Speaker gagal kawal perjalanan sidang Dewan Rakyat

on Dec 15, 2010

lajim ukin 1Para pemimpin utama Pakatan Rakyat kesal dan kecewa dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Lajim Ukin yang didakwa gagal mengawal perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mereka juga mendakwa Lajim kerap membuat keputusan yang tidak konsisten termasuk menerima usul yang dibuat menteri sesuka hati atas alasan menggunakan kuasa Speaker.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti.
"Prosedur parlimen dipermainkan oleh kuasa majoriti," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Ketua Umum PKR itu berkata, beliau tidak diberi peluang menjawab terhadap usul menggantung beliau selama enam bulan kerana membangkitkan isu Apco dan Umno.
Dinafi hak pertahan diri
"Saya tidak diberi hak untuk mempertahankan diri sedangkan saya telah siap dengan hujah-hujah," katanya.
Ketua Pembangkang parlimen juga mendakwa keputusan yang dibuat oleh Speaker sentiasa berubah.
"Hari ini beliau menerima usul untuk mengantung tiga ahli Parlimen iaitu R Sivarasa (PKR – Subang); Karpal Singh (DAP – Bukit Gelugor) dan Azmin Ali (PKR – Gombak) dengan hujah-hujah yang tidak munasabah.
"Kalau tindakan di ambil ke atas mereka kerana bercakap dengan blogger dan media, apa salahnya panggil mereka untuk memberi keterangan. Panggil mereka, ambil keterangan dua jam," katanya.
Kuasa majoriti
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, jika Speaker menggantung empat ahli Parlimen selama enam bulan bermakna Barisan Nasional (BN) seolah-olah mendapat semula kuasa majoriti dalam dewan. Katanya, secara otomatik empat ahli parlimen berkenaan terlepas peluang untuk menghadiri sidang parlimen selama dua penggal.
"Peluang ini boleh digunakan oleh BN untuk membuat apa-apa pindaan termasuk persempadanan semula kawasan pilihanraya," katanya.
Isu yang serius
Sementara itu Naib Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, isu menggantung ahli Parlimen selama enam bulan merupakan satu isu yang serius.
Katanya, semasa beliau menjadi ahli parlimen pada tahun 1990, apabila keadaan menjadi tegang Speaker akan menghentikan sidang sementara. Tetapi hari ini Speaker meneruskannya walaupun keadaan menjadi tidak terkawal," katanya.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, wakil rakyat pembangkang dalam perbahasan tidak menyentuh isu mengenai Raja-raja Melayu, rahsia dan kes mahkamah.
"Pakatan Rakyat berjanji jika kita berkuasa, kita akan membuat perubahan terhadap sistem parlimen negara," katanya.
Dalam perbahasan sebelah pagi, Speaker mengarahkan Sivarasa dan Azmin keluar Dewan Rakyat sehingga jam 2.30 petang kerana didakwa enggan mematuhi arahannya.
Usul gantung 3 MP PR
Pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membawa usul menggantung ketiga-tiga ahli parlimen terbabit kerana beberapa kesalahan.
Karpal Singh dan Sivarasa, merupakan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, didakwa menghina dewan selepas membuat kenyataan di luar Parlimen berhubung prosiding Jawatankuasa itu pada 3 Disember lepas.
Mereka dikatakan telah mendedahkan keterangan dan surat Apco semasa berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa.
Tindakan itu dikatakan menyalahi Peraturan Mesyuarat 85, apabila menyatakan bahawa kenyataan dan surat yang diberikan kepada ahli jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan kepada sesiapa sehingga notis itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List