“Saya menyesal kerana tergamak memukul suami dengan penyapu, halau dia dari rumah, herdik dan caci dia dengan pelbagai perkataan kesat, malah saya tuduh dia suami dan bapa tidak bertanggungjawab. Kini saya terima balasannya setelah beberapa tahun perkara ini berlaku,” luah seorang isteri yang juga ibu kepada lima anak yang ingin dikenali sebagai Fatimah, 33, tentang sikapnya yang tidak menghormati suami.
Dia kini amat menyesal dan tidak dapat menerima hakikat dia diceraikan beberapa hari lalu. “Saya tahu, tindakan yang saya buat sebelum ini berdosa, namun sifat ego yang menebal dalam diri membuatkan saya sering menjauhkan diri dari suami walaupun dia berkali-kali mengajak saya berbaik dan memulakan hidup baru bersama. Saya akui saya masih sayang padanya, namun hasutan syaitan membuatkan hati saya berkeras untuk tidak menerima pelawaannya”.
Dia mengenali bekas suami ketika sama-sama di bangku sekolah 15 tahun lalu. “Kemudiannya kami menyambung pengajian di luar negara dan melangsungkan perkahwinan di sana. Setelah setahun kami dikurniakan seorang anak. Tiga tahun kemudian kami kembali ke Malaysia dan dikurniakan tiga lagi anak. Pada awalnya suami ditawarkan jawatan sebagai pegawai dalam sektor kerajaan bagaimanapun dia berhenti kerja tiga tahun kemudian atas alasan tiada sefahaman di tempat kerja. Sejak itu, dia menganggur dan saya yang bekerja sebagai guru separuh masa terpaksa mengambil alih tugas memberi nafkah kepadanya dan anak-anak”.
Sejak itulah pergaduhan antaranya dan suami bermula. Suami cuba mencari pekerjaan namun sukar kerana terlalu memilih pekerjaan. “Saya amat tertekan hingga terpaksa membayar pelbagai bil yang mencecah ribuan ringgit sedangkan gaji saya cuma sekitar RM1,000 lebih sahaja, tambahan lagi saya mengandungkan anak kelima. Kami sering bertengkar di depan anak-anak hingga saya sanggup memukulnya dengan penyapu. Kalau ada botol, botol juga dibaling. Hampir lima tahun berlaku dan setahun lalu kami tinggal berasingan sejak suami memperoleh pekerjaan di sebuah sekolah di Pahang. Dia hanya balik menjenguk anak-anak dan kami tidak pernah bercakap apatah lagi bersua muka. Namun kini saya amat menyesal kerana rumah tangga yang dibina hampir 12 tahun ranap sekelip mata”.
-SgKasai-
0 comments:
Post a Comment