Penipuan dalam perniagaan.....

on Mar 12, 2011

DALAM Islam, apa sahaja yang dilakukan dengan niat kerana Allah dan cara pelaksanaannya menepati syariah dikira sebagai ibadah dan layak mendapat pahala daripada Allah.

Untuk meraih pahala ibadah menerusi berniaga maka perlu menjaga adab dan etika yang digariskan oleh Islam. Antaranya menjaga adab dan etika apabila berurusan dengan pelanggan.
Dalam apa jua perniagaan, pelanggan adalah aset yang penting. Justeru, Islam menggariskan perlunya menjaga adab-adab dan etika-etika perhubungan semasa berurusan dengan mereka.
Hak-hak mereka sewajarnya dijaga demi mencapai kesejahteraan dan keberkatan dalam urusniaga tersebut.
Antara nilai yang perlu ada ketika bermuamalat dengan pelanggan ialah hendaklah sentiasa memastikan niat yang ikhlas ketika berurusan dengan seseorang pelanggan tanpa ada sebarang 'hidden agenda' ketika bermuamalat melainkan untuk mendapatkan keredaan Allah Taala.

Peniaga juga tidak boleh menindas pelanggan mereka dengan mengambil harta-harta mereka dengan cara yang salah (batil) seperti yang ditegaskan oleh Allah Taala menerusi firmanNya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…(an-Nisa': 29)

Peniaga juga perlu mengamalkan sikap adil dalam semua perkara apabila berutusan dengan para pelanggan. Sentiasa berlaku adil kepada setiap pelanggan ialah memberikan hak yang sepatutnya kepada mereka, menunaikan semua janji dan memastikan segala manfaat adalah halal. Ia mestilah bertepatan dengan makna adil, iaitu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul.
Berlaku adil juga bermaksud hendaklah sentiasa bersifat amanah dan benar dalam segala urusan dan aktiviti. Membantu pelanggan semasa berurusan dengan mereka dengan penuh adab sopan, persaudaraan dan kasih-sayang.

Menunaikan setiap janji kepada pelanggan sesuai dengan kaedah bahawa "Orang-orang Islam dipegang pada janji mereka". Memastikan sumber pendapatan pelanggan adalah halal di sisi Islam.
Di antara adab dan etika ketika berurusan dengan pelanggan juga ialah tidak menipu para dalam aktiviti perniagaannya. Islam adalah agama yang sangat mementingkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan penganiayaan sehingga menyebabkan timbulnya permusuhan serta perselisihan dalam masyarakat. Oleh yang demikian, Islam menyuruh umatnya berlaku adil kepada manusia sama ada Islam atau bukan Islam.

Kejujuran adalah merupakan elemen yang sangat penting dalam menjamin sesebuah perniagaan itu maju, berjaya dan yang lebih pentingnya ianya diberkati oleh Allah SWT. Perkara ini sejajar dengan ajaran Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW: Dua orang yang sedang melakukan jual-beli dibolehkan tawar-menawar selama belum berpisah; jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri dagangannya), maka mereka akan diberi barakah dalam perdagangannya itu; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri dagangannya),barakah dagangannya itu akan dihapus. (riwayat Bukhari)

Dr. Thomas Stanley, penulis buku The Millionaire Mind menyatakan bahawa antara faktor utama yang menyebabkan seseorang itu dapat memperolehi kejayaan dalam perniagaan adalah jujur dengan semua orang. Beliau memperolehi jawapan itu daripada individu-individu yang berjaya menjadi jutawan yang telah ditemu bual.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List