SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mendesak Kerajaan Negeri melalui Pejabat Menteri Besar, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memecat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali kerana didakwa gagal menangani isu wakil rakyat bukan Islam mencemari kesucian masjid dan surau di negeri itu. Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa, turut mendesak Pengerusi, Imam dan Ahli Jawatankuasa Surau di Surau Al-Huda dan Masjid At-Taqwa, Selayang Baru, Kajang yang menjemput dan membenarkan Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Parti Pakatan Rakyat (PKR) Selayang, William Leong Jee Keen memberi ucapan di surau dan masjid tersebut dipecat. “Amaran keras harus diberi kepada semua nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Selangor supaya mematuhi larangan menggunakan masjid sebagai gelanggang politik dan larangan penyampaian ceramah oleh penceramah yang tidak bertauliah seperti yang diluluskan Mesyuarat Mais. “Kini sudah terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menggunakan masjid dan surau sebagai medan politik, menghina, mencaci dan memfitnah pemimpin dan sesama umat Islam,” katanya ketika menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kediamannya. Katanya, dua wakil rakyat DAP itu didakwa menjadikan masjid dan surau sebagai gelanggang politik pasti menggugat dan memecah-belah keharmonian, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran umat Islam. “Pemuda UMNO Selangor menjunjung penuh kebijaksanaan dan kearifan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah larangan menggunakan masjid sebagai gelanggang politik dan larangan penyampaian ceramah oleh penceramah yang tidak bertauliah,” katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda Serdang, Engku Salleh Engku Jamal, mengecam tindakan parti komponen Pas yang selama ini kononnya memperjuangkan Islam tetapi tidak bertindak apabila ada individu bukan Islam mencemarkan kesucian masjid. Menurutnya, mereka tidak mempedulikan sensitiviti Islam dan lebih mengutamakan orang bukan Islam. “Apa salahnya, jika mereka mendirikan khemah di luar kawasan masjid dalam melaksanakan aktiviti bersama individu bukan Islam. “Sebagai Islam, kita harus mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan kerana ada hukum tertentu yang wajib dipatuhi,” katanya. Sumber:- SinarHarian |
Pemilik restoran cuci pinggan guna air sampah
15 minutes ago
0 comments:
Post a Comment