Pemuda UMNO kecewa dengan sikap Pas yang terhegeh-hegeh menjaga hati DAP sedangkan parti itu langsung tidak menghormati mereka.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Pas langsung tidak bermaruah kerana sanggup mengetepikan perasaan orang Islam demi menjaga hati DAP.
Sedangkan, tegas beliau, DAP sendiri langsung tidak pernah menjaga hati dan perasaan serta menghormati orang-orang Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"DAP langsung tidak menghormati Pas, undang-undang hudud Pas pun ditolak mentah-mentah tanpa sebarang perbincangan dan perundingan.
"Malangnya, Pas sedia berlutut depan DAP untuk justifikasi semua kontroversi melibatkan parti itu seperti isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching masuk ke ruang solat, mendoakan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat dan pembatalan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mempertahankan tindakan Nie Ching menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, baru-baru ini.
Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan tindakan ahli Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam.
Malah, Nik Abdul Aziz turut menyifatkan desakan orang ramai supaya mengambil tindakan ke atas Nie Ching sebagai ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.
Tambah Khairy, Pemuda UMNO amat kecewa dengan Nik Abdul Aziz yang mengeluarkan kenyataan itu, seolah-olah apa sahaja yang dibuat oleh DAP dihalalkan walaupun salah dari segi adab.
Beliau berpendapat, dalam kes Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang itu datang ke surau bukannya untuk mendekati Islam sebaliknya bertujuan mendapat sokongan politik.
"Nampak sangat Pas tiada maruah dan sanggup mengetepikan perasaan orang Islam demi menjaga hati DAP," katanya.
Sumber:- UtusanOnLine
0 comments:
Post a Comment