Kesucian masjid terus dinodai........??? Laporan dari media BN.
Kesucian masjid terus dinodai oleh pembangkang apabila Khamis lalu Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pula diberi kebebasan berada di saf paling hadapan di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru.
Tindakan itu terbongkar cuma selang sehari selepas umat Islam di negara ini dikejutkan dengan tindakan wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching 'bertazkirah' di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.
Perbuatan wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan sahaja memperkecilkan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang orang bukan Islam memasuki ruang solat tetapi turut menghina kesucian agama Islam.
Lebih malang, menurut sebuah laman blog, http://www.selangordaily.com, pihak yang bersekongkol bagi membenarkan Jee Keen memasuki ruang solat masjid tersebut adalah orang Melayu yang beragama Islam.
Dakwa blog itu, sama seperti kes membabitkan Nie Ching, Jee Keen juga menggunakan 'modal' yang sama iaitu bantuan kepada masjid untuk memasuki ruang solat seterusnya menyampaikan ceramah kepada umat Islam di masjid tersebut.
"Mereka mengetepi semua arahan MAIS demi cita-cita politik. Kejadian serupa pernah berlaku di Klang tahun lalu tetapi mereka ini tidak mengambil pengajaran sebaliknya, seolah mencabar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama Islam di Selangor," kata blog tersebut.
Dalam pada itu, majlis sumbangan yang disampaikan oleh Jee Keen disiarkan oleh sebuah akhbar, semalam.
Akhbar tersebut melaporkan majlis berkenaan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat, Dewan Undang Negeri (DUN), Taman Templer dengan diketuai pengerusinya, Mohd. Kassim Packiry.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.
0 comments:
Post a Comment