DUN Tenang: Penamaan calon 22 Jan, undi 30 Jan

on Dec 24, 2010

PUTRAJAYA, 24 Dis — Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor akan diadakan pada 30 Januari dengan penamaan calon 22 Januari.


Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha , wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.



Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008.



Tarikh pilihan raya kecil ini diumumkan susulan mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini pagi ini.



DUN Tenang, salah satu daripada dua kerusi negeri dalam Parlimen Labis.



Sulaiman, 59, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.



Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.



Mengumumkan tarikh pilihan raya kecil ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.



Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).



Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.



Seramai 13 pengundi berusia lebih 100 tahun.



Katanya, bagi menjalankan pilihan raya kecil Tenang, SPR akan menggunakan Pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan digunakan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.



Sebanyak sembilan sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 32 saluran tempat mengundi.



Seramai 376 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya kecil ini.



SPR melantik Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir sebagai pegawai pengurus pilihan raya dengan Mohd Farid Kassim, Miswan Yunus dan Muhammad Helmi Ya’kub sebagai penolong pegawai pengurus.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List