Buang bayi! Buang bayi! Buang bayi lagi!
Masih tak surut-surut rupanya kejadian yang boleh kita anggap sebagai bala yang melata ini. Dari sehari ke sehari makin ramai pula manusia yang akalnya sudah gagal berfungsi barangkali. Ya, yang mengangkat bayi itu dan membuangnya di tandas, di semak, di surau, di masjid, di depan pintu rumah pastinya manusia. Belum lagi terdengar anjing menggonggong bayi yang baru dilahirkan lalu ditinggalkan di mana-mana.
Sedih. Menakutkan. Kita berasa sedih kerana nyawa manusia semakin tidak dihargai. Kes buang bayi ini bukan setakat kes barah sosial, tetapi ia adalah kes bunuh! Tidak cukup dengan kes penderaan kanak-kanak yang banyak juga berakhir dengan kematian, nafas kita disesakkan lagi dengan kes pembuangan bayi. Mayat bayi yang dijumpai di Sungai Choh itu sudah cukup sifatnya, dan dipercayai baru dilahirkan. Dan bagi sebahagian besar kita, apa lagi nak diucapkan apabila dilaporkan besar kemungkinan bayi itu berketurunan Melayu/Islam!
Bangsa tidak menentukan agama, tetapi lazimnya kalau bayi itu memang berbangsa Melayu, yang melahirkannya sekurang-kurangnya tahu mengucap dua kalimah syahadah, yakni beragama Islam.
Kenapa bangsa Melayu beragama Islam di tanah air kita ini menjadi juara segala keburukan? Tidak perlu ditelek lagi. Sudah terang lagi bersuluh bahawa bangsa Melayu, khususnya remaja dan belia, paling ramai menagih dadah, paling hebat me’rempit’, paling galak berkonsert, paling ramai menyertai program realiti hiburan. Lebih menyedihkan, semakin ramai yang tidak kisah bergaul bebas lelaki dan perempuan, bercumbuan di tempat awam, berkhalwat, berzina, melahirkan anak haram dan membuang anak yang tidak berdosa itu.
Yang dewasa dan punya kedudukan pula tidak kurang bobroknya. Ramai yang menjadikan wang ringgit sebagai matlamat hidup. Sesetengahnya diberikan kuasa, tetapi dengan kekuasaan itu rupa-rupanya mereka mengambil kesempatan untuk lebih cepat menimbun kekayaan. Maka bersirilah kes rasuah, pecah amanah dan ketirisan dalam mengendalikan wang orang ramai.
Kenapa semua ini berlaku? Apa nak jadi dengan negara kita hari ini?
Jangan malu. Jangan lari daripada kenyataan bahawa kehinaan yang berlaku kepada umat Islam hari ini adalah kerana ramai antara kita yang lari daripada agama. Apabila umat Islam tidak mengamalkan sepenuhnya apa yang diajarkan oleh manusia paling baik di dunia iaitu Nabi Muhammad, maka mereka akan ditimpa kehinaan. Bahkan tindakan mereka boleh menjadi lebih buruk daripada haiwan. Betapa tidak, haiwan yang tidak berakal pun sayang akan anaknya dan menjaga si kecil dengan penuh kasih sayang, tetapi manusia tergamak membunuh bayi yang tidak tahu apa-apa dengan cara yang sangat kejam.
Akuilah, isunya bukan pembuangan bayi. Isunya adalah zina! Dan Maha Bijaksananya Allah, dalam al-Quran tidak disebut, “Janganlah kamu berzina”, tetapi Allah berfirman yang maksudnya, “Janganlah kamu menghampiri zina.” Ertinya, kalau menghampiri zina pun dilarang, apatah lagi berzina!
Apakah perkara-perkara yang menghampiri zina itu? Antaranya termasuklah berpakaian seksi, percampuran bebas antara lelaki dengan perempuan, berpegang-pegangan, berdua-duaan di tempat sunyi mahupun di atas motor, bercumbu-cumbuan, bersembang dalam telefon atau internet yang menjurus kepada seks, dan banyak lagi.
