Lima tahun lagi, pengguna Internet berkemungkinan berdepan dengan masalah untuk melayari laman web sedia ada sekiranya mereka tidak mengubah alamat peralihan penggunaan Protokol Internet (IP) daripada versi keempat (IPv4) kepada versi keenam (IPv6).
Pengarah Bahagian Industri dan Rangkaian Komuniti Pusat Kecemerlangan IPv6 Termaju Kebangsaan (NAv6), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr R Sureswaran, berkata penggunaan IPv6 adalah untuk memudahkan capaian masuk ke semua laman web kerana ia mempunyai ciri 128 bit, jauh lebih besar daripada alamat IPv4 yang hanya memiliki 32 bit.
Katanya, penukaran IPv4 kepada IPv6 sangat penting berikutan penggunaan alamat IPv4 dijangka tidak lagi mampu menampung pertambahan pengguna Internet pada masa akan datang.
"Jumlah pelanggan dan laman web di seluruh dunia dijangka meningkat dan dikhuatiri IPv4 yang menampung kira-kira 4.3 bilion alamat IP ketika ini tidak dapat menampung jumlah pelanggan dan laman web yang semakin meningkat," katanya di sini, hari ini.
IP adalah protokol tanpa sambungan yang membolehkan data dihantar dari satu komputer kepada yang lain dalam satu rangkaian tertentu tanpa sambungan berterusan antara kedua-dua alat komunikasi itu.
"IPv6 mampu mengembangkan ruang alamat yang lebih luas serta lebih pantas disamping dapat meningkatkan jumlah IP yang sedia ada," katanya.
Sureswaran berkata, pengguna tempatan perlu segera menukar alamat IP dari IPv4 kepada IPv6 supaya tidak ketinggalan daripada segi teknologi serta untuk memudahkan capaian ke atas laman web tertentu termasuk laman sosial seperti Facebook, Youtube atau Google disebabkan laman web tersebut sedang dalam proses peralihan kepada IPV6 pada masa akan datang.
"Sekiranya seluruh dunia sudah bertukar kepada IPv6 kemungkinan kita akan menghadapi kesukaran untuk melayari laman web tertentu jika masih menggunakan alamat protokol IPv4," katanya.
Beliau berkata, NAv6 akan bekerjasama dengan Jepun untuk melatih tenaga pakar dalam IPv6 kepada negara membangun seperti Thailand, Bangladesh, Laos, Sudan,Vietnam termasuk Singapura dan China dalam mengembangkan penggunaan IPv6 ITU di seluruh dunia.
NAv6 sedang melatih lapan wakil yang dihantar kerajaan Sudan untuk mempelajari dan meningkatkan kepakaran dalam IPv6 selama dua minggu di USM.
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment