Pemilihan langsung menyuburkan demokrasi penyertaan.

on Oct 28, 2010

PKR mengorak satu langkah bersejarah dalam politik tanahair apabila melaksanakan pemilihan langsung dalam partinya, memberi hak "satu orang satu undi" kepada 400,000 anggotanya untuk menentukan pucuk pimpinan parti.  Namun demikian, proses demokrasi ini tercalar, apabila menyaksikan perbalahan dan pergaduhan di sesetengah cabang parti sepanjang pemilihan.
Kecelaruan yang timbul ini menambat langkah sesetengah pendukung demokrasi, yang khuatir bahawa kelemahan parti akan terdedah di depan khalayak ramai.  Namun demikian, forum semalam menyetujui bahawa sistem pemilihan langsung adalah sistem yang lebih baik daripada sistem yang sedia ada, meskipun bukan sistem yang terbaik.

Malah, ia tidak harus dimatikan semata-mata kerana kekecohan yang timbul, sebagaimana yang kita saksikan pada hari ini dalam PKR sendiri, sebaliknya perlu diperbaiki dan diteladani parti politik yang lain selepas ini.
Demikianlah beberapa pandangan yang dikongsi bersama, dalam satu forum berjudul "Demokrasi hanya wujud dalam parti apabila adanya pemilihan langsung?", anjuranOriental Daily bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.
Antara panelis yang hadir termasuklah Pengarah Strategi PKR Tian Chua, bekas Presiden MCA merangkap ahli parlimen Pandan, Ong Tee Keat dan EditorMalaysiakini (edisi bahasa Cina), Yong Kai Ping, di samping Ding Lee Leong sebagai moderatornya.  Forum ini menarik kira-kira 120 orang hadirin.

Perebutan kuasa kepada pergelutan idelogi

Tian Chua cuba mengulas bagaimana sistem pemilihan langsung ini mengubah bentuk politik yang sedia ada, termasuk bagaimana anggota parti perlu terlibat dalam pemilihan, sesuatu yang berbeza daripada zaman dahulu - di mana kebanyakannya terus menjadi anggota yang tidak aktif selepas mendaftarkan diri sebagai anggota parti.
Apabila kuasa menentukan pucuk pimpinan parti diambil-alih oleh anggota biasa dari tangan perwakilan, maka ia akan cenderung untuk mengubah pergelutan parti dari perebutan kuasa antara sekta, kepada pergelutan ideologi, kata Tian Chua.  Dalam model politik yang lama, pemimpin politik di peringkat pusat cuba menguasai perwakilan kerana perwakilanlah yang menentukan jatuh-naiknya.  Namun, apabila perwakilan tidak lagi mempunyai kuasa untuk menentukan pucuk pimpinan tertinggi, maka apa yang berlaku dalam kongres parti hanyalah "perbahasan dasar".
Justeru itu, pemimpin perlu meyakinkan perwakilan dengan dasar mana yang lebih baik untuk disokong; pada masa yang sama, perwakilan perlu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan politik dirinya untuk melibatkan diri dalam proses ini.  "Bukan kami sengaja nak rekacipta segala-gala ini, tetapi dari sudut jangka panjang, ia akan menjurus ke arah ini," jelas Tian Chua (gambar atas, kiri).

"Ini kerana Kongres Tahunan parti bukan lagi untuk memilih pucuk pimpinan pusat, tetapi perwakilan hanya mengundi untuk menentukan dasar parti.  Dalam persaingan pada masa depan, kita akan menyaksikan perdebatan dan pergelutan ideologi, idealisme politik yang berbeza," ramalan optimis Tian Chua.
Sementara itu, beliau menyedari beberapa kekhuatiran yang timbul, bahawa partinya kelihatan belum bersedia untuk mengamalkan sistem pemilihan langsung.  Dengan nada menyindir, Tian Chua berkata, "Kalau nak tunggu sehingga kualiti anggota parti meningkat, barulah proses demokrasi diamalkan... Nampaknya teori ini tidak asing untuk kita.  Banyak diktator juga menggunakan alasan ini (untuk tidak mengamalkan demokrasi)..." 
Beliau seterusnya menjelaskan mengapa partinya melaksanakan sistem pemilihan langsung pada saat-saat ini.  Tian Chua berterus-terang bahawa parti politik akan melakukan sesuatu yang idealis ketika menjadi pembangkang.  Beliau menjangkakan langkah pelaksanaan sistem pemilihan langsung mungkin lebih berat, seandainya PKR menawan Putrajaya pada PRU ke-13, kerana masing-masing akan mempertahankan sistem yang sedia ada dan yang paling memudahkan diri untuk berkuasa.

Prosesnya penting

Yong Kai Ping pula menekankan proses pemilihan, meskipun beliau menyedari ramai yang jemu dan bosan dengan pemilihan yang berlanjutan untuk jangka yang panjang.  Beliau mengambil contoh bagaimana pemilihan di Amerika Syarikat, misalnya antara Barack Obama dengan Hillary Clinton yang mengambil masa kira-kira setahun, menjelajah dari negeri ke negeri.
"Pemilihan langsung bukan satu-satunya pilihan, tetapi untuk saya, ia adalah pilihan yang lebih baik daripada semua sistem pemilihan parti yang sedia ada," kata Yong, sambil menjelaskan bahawa kayu ukur untuk "baik" di sini adalah proses pemilihan.
Beliau mengkritik kelemahan pemilihan PKR kali ini, di mana parti ini tidak menyediakan mekanisme, misalnya untuk mewajibkan agar calonnya perlu mengetengahkan manifesto, berbahas dan sebagainya.  Beliau menambah, proses pemilihan yang baik bukan sahaja berakhir dengan terpilihnya calon yang unggul, tetapi juga memberi ruang agar pemimpin dan anggota parti membangun bersama sepanjang pemilihan.

Yong membandingkan dengan pemilihan di Amerika Syarikat, di mana Barack Obama perlu menerima perbahasan, dipersoalkan, dipantau oleh massa dari pusingan ke pusingan, sehingga akhirnya beliau terserlah dengan bakatnya, sama ada untuk berbahas mahupun berfikir.
Berbalik kepada pemilihan PKR, Yong (gambar kanan) mengkritik budayanya begitu mengecewakan.  Azmin Ali tampil dengan sokongan yang dikerah dari kalangan wakil rakyat dalam partinya, dan sudah cukup untuk dilihat begitu "menggerunkan".  Namun, kita tidak berpeluang untuk menyaksikan perdebatan antara kedua-dua calon Timbalan Presiden ini, yang mungkin satu hari bakal menyandang jawatan penting dalam kerajaan.
Bagaimanapun, Yong Kai Ping berkata, pemilihan parti bukanlah pertandingan perbahasan untuk memilih mereka yang paling lincah pertuturannya, atau "bintang" yang paling hebat latar belakang akademiknya, sebaliknya memilih seseorang pemimpin yang boleh membuat pertimbangan, melakarkan halatuju dan mampu bertanggungjawab.

"Mengapa ramai orang mengkaji pemilihan Presiden AS?  Ini kerana Presiden AS yang terpilih perlu menekan butang senjata nuklear, menentukan nasib umat manusia sejagat.  Kamu perlu memiliki daya pertimbangan untuk menentukan, sama ada benar pengganas menyerang?  Kamu perlu mendengar pendapat yang berbeza, menganalisa, mencari manakah informasi yang benar dan palsu," kata Yong Kai Ping.

Berdepan dengan tentangan perwakilan

Ong Tee Keat, bekas Presiden MCA yang memasukkan "pemilihan langsung" dalam manifesto beliau ketika bertanding untuk jawatan Presiden pada tahun 2008, mengingatkan hadirin bahawa cadangan ini telah diketengahkannya pada tahun 2005, semasa beliau bertanding untuk jawatan Naib Presiden MCA.
Ong Tee Keat (gambar kiri) meraih lebih sokongan masyarakat umum daripada dalam parti dirinya, terkenal sebagai "Lone Ranger" sepanjang ini.  Cadangan "pemilihan langsung" yang diketengahkannya lantas ditafsir sebagai langkah untuk memberi laluan kepada dirinya.  Beliau bagaimanapun menafikan tafsiran sedemikian, dengan mengatakan bahawa pelaksanaannya mengambil masa, lebih-lebih lagi cadangan ini semestinya berdepan dengan tentangan perwakilan kerana kuasa yang dinikmati mereka selama ini telah dirampas.
Akhirnya beliau kecundang dalam pemilihan semula pada 28 Mac tahun ini, sebelum pemilihan langsung sempat dilaksanakan dalam MCA.  Walaupun berada di dalam parti yang berbeza, namun Ong Tee Keat menyanggah kenyataan bahawa pemilihan langsung harus dihentikan, semata-mata kerana kekecohan yang disaksikan sepanjang pemilihan PKR.
Beliau mengibaratkan sistem ini sebagai "pengawet" (untuk mencegah pereputan) yang harus disuntik ke dalam sesebuah parti, demi politik demokrasi masa depan.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List