil serta rasa hormat kepada komuniti India di dalam KEADILAN, menguji tahap demokrasi dalam parti, mengesahkan KEADILAN sebagai sebuah parti yang pluralistik dan berbilang kaum serta pemerkasaan ahli peringkat akar umbi.
"Saya mempunyai rasa hormat yang ama tinggi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Inilah apa yang dijanjikan oleh parti sebelum Mac 2008 apabila Datuk Seri Anwar menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan untuk bersama-sama KEADILAN menegakkan keadilan dan mewujudkan Malaysia yang lebih baik," kata beliau.
Jenapala berkata beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN disebabkan masalah kewangan tetapi kini ia telah hampir selesai.
"Saya berharap KEADILAN menghormati keputusan saya sebagai ahli parti untuk bertanding dalam pemilihan yang akan berlangsung tanpa terlibat dalam kempen memburuk-burukkan calon," ujar Jenapala.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List