Apabila perkara-perkara seperti ini tidak dikawal, berlakulah perzinaan. Apabila si gadis mengandung dan melahirkan anak haram, baru timbul rasa malu, takut dan sebagainya. Akhirnya, jalan pintas yang diambil ialah membuang anak itu, sama ada hidup-hidup atau dibunuh dahulu. Oh, kejamnya... sudahlah pergaulan bebas itu satu dosa, ditambah lagi dengan dosa zina, dosa membuang bayi dan dosa membiarkan bayi itu mati. Inilah yang dikatakan dosa atas dosa atas dosa...
Seperti biasa, tidak perlulah kita menuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini. Kita semua bersalah. Semua berdosa. Yang pasti, orang yang tidak melakukan apa-apa dan tidak benci walau sepicing pun dengan maksiat yang berlaku di sekelilingnya jelas bersalah dan berdosa. Orang yang punya kesedaran dan berusaha melakukan pembaikan juga tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa, bergantung kepada keikhlasan hatinya, bersungguh-sungguh atau tidak kerjanya atau sekadar mencukupkan syarat.
Terlalu banyak petunjuk syariat yang kita tidak laksanakan. Kalau kita kata kerosakan anak remaja bermula di rumah, mari kita bertanya, apa khabar para ibu bapa semua?
Bermula dari perkahwinan antara ibu dengan bapa itu, apakah niat sewaktu hendak menamatkan zaman bujang dahulu? Adakah sekadar mengikut trend, desakan orang tua, hendak berseronok atau mahu melahirkan zuriat yang akan memperjuangkan agama Islam? Bagaimana pula zaman bercinta ibu dan bapa? Adakah bebas sebagaimana yang dipaparkan dalam filem 70-an, 80-an, atau terjaga aurat dan hijabnya sebagaimana yang diajarkan agama? Cukuplah dua perkara ini, lulus atau gagal?
Dalam membesarkan anak-anak, apakah bentuk pendidikan yang disediakan untuk mereka? Jangan hipokrit untuk mengakui bahawa pendidikan agama sepatutnya lebih utama disuburkan dalam jiwa anak-anak. Tetapi berapa ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke tadika Islam? Berapa ramai pula anak-anak ini yang kemudiannya dimasukkan ke sekolah agama selain sekolah kebangsaan? Dan lebih penting, sama ada bersekolah agama atau tidak, berapa kerap anak-anak itu melihat ibu bapanya mengerjakan solat, membaca al-Quran, pergi ke masjid, belajar agama dan nasihat-menasihati antara satu sama lain demi kebaikan?
Apa khabar masyarakat? Cukup beranikah anggota masyarakat menegur salah laku anak-anak jiran atau remaja belia yang kurang sopan di pusat-pusat membeli-belah? Atau sekadar menanti pegawai penguatkuasa agama menjalankan tugas mereka?
Apa khabar guru-guru di sekolah? Adakah mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris mahupun Matematik Tambahan yang cikgu ajar di sekolah diselitkan juga dengan pesanan tentang tanggungjawab pelajar terhadap Tuhan; ke mana dan bagaimana ilmu yang dipelajari itu nanti hendak digunakan?
Akhir sekali, apa khabar wakil-wakil rakyat, pak-pak menteri dan pemimpin-pemimpin kerajaan? Pelbagai pendekatan dan undang-undang telah dibuat bagi membendung gejala sosial ini. Nampaknya ia bukan berkurangan tetapi makin bertambah. Rasanya sudah sampai masanya untuk kita membuang segala rasa ego dalam diri kerana kita sebenarnya tidak tahu banyak perkara. Kita yakin bahawa semua manusia dicipta oleh Tuhan yang Maha Berkuasa, maka Dialah juga yang Maha Mengetahui apa yang sesuai dengan fitrah manusia. Daripada sistem pendidikan kepada sistem perundangan, daripada sistem perkahwinan kepada sistem ekonomi, pendek kata seluruh sistem hidup mestilah berasaskan apa yang diturunkan Allah kepada manusia.
Mudah-mudahan kita semua menuju ke sebuah kehidupan yang lebih sejahtera, penuh rahmat dan berkat serta sentiasa dilimpahi hidayah daripada Allah subhanahu wataala.
Siapa pun kita, sama ada remaja, belia, ibu bapa, anggota masyarakat, guru-guru, ilmuan agama, ahli akademik atau pemimpin negara, janganlah menambah lagi dosa-dosa yang sudah banyak itu menjadi dosa yang tidak terampun.
Kita berlindung dengan Allah daripada perkara seumpama itu.
0 comments:
Post a Comment