"Betulkah Anwar Ibrahim akan turun ke Endau pada 19 Februari 2012 nanti? Adakah beliau ingin berehat sambil memancing di sana? Entahlah. Elok juga berehat. Main politik memang penat. Laluan ke Putra Jaya amat sendat.
Berita ini menimbulkan dua reaksi berbeza. Penyokong PR pasti gembira. Mereka tahu Anwar akan ambil ruang menemui rakyat di kawasan Dato’ Zainal Abidin, Exco Agama Kerajaan Johor. Pimpinan UMNOBN tempatan pasti tidak ceria meskipun penyokong BN mungkin tidak ambil pot dengan kehadiran tokoh yang bebas dari tuduhan liwat kedua.
Biarlah Anwar memancing di laut. Laut banyak ikan dan ikan tidak boleh mengundi. Apa kata jika Anwar tidak suka mabuk ‘free’. Tentu dia ingin mengail di Sungai Endau walaupun udangnya payah digagau jika bukan pakar air payau. Lebih baik Anwar terus ke hulu. Selain memancing boleh jumpa Orang Asal. Orang Asal sebelah Endau sana bukan tidak ada isu. Mereka bukan bisu. Ertinya Anwar boleh juga memancing undi di darat.
Anwar tidak perlu bimbang jika aktiviti beliau dirancang lebih awal. Macam-macam beliau boleh buat. Ikan, dapat. Bercakap, dapat. Sokongan rakyat, juga beliau akan dapat. Syaratnya, aktiviti dianjurkan oleh Pakatan Rakyat. PAS Mersing sedang kerja kuat. DAP pula sedang bersemangat. PKR juga ingin terlibat. Mereka ingin lihat kehadiran Anwar berehat benar-benar memberi manfaat kepada semua rakyat.
Sudah pasti Anwar tidak akan hadir sendiri. Barangkali pimpinan PAS dan DAP pusat akan sama-sama menyertai aktiviti ini. Bot nelayan banyak. Tambahan pula ramai nelayan di Endau diam-diam menyokong Pakatan Rakyat..
Penulis percaya, Zainal Abidin payah tidur malam. Sudahlah desas-desus beliau tidak dicalonkan lagi makin kuah, tambah pula cerita Pakatan Rakyat buat aktiviti memancing di laut dan di darat.
Dr Latif juga mungkin rasa hendak demam. Sudahlah bingung memikir bagaimana hendak bertanding di DUN Tenggaroh, tambah pula cerita Anwar hendak menangguk undi tidak kira air jernih atau keruh.
Pihak Polis juga mungkin geram. Tengah sedap duduk diam aman tenteram, Anwar pula datang buat ragam. OCPD resah gelisah. Luluskan permit, susah. UMNOBN khasnya Dr Latif naik darah. Tidak beri permit pun susah. Cikgu Roslan dan Ustaz Azam pula marah. Anggota Polis yang malas buat kerja setuju permit tidak diluluskan sebab menurut khabarnya Anwar akan berceramah di Dewan China yang terletak dalam premis tok kong. Ada pula anggota Polis yang di samping jalankan tugas dapat dengar ceramah Anwar secara ‘life’.
PAS Mersing dan rakan pakatan mesti bijak ambil kesempatan. Ini masa bagus untuk menggerakkan petugas PRU. Kena buat mesyuarat seberapa banyak dan bincang hingga masak. Buat aktiviti sampingan biar gempak.
Jika kena cara dan elok gaya, kehadiran pimpinan Pakatan Rakyat bawa bahagia kepada semua. Para peniaga suka sebab ramai orang. Peminat Anwar bukan hendak buat kacau di Endau. Di antara mereka tentu yang syok makan pau Endau. Sebelum pulang cari oleh-oleh.
Akhir kalam, jangan lupa pelan B. Percayalah, UMNOBN Mersing yang sedang bergolak tidak akan berdiam diri. Jika cincai-cincai sahaja merancang aktiviti, nanti ramai yang tidak puas hati.
Apa kata jika ramai-ramai kita turun ke Endau 19 Februari ini.
0 comments:
Post a Comment