Pernikahan Sudin Ajaib tidak sah: Mahkamah
Wujud unsur penipuan, tak patuhi hukum syarak
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, mendapati pernikahan pemimpin jemaah tabligh, Shamsuddin Che Deraman, 42, atau Sudin Ajaib, dengan budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri keempatnya pada Februari lalu sebagai tidak sah.
Pernikahan yang didakwa dilangsungkan Sudin Ajaib dengan budak perempuan itu didapati mempunyai unsur penipuan, paksaan serta ugutan, selain tidak mematuhi hukum syarak serta tata cara mal undang-undang Islam.
Berikutan elemen yang dikenal pasti Mahkamah Tinggi Syariah itu, Hakim Syarie, Abdullah Man, mendapati ibu budak perempuan terbabit, Siti Sarnan Mat Ail, 42, tidak mempunyai asas membuat tuntutan mufarakah terhadap pernikahan itu.
Abdullah berhujah, tuntutan mufarakah itu tidak timbul kerana perkahwinan Sudin terbatal kerana pasangan itu tidak mempunyai surat nikah, selain pernikahan berlangsung hanya dakwaan pihak plaintif.
Dalam hal ini, bapa budak perempuan sebagai wali mujbir boleh mengahwinkan anaknya. Namun persoalannya, adakah perkahwinan itu sah atau tidak mengikut hukum syarak.
Dalam hal ini, wali tidak ada niat untuk mengahwinkan anaknya dan didapati pernikahan itu ada unsur penipuan, paksaan dan ugutan, hujahnya.
Sebelum membacakan keputusan, Abdullah membentangkan kronologi kes yang dibicarakan itu apabila mengesahkan Siti Sarnan memfailkan tuntutan mufarakah antara anaknya dengan Shamsuddin pada 11 Mac lalu.
Abdullah berkata, mahkamah mendapati bapa budak perempuan itu ketika memberi keterangan adalah seorang yang lurus dan tidak pandai beralasan.
Wali seolah-olah tidak mempunyai pegangan dan mengikut apa saja telunjuk yang disuruh. Ini dijelaskan wali ketika mengemukakan permohonan mufarakah terhadap anaknya di mahkamah.
Sedangkan dia sendiri tidak ada niat untuk mengahwinkan anak kecilnya itu. Oleh itu, mahkamah memutuskan, perkahwinan ini tidak sah mengikut hukum syarak dan tata cara mal Undang-Undang Islam, katanya.
Sementara itu, Siti Sarnan melahirkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah dan penyelesaian isu membabitkan pernikahan anak perempuan mereka itu.
Insya-Allah, saya akan lebih berhati-hati dengan sebarang dakyah yang sampai kepada saya. Nasihat kepada orang lain supaya tidak mudah terjebak dengan perkara sebegini kerana menyusahkan diri sendiri dan masyarakat, katanya.
0 comments:
Post a Comment