Demonstrasi 10 November 2007, bagi saya, cukup istimewa dan tidak mungkin dapat dilupakan. Sekurang-kurangnya ia bekalan paling manis bagi mendepani pilihan raya umum ke-12, yang boleh diadakan bila-bila masa, meskipun ramai beranggapan bulan Februari 2008. “Hari ini saya rasa lebih gembira daripada menyambut 1 Syawal baru-baru ini,” kata seorang wartawan yang membuat laporan perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara.
Ia ibarat sebuah kenduri besar, melibatkan begitu ramai petugas dan menjemput puluhan ribu tetamu, apabila bukan saja aktivis politik dari seluruh pelosok tanah air membanjiri ibu kota Kuala Lumpur, malah penggiat NGO, orang awam dan paling manis, anak-anak muda awal 20-an nampak begitu ceria memeriahkan perhimpunan bersejarah itu.
Siapa bilang orang muda sudah sejuk amarahnya terhadap penyelewengan dan amalan rasuah sang penguasa? Mereka kelihatan cukup bersemangat, dan anda silap kalau menjangkakan mereka gentar dengan gertakan Ketua Polis Negara. Fenomena ini, pada hemat saya, perlu diperhatikan, kerana ia mampu menjana satu kebangkitan baru, yang silap-silap gaya, boleh mengejutkan Putrajaya.
Ya, segala mehnah – seperti ugutan Abdullah Ahmad Badawi (malunya kita apabila Perdana Menteri bersikap keanak-anakan meniru lagak menantunya, Khairy Jamaluddin), sekatan polis, rampasan baju-T kuning, ancaman untuk ditangkap dan dipenjarakan – dihadapi penuh berani dan yakin diri.
Sengaja mahu menyekat kehadiran
Saya ketawa kecil menatap gambar dalam The Sunday Star 11 Nov yang memaparkan kesesakan teruk jalan raya, di Sprint Expressway, Petaling Jaya. Nampak jelas lebuh raya empat lorong mengecut menjadi hanya satu lorong sedangkan dua anggota polis yang bertugas hanya memerhatikan sahaja, tanpa membuat apa-apa pemeriksaan, malah tidak pun memandang ke arah kenderaan yang melalui sekatan.
Seingat saya ada kenyataan pihak polis Kuala Lumpur bahawa antara tujuan mereka mengadakan roadblock itu adalah untuk mengesan pihak luar yang mungkin membawa senjata, termasuk mortar! Sedangkan ramai kawan-kawan yang terperangkap memaklumkan bahawa sekatan polis di segenap penjuru untuk masuk ibu kota hanya untuk melambatkan pergerakan. Akibatnya, mungkin 25 peratus yang sudah keluar rumah menuju Dataran Merdeka terpaksa gigit jari kerana tidak dapat menikmati keunikan petang 10 November, yang mungkin hanya berulang 10 tahun lagi!
Menarik sekali, ya, bayangkan saja, kebanyakan peserta demonstrasi datang dalam keadaan santai, malah seolah-olah berpesta, sambil membawa keluarga dan anak-anak kecil, yang kemudiannya masih boleh bergelak-ketawa biar pun semasa dikejar polis, ditembak meriam air kimia, dan disembur gas pemedih mata. Hampir tiada ketegangan (diukur dalam standard demo era reformasi dahulu) meskipun ada yang ditahan dan dibelasah polis.
Manakala cucu penceramah terkenal Pak Yazid Jaafar, iaitu Aleyasak Hamid mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek. (Ini mengingatkan saya seorang penduduk Kg Memali yang lumpuh, dan seterusnya meninggal dunia, selepas dipijak di pinggangnya ketika diseret polis dalam tragedi berdarah 22 tahun lalu).
Menemukan kawan-kawan lama
Lokasi sekitar Dataran Merdeka, Kompleks Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni, Masjid Negara dan Istana Negara juga menemukan ramai kawan-kawan lama yang terpisah, selain bersua muka dengan tokoh-tokoh yang jarang dapat ketemu dalam suasana unik itu.
Ramai yang tertanya-tanya siapa pimpinan yang tidak sempat hadir, bukannya tercari-cari siapa pula yang memeriahkan pesta demokrasi itu. (Ia bagai menyediakan wadah untuk warga prihatin dari pelbagai ceruk rantau bertemu wajah, bertanya khabar, dan ini membantu memperkukuhkan komitmen dalam perjuangan).
