DARI MATA PENA MOHD SAYUTI OMAR.........???

on Oct 27, 2010




Betulkah Hak Melayu Tidak Akan Hilang?


TEGAS Presiden Umno, Mohd Najib Razak kedudukan hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang termaktub dalam perlembagaan tidak akan terusik kerana ianya terkunci kemas. Sesiapa yang cuba memindanya tidak akan berjaya kerana ia tidak akan berganjak walaupun setitik. Apa-apa perubahan yang hendak dibuat mestilah kena persetujuan majlis Raja-Raja Melayu, katanya. Katanya!


Memahami penegasan Najib itu bermakna orang Melayu tidak perlu rungsing tentang kuasa dan juga hak keistimewaan mereka akan lenyap. Ia tidak akan hilang selagi Raja-Raja Melayu ada. Kalau takdirPakatan Rakyat mendapat kuasa majoriti dan memerintah negara ini, kerajaan baru itu tidak akan dapat mengubahnya. Ertinya orang Melayu dalam keadaan status quo kuasanya. Tidak perlu walang dan tidak perlu cemas.



Bahawa Raja-Raja Melayu menjadi kunci dan benteng kepada kedudukan hak istimewa orang Melayu itu. Mudah faham, pertahankan raja maka kekallah kuasa orang Melayu?



Jadi kalaulah benar begitu kenapa Umno harus susah payah hendak mempertahankan kerajaan. Mengusik dan memomokkan orang Melayu kononnya kalau Umno pupus dan kalah pilihan raya kuasa Melayu akan hilang? Melayu akan hina dina di negeri sendiri. Ada kepelikan dan keganjilan mengenai penegasan Najib ini dengan hakikat yang ada dan tersurat itu. Semacam kontradik saja.



Soalnya apakah penegasan Najib itu benar? Sejauh manakah perlembagaan itu suci dan tidak akan terganggu oleh kuasa politik? Bukankah apa yang difahami sekarang ini, Raja-Raja Melayu bukan mutlak dan mereka adalah raja berperlembagaan? Ertinya raja akan hidup atas ehsan perlembagaan? Dan perlembagaan pula boleh dipinda menerusi Parlimen. Tidakkah hak ataupun keistimewaan raja-raja (imuniti) telah dirampas sendiri oleh Umno? Kita telah saksikan kejadian bagaimana raja-raja Melayu diaibkan oleh Umno di zaman Mahathir Mohamad menjadi raja daun pisang.



Justeru bagi saya kata-kata Najib itu satu ancaman dan peringatan, tidak lebih dari itu. Ancaman kepada bukan Melayu manakala ingatan kepada orang Umno dan orang Melayu. Najib cuba memberi mesej kepada bukan Melayu bahawa usahlah berusaha untuk merampas hak Melayu kerana ianya sia-sia saja. Manakala kepada orang Melayu pula diingatkan kononnya selagi ada Umno, Melayu akan ada dan dalam pada itu Umno perlu dikekalkan sehingga khiamat.



Sekiranya kata-kata Najib itu benar dan terhakikat begitu nampak sangat Najib telah menggunakan kuasa keramat yang tidak perlu dipermainkan oleh sesiapa itu untuk kepentingan Umno. Najib tidak harus menggunakan kuasa keramat yang ghaib itu untuk dijadikan sandaran agar orang Melayu terus menyokongnya? Itu satu kebodohan rasanya bila Najib membuka pekong kekuatan Melayu yang diperolehi dari kuasa raja itu.



Sebenarnya peringatan itu sudah tidak bererti lagi kalau orang menerima penegasan itu sebagai mutlak dan benar. Apakah orang Melayu akan terpanggil untuk membuat kerja sia-sia itu? Tentu sekali.... tidak. Dan kalau orang Melayu merasakan kedudukan mereka selamat dengan adanya raja-raja, maka orang Melayu tidak perlu mempertahankan Umno cukup mempertahkan raja-raja saja. Tugas mempertahankan raja-raja adalah tugas hak semua orang Melayu.



Di sini saya rasa Najib telah terperangkap dalam kata-katanya sendiri. Bila beliau berdepan dengan bukan Melayu beliau akan menegaskan hal itu. Bila berdepan dengan Melayu beliau akan meminta orang Melayu membimbangi keadaan itu. Tetapi bila beliau berdepan dengan realiti (kedua-dua entiti) di sinilah beliau akan terkial-kial bagaimana hendak menjelaskannya dan akan menampakkan akan kedangkalan serta keterjempitan akal politiknya.



Pada saya tetap yakin bukan Melayu akan terus mengungkit mengenai hak keistimewaan Melayu sampai kapan pun kerana itu termasuk dalam intipati perjuangan mereka baik secara tersirat atau tersurat. Mana-mana bangsa atau kaum atau puak jika mereka tidak memperjuangkan hak mereka adalah bangsa atau kaum yang bodoh. Mana ada persebatian antara gula dan kopi secara hakikinya melainkan dapat dilihat dari fizikal saja.



Tegasnya kalau orang Melayu mahu mengekalkan kedudukan hak istimewa mereka bukan dengan cara mengancam dan mengugut mana-mana pihak tetapi orang Melayu harus bersatu dan berpadu.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List