Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berjalan rancak, negara dikejutkan dengan berita pembunuhan membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Ne geri), Dato’ Shaharuddin Ibrahim, 58. Allahyarham ditembak mati pada jam 8.15 pagi, 26 April lalu ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.
Berdasarkan laporan media, mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, di Putrajaya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah di lapor berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi.
Bagi pihak PAS, kita mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dirahmati dan dalam keampunan Allah SWT.
Amat mendukacitakan apabila jenayah kejam membabitkan pegawai tinggi kerajaan itu berlaku di Putrajaya – pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, di hadapan balai polis dan di waktu siang hari ketika ramai warga bandaraya itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Putrajaya diuar-uarkan sebagai bandar selamat dengan kawasan kejiranannya tidak berpagar.
Bagaimana sebuah ‘bandaraya selamat’ tiba-tiba menjadi lokasi pembunuhan kejam adalah sesuatu yang patut dipandang serius oleh semua pihak - kerajaan, parti pembangkang dan rakyat.
Insiden malang ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang wanita separuh abad ditikam mati oleh penjenayah bersenjata pisau ketika berjoging bersama anaknya di Bukit Gasing, Petaling Jaya. Kejadian malang ini juga berlaku di waktu siang.
Ketika membentangkan laporan program transformasi negara dalam membendung kejadian jenayah, kerajaan pimpinan Najib mendakwa kadar jenayah nasional telah berkurangan sebanyak 27 peratus dari tahun 2009 hingga 2012. Jenayah jalanan pula didakwa menurun 39.7 peratus dalam tempoh yang sama.
Polis juga mendakwa kadar jenayah nasional jatuh enam peratus bagi suku tahun 2013 berban ding tempoh yang sama tahun lalu.
Statistik yang dibentangkan itu sayangnya tidak berjaya menghakis rasa kegusaran dan tidak selamat rakyat terhadap jenayah. Tidak ada kampung dan kawasan perumahan di negara ini yang sunyi daripada kegiatan pecah rumah dan rompakan.
Sehubungan itu, kita menyambut baik saranan sesetengah pihak agar langkah drastik diambil bagi membendung kejadian jenayah.
Salah satu cadangan yang dilontarkan adalah menyusun semula guna tenaga pasukan polis agar sumber tenaga manusia yang ada lebih difokuskan kepada usaha menbendung jenayah.
Pasukan polis wajar dibebaskan daripada tugas-tugas yang tiada kena mengena dengan tugas asasi mereka, antaranya menjalankan kerja-kerja risikan politik.
Di waktu yang sama, kita memandang serius keganasan yang berlaku sepanjang kempen PRU13 berlangsung. Kejadian membakar kereta, melempar bom petrol, memasang bahan letupan, melakukan keganasan dan ancaman fizikal dan mengedarkan bahanbahan lucah perlu dibanteras.
Kita yakin bahawa majoriti rakyat negara ini cukup matang berhadapan dengan perbezaan politik dan tidak mudah terbawabawa dengan sentimen dan pemikiran sempit sesetengah pemuka politik.
Jaminan diberikan Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat tidak akan membantu penyokongnya yang didapati bertanggungjawab terhadap keganasan berkaitan pilihan raya, amat tepat pada masanya.
Di masa yang sama, para pemimpin BN perlu menyatakan komitmen yang sama dan tidak bersikap lempar batu sembunyi tangan terhadap tindakan-tindakan samseng dan provokatif para penyokong mereka.
Polis perlu bertindak tegas bagi memburu pihak yang melakukan keganasan dan mendakwa mereka di mahkamah. Jangan biarkan negara ini menjadi syurga bagi samseng politik. Bersama kita mencegah jenayah.
Editorial Harakah
0 comments:
Post a Comment