Polis Tahan Saksi Kes Gunasegaran Guna Kekerasan......???

on Oct 27, 2010



Tindakan polis menggunakan kekerasan dan melemparkan kata-kata kesat semasa menahan saksi utama inkues R Gunasegaran yang mati dalam tahanan polis menimbulkan keraguan.

Dalam satu sidang media di KL-Selangor Chinese Assembly Hall petang tadi  bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram), peguam Gunasegaran, M Visvanathan memberitahu media, Selvach Santhiran Krishnan ditangkap di rumahnya lewat malam semalam dengan menggunakan kekerasan dan kata-kata kesat terhadap isteri Selvach.

S Saraswathy, isteri Selvach menjelaskan lima anggota berpakaian biasa mula menengking menggunakan kata-kata kesat menyuruh Selvach keluar, dan mula memukul Selvach di hadapan keluarganya.

Katanya lagi, beliau berada di rumah jiran pada masa itu dan apabila beliau bertanyakan sebab Selvach ditangkap, anggota polis berkenaan menengkingnya menggunakan kata-kata kesat.

Visvanathan menambah, Selvach sempat menelefon isterinya pagi tadi menyatakan beliau ditahan dan dibawa ke mahkamah pagi tadi, dan akan ditahan selama dua tahun.

Jelasnya, pada masa ini tidak diketahui mengapa Selvach ditahan tetapi melihat kepada perjalanan kes, polis mungkin  menggunakan alasan Akta Dadah Berbahaya untuk menahan Selvach tanpa perbicaraan.

"Selvach merupakan seorang saksi penting di mana beliau memberikan kenyataan 'statutori'  bahawa anggota polis menyerang Gunasegaran serta mengecam anggota tersebut.

"Tindakan polis amat jelas, bahawa mereka sedang berusaha untuk menyembunyikan sesuatu," tegas Visvanathan.

Dalam pada itu, kakak kepada R Gunasegaran, R Ganga Gowri memberitahu media bahawa beliau masih dalam keadaan terkejut kerana tidak dapat menerima keputusan inkues kematian adiknya dalam tahanan 16 Julai polis tahun lalu.

Beliau merasakan usahanya selama satu setengah tahun mencari bukti, saksi dan bantuan akhirnya sia-sia  sahaja.

Beliau berkata, beliau terpaksa berulang-alik ke kedai di mana adiknya bekerja semata-mata untuk mencari saksi yang dapat menceritakan kejadian sebenar pada malam Gunasegaran ditangkap.

Menurutnya lagi, inkues pada awalnya berjalan dengan baik tetapi tiba-tiba keadaan berubah pada saat akhir, dan beliau sendiri tidak faham bagaimana perjalanan inkues boleh berubah sebegitu.

"Tiga saksi memberitahu serangan dibuat tetapi tiada tindakan diambil, dan mengapa inkues berakhir tanpa menghukum mereka yang bertannggungjawab? Adakah ini sahaja nilai nyawa seorang?" soal Ganga yang mula menangis.

Visvanathan berkata, beliau amat tidak berpuashati dan terganggu dengan keputusan inkues tersebut kerana walaupun setelah mendengar keterangan tiga saksi beserta  bukti lain yang kukuh, inkues mengambil keputusan memberikan 'open verdict'(tidak dapat menjelaskan punca kematian) itu jelas tidak mengendahkan kesemua kenyataan saksi dan bukti yang ditunjukkan.

Beliau mempersoalkan ketiadaan laporan polis terhadap kematian Gunasegaran sehingga ke hari ini.

"Sehingga hari ini tiada laporan polis dibuat di atas kematian Gunasegaran. Jika ditanyakan orang kampung pun tahu, perkara pertama yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian ialah melaporkan kepada polis," tegas beliau.

Beliau juga berkata ekoran keputusan inkues tersebut, Ganga membuat laporan polis terhadap beberapa isu yang berkait dengan kematian Gunasegaran dan keputusan inkues.

Pertama ialah mempersoalkan tindakan polis yang sehingga kini gagal membuat laporan atas kematian Gunasegaran, dan ini dilihat sebagai satu penafian dan  ketidak pedulian polis dalam hal ini.

Kedua  polis  gagal mengambil tindakan terhadap Lans Korporal Mohd Faizal Mat Taib yang  dicam oleh ketiga-tiga saksi inkues sebagai anggota polis yang menyerang dan memukul Gunasegaran berulang kali hingga pengsan.

"Apabila saya tanya kepada pendakwaraya samada tindakan ada diambil terhadap Faizal, beliau menjawab sambil lewa mengatakan tiada, jika kamu membuat laporan kita akan pertimbangkan," kata Visvanathan.

Kata beliau lagi, ketiga ialah laporan ke atas anggota polis lain yang berada di balai semasa Faizal memukul Gunasegaran kerana gagal menghalang Faizal daripada bertindak ganas, dan keempat ialah kegagalan polis memberikan rawatan perubatan apabila Gunasegaran pengsan.

Seterusnya ialah terhadap Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang gagal menyimpan mayat Gunasegaran dalam keadaan baik kerana semasa mayat diambil dari HKL untuk bedah siasat kali kedua, mayat telah reput sebegitu rupa hinggakan muka Gunasegaran tidak dapat dicam lagi.

"Saya tidak dapat memberitahu tahap pereputan yang berlaku ke atas mayat Gunasegaran kerana keadaan mayat amat buruk," terangnya.

Dr Prashad dari Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menjalankan bedah siasat kedua memberitahu sekiranya mayat dalam keadaan baik, sudah pasti beliau dapat memberikan laporan yang lebih tepat, tambahnya.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List