Lebih-lebih lagi, pandangan beliau yang progresif dan memperlihatkan keterbukaan, khususnya dalam isu perkauman dan agama, cukup disegani kaum bukan Melayu. Bukunya "Saya Pun Melayu", pernah diberi penilaian bahawa pandangannya lebih ke depan, jikalau dibandingkan dengan buku tulisan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad pada 40 tahun yang lalu, iaitu Dilema Melayu.
Justeru itu, tidak hairan apabila nama Zaid Ibrahim dijulang tinggi pada peringkat awal beliau menyertai PKR - sehingga pernah disebut sebagai pengganti Anwar Ibrahim seandainya Ketua Umum PKR dan pemimpin utama Pakatan Rakyat ini dipenjarakan. Malah, media pro-UMNO pada suatu ketika cuba menonjolkan Zaid Ibrahim sebagai "anak emas" dalam PKR, kerana diberi pelbagai keistimewaan - menyarung jersi PKR dalam PRK Hulu Selangor belumpun genap setahun masuk parti, dan kemudian dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur biarpun kecundang dalam PRK.
Zaid vs Azmin
Sebaliknya, Azmin Ali dibayangi persepsi yang negatif. Salah satu tuduhan yang dilemparkan terhadap "pengikut setia Anwar Ibrahim" ini adalah beliau terlalu angkuh, "tidak menjawab panggilan", hanya menurut perintah seorang, iaitu Anwar Ibrahim. Azmin tidak mempunyai pandangan yang memahat ingatan, selain retorik "me-nyah-kan UMNO dari muka bumi" yang kerap diulanginya dalam ceramah politik, dan kebanyakan masanya sekadar mengitar semula air liur Anwar Ibrahim.
Mungkin persepsi kedua-dua Zaid dan Azmin ini boleh dipertikaikan, namun ia tidak jauh dari pengamatan orang umum. Persoalannya, jikalau ianya benar, mengapa Zaid tidak meraih sokongan daripada puak "NGO dan PRM" dalam parti, sebaliknya puak ini memberi sokongan, atau setidak-tidaknya berdiam diri memberi laluan kepada Azmin Ali?
Lebih menarik, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang sebelum ini cuba dilambung oleh Zaid Ibrahim, dengan tawarannya "sudi memberi laluan", pujiannya berbunyi "banyak pengalaman yang boleh membantu parti", "tak suka hentam dan burukkan orang lain", "lebih minat berkerja" dan sebagainya - tidak termakan dengan tawaran tersebut. Pengumuman Khalid untuk bertanding jawatan yang disasarkan Zaid Ibrahim, memberi isyarat bahawa dirinya tidak berada dalam kem Zaid Ibrahim.
Sokongan memihak kepada Azmin
Meskipun tidak menyebelahi Azmin, dengan mengakui kekurangan yang ada pada Azmin Ali, namun nadanya lembut ketika menjawab dakwaan bahawa Azmin dilihat kurang menyentuh soal dasar. Syed Husin (gambar kanan) berkata, "Dari segi idea, dia ada idea. Dia harus lebih cakap pasal dasar, mulai sekarang..."
Ia belum termasuk kenyataan Naib Presiden, Sivarasa Rasiah dan Lee Boon Chye yang mengkritik Zaid Ibrahim baru-baru ini. Bahkan, Syed Husin Ali yang sebelum ini hanya mencuit Zaid Ibrahim di twitter dengan "siapa makan cili dia rasa pedas", semakin keras nadanya ketika membalas tuduhan Zaid Ibrahim kebelakangan ini.
Zaid lebih angkuh daripada Azmin?
"Lebih angkuh daripada Azmin Ali", demikianlah penilaian seorang pemimpin yang kurang selesa dengan Azmin, tetapi lebih tidak menyenangi Zaid (gambar kanan). Inilah yang diberitahu sumber maklumat kepada MerdekaReview, bahawa pertarungan PRK Hulu Selangor adalah pengalaman yang tidak baik buat mereka yang berhempas pulas untuk Zaid Ibrahim.
"Justeru itu, mereka akhirnya menganggap adalah lebih mudah untuk bekerja dengan Azmin. Azmin sudah berada dalam pimpinan parti untuk sekian lama. Betapa 'benci' sekali pun, pasukan ini tetap berfungsi. Mereka tidak dapat nak bayangkan kalau Zaid menjadi Timbalan Presiden..." Demikianlah jawapannya daripada sumber dalam parti, ketika MerdekaReview cuba mencari punca mengapa Zaid tidak meraih sokongan di kalangan pimpinan asal sebagaimana yang dijangkakan.
