Semalam,penulis tidak mempunyai sebarang agenda penting.Kerana terlalu bosan,melayari facebook adalah option terakhir untuk dilakukan.Secara tidak sengaja,penulis terpandang kepada satu "invitations" iaitu Ceramah Sempena Tiga Tahun Pakatan Rakyat peringkat Kota Raja di Seri Andalas.Oleh kerana ceramah tersebut bermula jam sembilan malam pada hari yang sama,penulis akhirnya menunggang motorsikal dari Petaling Jaya ke Klang,dengan masa perjalanan sekitar 40 minit pada jam 10.00 malam tersebut.
Ketika penulis sampai di Dewan Sukan Klang sekitar jam 10.40,Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyampaikan ceramahnya.Selang 20 minit kemudian,Anwar Ibrahim pun tiba ke dewan ceramah tersebut dengan diiringi oleh dua buah kereta mewah yang lain.Ini adalah kali pertama penulis dapat melihat muka Anwar secara live,di mana kelihatannya ramai yang cuba untuk bersalaman dengan beliau dari dalam kereta. Anwar disambut oleh pemuda-pemuda PKR Kota Raja,di mana orang kuatnya Azmizam ada di atas pentas. Yang menyambut Anwar bukan Azmizam,tetapi seseorang yang berbaju melayu dan memakai songkok yang agak tinggi.
Secara umumnya,penulis tertanya-tanya?Budaya politik apa yang hendak dibawa oleh kita?Adakah PKR masih mahu mengekalkan budaya ampu dan bodek dengan mengVVIPkan seseorang pemimpin?Kehadiran Anwar disambut dengan sebegitu bodek (pinjam ayat Hishamuddin Rais satu masa dahulu),di mana ada sekitar empat hingga lapan orang pula pengawal peribadi berbaju batik berlari-lari anak membontoti kereta Anwar.Kehadiran Anwar masuk ke dalam dewan itu disambut dengan gegak gempita laungan REFORMASI.
Tetapi bagi penulis,apalah erti reformasi jika kita sendiri gagal memecahkan hegemoni protokol bodek yang dibawa daripada budaya Umno tersebut?Sebenarnya,perkara ini bukanlah baru diceritakan.Bro Hisham Tukar Tiub sudahpun menceritakan keadaan ini ketika di Konvensyen PKR satu masa dahulu.Oleh itu penulis merasakan di sinilah terlihatnya perbezaan antara Anwar dan Haji Hadi.Anwar diiring ketat oleh beberapa orang pengawal,sedangkan Haji Hadi hidup tanpa protokol.Jika tidak,masakan Aduka Taruna mampu melanggar Haji Hadi beberapa kali sebelum ini.
Ah,biarkanlah!Bukan itu yang menjadi pokok pangkalnya sekarang.Yang penting kita sama-sama tumbangkan Umno terlebih dahulu,baru bercakap soal protokol itu dan protokol ini.
Apa yang diceritakan oleh penulis adalah pengalaman yang tidak dilupakan selepas selesai sahaja ceramah Anwar sekitar jam 12 malam.
Apabila Anwar mengakhiri sahaja ucapannya itu,penulis kemudiannya terus menghidupkan motorsikal untuk menempuh pula perjalanan pulang ke Petaling Jaya.Nampaknya,jarak pulang antara Anwar dan penulis hampir sama sahaja.
Masalah penulis pada malam itu bermula apabila jarum minyak di motorsikal penulis menunjukkan hampir kepada jarum "E" iaitu merah.
Setelah tiba di Stesen Minyak Petronas di Bandar Bukit Tinggi,Klang,penulis mengeluarkan duit untuk mengisi minyak RON95 sebanyak RM3.Jumlah sebanyak itu cukuplah untuk sebuah tangki motorsikal pulang dari Klang ke Petaling Jaya.
Tiba-tiba,apabila penulis melihat ke dalam dompet,didapati hanya terdapat seringgit dalam dompet penulis! Aduh,tidak teringat pula penulis bahawa penulis sudahpun tidak mempunyai wang tunai di tangan.Jam ketika itu menunjukkan pukul 12.15 malam.Di Stesyen minyak itu sahaja mempunyai dua buah mesin ATM iaitu ATM Maybank dan CIMB.Pun begitu,kedua-duanya tidak boleh digunakan dan menunjukkan paparan OFFLINE di skrin.
Kemudiannya,penulis masuk ke dalam kawasan lot-lot rumah kedai di kawasan tersebut yang mempunyai banyak bank di kawasan tersebut.Mula-mula,penulis singgah mengeluarkan wang di bank CIMB cawangan Bukit Tinggi tersebut.Malangnya,ketiga-tiga mesin ATM di dalam bank tersebut turut OFFLINE.Apabila ditelefon kepada talian 24 jam CIMB iaitu 1300 880 900,penulis dibawa bercakap dengan mesin perakam suara CIMB.Setelah menekan beberapa kali butang telefon mengikut arahan rakaman suara,barulah penulis dibenarkan bercakap dengan operator di talian.
Berikut adalah perbualan penulis dengan operator:
P : Hello,Assalamualaikum.Saya ada di ATM Bukit Tinggi Klang ni.ATM semua tunjuk OFFLINE.Bila boleh guna ni?