Gelombang kuning itu besar maknanya. Kesediaan Agong, melalui wakil baginda, untuk menerima rombongan Bersih akan ditafsir dalam pengertian yang begitu luas. Tidak hairanlah tersebar khabar angin tentang hubungan tegang tentera-polis, mengulangi kisah lama era reformasi dulu, apabila ada anggota tentera sendiri tertanya-tanya kemungkinan pihak tentera masuk campur jika perarakan menuju istana dihalang polis. Saya kurang berminat dengan cerita-cerita seumpama itu tetapi masih sedia menadah telinga untuk merisik apa sebenarnya yang menjadi bualan dan tanggapan ramai.
Apa pun tafsiran yang dibuat, yang pastinya, persefahaman dan persepakatan yang terjalin di antara pelbagai sektor dan lapis masyarakat 10 Nov itu adalah merentasi kepentingan politik mana-mana kelompok. Ada objektif lebih besar mahu digapai dan rakyat nampak teruja untuk menggerakkan perubahan demi kesejahteraan bersama. Cuma, ada yang berpesan agar pimpinan politik oposisi dapat “membaca” dan “menangkap” segala gerak dan riak; usah mengambil mudah membuat rumusan untuk “syok sendiri”.
Merujuk perarakan raksasa itu, saya kira masyarakat semakin berubah tanggapan terhadap demonstrasi yang dulunya sering disalahfaham sebagai rusuhan. Ungkapan “demonstrasi” juga tidak wajar digandingkan dengan “aman”, seolah-olah tanpa disusuli dengan istilah “aman”, ia dianggap perhimpunan untuk mencetuskan “huru-hara” dan ini mengesahkan “kebebalan” Zam, si Menteri Penerangan itu, yang mahu meracuni penonton RTM bahawa demonstrasi mesti berakhir dengan keganasan. Sejarah panjang Umno-Perikatan- BN sendiri menunjukkan demonstrasi juga menjadi kaedah perjuangan politik mereka.
Semasa melintasi Jalan Raja Laut berdekatan simpang Dataran Merdeka, saya terlihat dua anak muda mengambil kanister gas pemedih mata yang bersepah-sepah di atas jalan.
“Aku nak tunjukkan pada anak cucu nanti, kita menjadi saksi pada 10 November 2007, pihak polis bertindak kasar menyuraikan perhimpunan orang awam yang hanya menuntut pilihan raya bersih,” seorang daripadanya bersuara agak keras, sambil berlari anak mencari tempat teduh dari hujan. Saya membisikkan kepada sahabat di sebelah, “tengok, belum berkahwin pun sudah bercakap soal anak cucu!”
Biar pun media cuba menggelapkan detik bersejarah itu daripada dikongsi oleh khalayak yang lebih luas, malah memberikan gambaran palsu, terutama tentang jumlah kehadiran, fenomena dunia siber dan kecanggihan teknologi komunikasi mudah menolak propaganda murahan itu. Wibawa pihak makin polis merudum apabila lagak dan kenyataan Tan Sri Musa Hassan tidak ubah seperti menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.
Media alternatif menjadi tumpuan
Pengunjung Harakahdaily misalnya meningkat berkali ganda, bermula tengahari Sabtu, memuncak sebelah petang dan malamnya, berlanjutan dua tiga hari selepas itu. Kami yang sejak awal menjangka demo itu menjadi tumpuan negara, mengerahkan hampir semua wartawan KL, dibantu beberapa wakil negeri yang turut hadir berdemonstrasi, untuk membuat liputan “secara langsung”.
Laman-laman web alternatif lain turut mendapat hits yang cukup tinggi, malah ada yang tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang meningkat mendadak.
Pemerintah boleh saja terus membohongi pembaca, pendengar dan penonton media tradisi, namun kebenaran makin sukar untuk disembunyikan. Isu-isu sensasi (tetapi palsu) seperti “sigah Kristian” dalam kempen pilihan raya 1990 yang menyebabkan impian Tengku Razaleigh Hamzah berkubur mungkin sukar untuk mempengaruhi pengundi lagi. Seolah-olah nampak senario baru ini memihak pembangkang; seolah-olah!
Selalunya dalam kempen sesingkat tujuh setengah hari, BN masih mampu “menyihirkan” pengundi dan rakyat hanya tersedar selepas kerajaan dapat dibentuk.Menggerakk an satu program besar seperti himpunan 10 Nov menuntut pengorbanan tinggi, kerja kuat dan perancangan sistematik.
PAS penggerak utama
Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, tidak jauh dari lokasi utama perhimpinan, umpama bilik operasi, dan kombinasi semua aktivis terbabit, dalam jumlah yang besar, pasti membawa banyak manfaat bagi mempersiapkan pembangkang berdepan pilihan raya. Rasanya siapa saja berada dalam kelompok besar demonstran 10 Nov itu pasti akan mengakui sumbangan besar PAS bagi menjayakannya, terutama kejayaan menggembleng kekuatan akar umbi di negeri-negeri.
Sesungguhnya kali ini tiada kedengaran lagi suara sumbang mempersoalkan kewajaran demonstrasi perlu diangkat sebagai satu pendekatan strategik. Terbukti tidak berasas kebimbangan di peringkat awal bahawa ada aktivis memandang sepi ajakan menghadiri perhimpunan “yang tidak diasaskan pada isu-isu agama”. Apakah hal sepenting pilihan raya adil dan bebas tidak dapat dikaitkan dengan tuntutan suci agama?
Sebenarnya, jika ada kesungguhan untuk mempengaruhi rakyat atas isu-isu yang kita lihat penting dan mendesak, umpama tuntutan pilihan raya bersih ini, akhirnya mereka akan terpanggil juga. Apa lagi dengan tekanan hidup seharian yang boleh mendorong rakyat untuk menjadi lebih kritikal terhadap persekitaran.
“Momentum 10 Nov harus dikekalkan,” kata seorang pemerhati. “Jangan tanya saya bagaimana caranya, tapi ia amat penting untuk menarik perhatian rakyat kepada isu-isu pokok yang selama ini membantut kemenangan pembangkang. Semangat hebat pendokong parti harus dikobarkan lagi.” Dan saya hanya dapat mengangguk, mengiakan.
Polemik bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh, dan harus, campur tangan dalam politik dapat membawa perdebatan sihat yang memungkinkan rakyat kian terdedah dengan Perlembagaan, sistem imbangan kuasa dan sesekali mencuri pandang apa yang berlaku dalam kancah siasah luar negara.
Sekurang-kurangnya ia mendorong saya membuka kitab Perlembagaan, misalnya Perkara 114 (1) dan (2): “SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja … Pada melantik ahli-ahli SPR, Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam.”
Tanpa keyakinan ramai, Pengerusi SPR boleh dipecat
Begitu tinggi martabat ahli-ahli SPR, sehingga mereka perlu sentiasa mendapat kepercayaan awam, sesuatu yang Perlembagaan tidak tekankan kepada jawatan lain yang tidak kurang pentingnya, termasuk perlantikan hakim-hakim. Himpunan 10 Nov jelas menunjukkan Pengerusi dan Setiausaha SPR tidak (pernah) mendapat keyakinan awam majoriti rakyat.
Perdana Menteri sebagai ketua gabungan parti yang ber tanding dalam pilihan raya sudah tentu tidak dapat bersikap neutral ketika merumuskan apa-apa peraturan atau perjalanan pilihan raya. Mana mungkin seorang pemain bola misalnya, dilantik menjadi pengadil dalam permainan antara pasukannya dengan pihak lain?
Apakah barisan pembangkang dapat lakukan selepas ini jika kerajaan terus mengambil sikap “pekak-badak” dengan segala tuntutan Bersih itu? Apakah kita akan turun sekali lagi ke jalan-jalan bagi memastikan, kalaupun tidak semua tuntutan dipenuhi, hal-hal paling asas seperti empat tuntutan terpenting mesti dipenuhi? Soalnya, mampukah kita “bermain tarik-tali” dengan penguasa BN pada hal Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa dari sekarang?
Sewaktu “seterika masih panas”, eloklah dipergiatkan usaha mendesak “dibersihkan” proses pilihan raya yang banyak cacat-celanya ini. Wajar dimanfaatkan keghairahan masyarakat yang didorong rasa ingin tahu terhadap kandungan tuntutan Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong itu, sekurang-kurangnya dapat meningkatkan tekanan lebih menyeluruh kepada Abdullah dan kerajaan pimpinannya.
Pertembungan Zam dengan agensi media antarabangsa berpengaruh, Al-Jazeera, berhubung laporan peristiwa 10 Nov boleh meletakkan kerajaan Abdullah dalam posisi mempertahankan diri, yang seterusnya menambahkan lagi “bebanan sakit kepala” Perdana Menteri selepas “terlepas kata” dalam majlis penutup persidangan Umno yang lalu.
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Artikel ini pertama kali disiarkan pada 15 Nov 2007
0 comments:
Post a Comment