IPOH: Polis hari ini menghalang lebih 20 penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dan Human Rights Party (HRP) daripada berarak beramai-ramai ke Istana Kinta untuk menghantar memorandum mengenai kebebasan beragama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ibrahim Abu Bakar berkata tindakan itu diambil selepas kumpulan terbabit enggan mematuhi syarat hanya sebuah kereta dengan empat penyokong termasuk pemandu, dibenarkan memasuki istana.
"Syarat ini diletakkan oleh wakil istana dan polis bersetuju, tetapi kumpulan ini cuba berarak beramai-ramai... mengakibatkan polis bertindak menghalang mereka.
"Penyokong kumpulan ini akhirnya enggan menghantar memorandum dan mereka diminta bersurai kira-kira 12 tengah hari," katanya.
Beliau berkata kumpulan yang diketuai P.Uthayakumar itu mendakwa memorandum berkenaan ada pada rakan mereka yang masih belum tiba, dan mereka menunggu hingga hampir jam 12 tengah hari.
Ibrahim berkata kira-kira 50 anggota polis ditempatkan di sekitar Hotel Impian, di depan Istana Kinta dan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah bagi mengawasi perhimpunan kumpulan berkenaan yang bermula seawal 9 pagi.
Wakil Hindraf dan HRP kemudian membuat laporan di IPD Ipoh berhubung tindakan polis menghalang mereka menghantar memorandum itu beramai-ramai.
Sementara itu, polis menahan seorang lelaki kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis ketika diperiksa dalam perhimpunan tersebut.
Ibrahim berkata lelaki itu melakukan perbuatan tersebut terhadap Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh DSP Rodzi Rejab dalam insiden pada 11.40 pagi.
Sebelum itu, lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakannya berjaya meloloskan diri daripada sekatan polis dalam usaha mereka untuk menyertai penyokong Hindraf yang berkumpul berhampiran Hotel Impiana, kira-kira 300 meter dari Istana Kinta. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment