Tahan suspek kes saudagar lesap

on Sep 18, 2010

Lelaki turut dikait dengan ugutan diterima isteri mangsa, minta RM1 juta 

KUALA LUMPUR: Polis semalam menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes kehilangan saudagar permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dilaporkan hilang di Banting, lapan bulan lalu. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika mengesahkan penahanan lelaki berusia 34 tahun itu, berkata suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek ditahan petang semalam di Taman Wilayah, Selayang dekat sini tetapi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. 

“Dia kini ditahan di IPD Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian. 

Difahamkan, lelaki terbabit dibawa ke IPD Kuala Langat kira-kira jam 8.40 malam tadi turut mempunyai kaitan dengan ugutan yang diterima isteri mangsa, S Usharani, 24, bagi meminta wang pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta bagi membebaskan suaminya. 
Khalid bagaimanapun enggan mengulas sama ada penangkapan lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan seorang peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan dan bakar pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya yang lain. 

Berita Harian sebelum ini melaporkan Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai mendakwa suaminya tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati. 

Bagaimanapun pada 19 Januari lalu, beliau gagal menelefon suaminya sebelum menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang. 

Usharani mendakwa, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah dan meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu tetapi tidak dipedulikan. 

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia dan membuat laporan polis di Banting pada 8 September lalu dan turut memaklumkan suaminya pernah menyebut lama sebelum itu beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam. 

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List