Strategi Zaid Ibrahim
Di sinilah Zaid Ibrahim melakukan sesuatu yang cukup "dipertikaikan".
Ramai yang memperlekehkan Zaid kerana "tidak pandai mengatur strategi berperang" - berdolak-dalih, menjadikan kawan sebagai lawan, menyinggung perasaan anggota dan sebagainya. Namun demikian, Zaid sebenarnya tidak "bodoh" sebagaimana yang dianggap. Strateginya untuk mendukung Puteri Reformasi, Nurul Izzah (gambar kiri) cukup cerdik.
Ia memberi gambaran seolah-olah Nurul Izzah menyokong dirinya. Untuk mereka yang tidak begitu jelas dengan keadaan sebenarnya, senang untuk menganggap bahawa Zaid mendapat sokongan Anwar melalui Nurul Izzah. Bagi mereka yang tahu "sedikit sebanyak" keadaannya pula, menganggap keluarga Anwar bercanggah pandangan dalam isu ini - Bapa menyokong Azmin, sementara anak menyokong Zaid.
Ia mungkin berakhir dengan kemenangan dirinya bersama Nurul Izzah, atau kemenangan Azmin Ali. Namun, apapun kesudahan ini tidak semestinya sesuatu yang baik untuk PKR. Bayangkan, gandingan Ketua Umum-Anwar, Presiden-Azizah, dan Naib Presiden-Nurul Izzah - ia semestinya memberi persepsi "parti keluarga", dan tidak terelak daripada label "nepotisme". Sebaliknya, seandainya Azmin Ali pula yang menang dalam pertandingan Timbalan Presiden, ia akan terus dituduh sebagai pemilihan untuk memenangkan kroni Anwar. Lebih menarik, daripada apa yang berlaku sekarang, senario yang paling mungkin berlaku adalah kemenangan kroni dan anak sulung.
Malah, Zaid Ibrahim sudi menerima wawancara Utusan Malaysia, media milikan UMNO yang pada satu ketika dahulu menyerang peribadi beliau sebagai kaki botol, pemilik kuda lumba dan sebagainya. Sememangnya Zaid boleh mempertahankan tindakannya dengan pendirian "tidak mahu boikot media", mungkin atas prinsip "kebebasan media" dan sebagainya, namun pada masa yang sama orang akan mempertikaikan mengapa beliau menyaman A. Kadir Jasin, penulis blog yang dikatakan "memfitnah beliau"?
Namun demikian, beberapa soalan yang terus berlegar dan mencungkil pertikaian terhadap Zaid Ibrahim. Sementara Zaid Ibrahim mempersoalkan mengapa beliau dinobatkan sebagai wira ketika menyertai PKR, dan kini pula ditohmah sebagai pengkhianat, beliau harus juga merenung persoalan mengapaUtusan Malaysia memberi ruang liputan seluas-luasnya untuk diri beliau yang seketika dahulu digelar "biadap"?
Lebih-lebih lagi, keputusan beliau untuk menarik diri dari Pemilihan PKR, meletak jawatan parti dan sebagainya berlaku dalam konteks di mana PKR diselubungi suasana merudum, berikutan kekalahan dalam PRK Batu Sapi. Ia mungkin berlaku secara "kebetulan", dan ia juga mungkin pukulan maut kepada PKR - sebagaimana yang berlaku ke atas UMNO-BN pada September 2008.
Ringkasnya, pergelutan kuasa ini telah mengheret PKR ke dalam satu situasi yang memudahkan serangan musuhnya, berikutan beberapa keputusan yang dibuat, termasuk keengganan Anwar untuk bertanding sebagai Presiden. Dari persepsinya, PKR akan dilihat parti untuk keluarga, dan manipulasi berlaku dalam pemilihan untuk menyingkirkan pencabarnya.
Mungkin tidak adil untuk menuduh bahawa Zaid Ibrahim sebagai "Trojan Horse" sebermulanya, namun apa yang pasti benar, "Tiada kawan dan lawan yang kekal selama-lamanya dalam politik". (Bahagian kedua, tamat)
0 comments:
Post a Comment