Gembira...Reaksi tiga tokoh kemerdekaan negara, dari kiri Datuk Siti Rahmah Kassim, Datuk Seri Yuen Yuet Leng dan Datuk Rasammah Bhupalan.
ANAK kelahiran Batu Hampar, Negeri Sembilan pada 6 September 1926 ini tidak dapat melupakan peristiwa disebat ibunya hanya kerana memberikan gelang emas hadiah perkahwinan pemberian ayah kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Perjuangan Datuk Siti Rahmah Kassim mendapat perhatian satu Malaya apabila membantu mendapatkan dana bagi rombongan Tunku ke London untuk rundingan menuntut kemerdekaan.
Niat suci itu dirahsiakan, namun terbongkar apabila ibunya dimaklumkan orang kampung mendapat tahu dalam akhbar. “Merdeka? Apa dengan merdeka?” kata ibu yang menyebat Siti Rahmah sebanyak lima kali sehingga mengalirkan darah, habis merah baju yang dipakainya.
Baju berlumuran darah itu disimpannya sebagai kenangan tanpa dibasuh kerana menyifatkan ia sebagai titisan darah memperjuangkan kemerdekaan.
Mengimbas kembali kenangan itu, Siti Rahmah berkata, Tunku ketika berucap dalam loghat Kedah: “Saya nak pi (pergi) jumpa orang putih bersama raja-raja naik kapai (kapal). Umno tak dak (tiada) duit. Saya tak dak duit.
“Saya jual istana, ayahanda dok murka. Ayahanda suruh jadi raja, saya tak mau. Saya nak jadi Presiden Umno, nak bagi Malaya merdeka.”
Mengenangkan kembali saat itu, beliau memberitahu, Bapa Kemerdekaan itu menitiskan air mata apabila menyebut untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Titisan air mata Tunku membuatkan Siti Rahmah terpanggil melakukan sesuatu dengan lantas terus berdiri di tengah kesesakan orang ramai di dalam Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir, Melaka.
“Tunku, saya terpanggil apabila mendengar ucapan Tunku. Dengan ini, patik menyumbangkan gelang emas kesayangan patik demi kemerdekaan negara.
“Saya ikhlas. Jika ada 10 gelang emas, semuanya akan diberikan kepada Tunku,” kata-kata itu menyebabkan Tunku sekali lagi menitiskan air mata.
Presiden Umno pertama itu membalas; “Selalunya orang perempuan, emaih (emas) ni bukan main sayang. Tapi ibu muda ni dok bagi gelang. Terima kasih banyaklah.”
Kemudiannya, Siti Rahmah memohon izin pemimpin itu menyeru hadirin untuk turut sama memberi sumbangan bagi menambah dana rombongan ke London.
Jelasnya, ahli Umno di bahagian atas dewan menjatuhkan duit bagaikan daun getah berguguran manakala mereka di bawah menyerahkan barangan kemas.
“Mereka beri rantai emas, kerongsang, jam, pin baju, cincin dan subang termasuk tongkat berkepala emas,” katanya yang mengelilingi dewan mendapatkan sumbangan hadirin kerana menyifatkan gelang emas pemberiannya saja tidak mencukupi.
Apabila kemerdekaan negara sudah ditetapkan pada 31 Ogos 1957, semangat beliau berkobar-kobar dengan menyertai rombongan dari Rembau, Negeri Sembilan dengan empat buah bas pada 30 Ogos ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan Tunku melaungkan istilah keramat ‘merdeka’.
myStar
0 comments:
Post a Comment