O:Boleh tahu siapa yang bercakap ni?
P:Oh,saya Hazman.
O:Okay,Encik Hazman.ATM CIMB seluruh Malaysia akan OFFLINE setiap hari untuk penyelenggaraan dari jam 12.00 malam.Encik nak keluarkan duit melalui akaun simpanan atau semasa?
P:Akaun simpanan.
O:Akaun simpanan mula boleh digunakan bermula jam 1.30 pagi.Akaun semasa pula jam 2.30 pagi.
P:Aduh,ye ke?Bank-bank lain sama ke encik?
O:Itu saya tak pasti lah encik.
P:Okay,tidak mengapalah encik.Terima kasih.
O:Sama-sama.
Ketika penulis menamatkan perbualan penulis tersebut,jam baru menunjukkan jam 12.25 pagi.Untuk membolehkan penulis mengeluarkan wang di CIMB,penulis perlu menunggu selama 1 jam 5 minit daripada masa tersebut.Hendak balik ke rumah,minyak motorsikal cuma tinggal cukup-cukup makan sahaja.
Oleh itu,penulis terpaksa mencuba di kesemua bank yang ada di kawasan tersebut sekitar lapan buah (jika tidak silap) menggunakan MEPS CIMB dan Bank Islam (satu lagi kad ATM penulis),namun enam daripada lapan ATM tersebut juga adalah OFFLINE!Dua bank yang tidak offline pula menolak permintaan mengeluarkan wang penulis.Dalam keadaan sebegitu,terkeluarlah juga sumpah seranah kepada bank-bank di sana.Bayangkan, hampir kesemua bank OFFLINE pada waktu yang sama!Ini bagi penulis adalah sungguh-sungguh Tidak Cerdik.Penulis telahpun singgah di hampir kesemua bank di kawasan tersebut sehingga ke jalan yang menghala ke Pandamaran,namun kesemuanya berada dalam keadaan Offline.
Di kawasan sebesar Bukit Tinggi tersebut terdapat tiga buah Stesen Minyak Petronas dan kesemuanya mempunyai perkhidmatan ATM.Pun begitu,keputusannya tetap sama iaitu OFFLINE!Dalam keadaan hampir sejam berpusing-pusing mencari ATM di kawasan tersebut,akhirnya penulis berjaya juga mengeluarkan wang pada jam 1.10 pagi.Itupun menggunakan kad ATM Bank Islam di ATM Arab-Malaysian Bank.
Di sini,apa yang dikesalkan penulis adalah,bagaimana sebuah bank seperti CIMB yang mempunyai berjuta pelanggan,gagal mengeluarkan sebarang notis mengenai penyelenggaraan harian mereka sekitar jam 12 malam?Bagi penulis sendiri,sekiranya tidak menghubungi talian perkhidmatan pelanggan mereka,penulis mungkin tidak mengetahui bahawa Bank CIMB akan offline pada jam 12 malam setiap hari!Adakah mereka tidak mampu memaklumkan perkara itu di pintu masuk bank mereka?
Bagi penulis,mungkin tidak begitu mendesak.Bagaimana pula dengan orang lain yang mempunyai keperluan yang teramat sangat penting untuk mengeluarkan wang pada satu-satu masa.Pembaca mungkin tidak nampak perkara ini jika masih belum mengalami perkara ini.Tetapi,penulis sendiri beberapa bulan lalu pernah terjumpa dengan seorang pelancong asing sekitar jam 1 pagi di Jalan Maarof Bangsar di mesin ATM.Bayangkanlah, beliau tidak mempunyai wang tunai pada malam tersebut.Pada masa yang sama,beliau telah menaiki teksi bermeter untuk pulang ke tempat penginapannya.Apa yang menyedihkan,beliau telah berusaha untuk mengeluarkan wang di hampir kesemua mesin ATM di kawasan sebesar Bangsar itu,namun gagal.
Sama seperti penulis,tetapi pelancong ini lebih teruk.Setiap minit yang berjalan akan dicaj oleh teksi yang membawanya itu.Ketika bertemu penulis di ATM Eon Bank berhampiran Restoran Pelita malam tersebut,dia telahpun mencari ATM yang boleh mengeluarkan duit selama hampir setengah jam.Bayangkan,agaknya berapa ratus yang dia perlu bayar untuk tambang teksi menggunakan kadar tambang lewat malam pada hari itu.
Dengan pengalaman yang dihadapi penulis dan pelancong asing tersebut dan mungkin beratus yang lain, diharapkan pihak bank (mana-mana bank) mengambil serius akan perkara ini!Buatlah sedikit notis mengenai waktu penyelenggaraan ATM di bank anda supaya tidak menyusahkan para pengguna.Selain itu,semua bank sepatutnya membuat ketetapan supaya penyelenggaran dibuat pada masa yang berlainan supaya pelanggan yang terdesak wang masih boleh ke ATM lain walaupun ATM sesebuah bank dalam keadaan OFFLINE.
Sekiranya perkara seperti ini tidak diambil berat oleh adik Najib Razak,amat malanglah beliau sebagai seorang CEO yang gagal!
http://propartiislammalaysia.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment