Taib Mahmud: P'raya bukan pesta populariti
Rakyat Sarawak tidak seharusnya melihat pilihan raya negeri akan datang sebagai satu pesta ataupun medan untuk menilai populariti, kata Ketua Menterinya Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.
Katanya sebarang keputusan yang dibuat rakyat semasa pilihan raya akan datang menjadi penentu kepada hala tuju negeri ini pada masa akan datang.
Pilihan raya, kata beliau bukanlah semata-mata untuk memilih calon yang disukai sahaja kerana wujud perkaitan di antara pilihan rakyat dengan kemajuan yang akan datang ke negeri ini.
"Betul pilihan kita, negeri ini akan terus maju. Salah pilihan kita, negeri ini akan tergendala dalam kemajuan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 peringkat negeri Sarawak di Stadium Tertutup Miri di Miri.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengetuai sambutan perayaan itu yang telah menarik kira-kira 5,000 orang di sekitar bandar raya ini.
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat dalam bulan Jun tahun depan dan pembubarannya bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dijangka berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.
Taib, yang akan genap 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak menjelang Mac tahun depan, berkata pilihan raya akan datang harus dilihat sebagai peluang bagi rakyat biasa untuk mencapai impian masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
"Pastikan orang yang mereka mahu undi berupaya untuk berkhidmat, berupaya untuk melakukan dan membangunkan negara yang boleh membawa kemakmuran kepada anak-anak mereka," katanya.
Katanya Sarawak masih lagi memerlukan kestabilan politik dan perpaduan rakyat sebagai asas bagi memastikan usahanya mencapai kemajuan lebih tinggi.
"Kalau kita sayangkan negeri ini, pandai-pandailah kita berunding (membuat pilihan)," katanya.
Sumber:- Malaysiakini
Amanah Kedah bangkit melupai kekhilafan
10 minutes ago
0 comments:
Post a Comment