UMNO Akan Jadi Kenderaan Yang Tidak Boleh Digunakan Lagi...?

on Dec 4, 2011


"Banyak perkara menarik mengenai Perhimpunan Agung Umno 2011. Satu dripadanya ialah ucapan wakil Kedah, Mohd Kamal Saidin yang menggariskan ciri calon boleh menang (winnable candidate) parti itu perlu mempunyai sifat seperti KhalifahIslam Saidina Uthman Affan yang tidak meminta-minta untuk diberikan jawatan.

Dalam ucapanya di persidangan itu semalam, beliau berkata antara kriteria calon boleh menang daripada pandangan Islam ialah orang yang tidak meminta-minta, tidak melobi atau membeli jawatan.



“Contohilah Saidina Uthman bin Affan yang tidak meminta untuk diberikan jawatan Khalifah, sebaliknya diberi tanggungjawab atas amanah dan kepercayaan untuk memimpin umat Islam pada zaman itu,” katanya seperti dilaporkan themalaysianinsider.com, semalam.

Calon boleh menang (winnable candidate) diketengahkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam usaha memastikan kelangsungan kuasa parti itu di negara ini.
Laporan menyebut presiden sudah diberi mandat dalam perhimpunan itu untuk menentukan calon Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan ciri calon boleh menang (winnable candidate).


Mohd Kamal juga berkata perjuangan Umno perlu dilihat menepati kriteria perjuangan golongan beriman yang digariskan oleh Imam Shafie.
Berdasarkan pengalaman penulis bergaul dan “melakukan kerja” untuk Umno sejak 1991-1999, amat susah untuk mencari calon pilihanraya daripada parti itu yang mempunyai ciri seperti disebut Mohd Kamal – tidak meminta-minta untuk diberikan jawatan.

Sebaliknya, hampir semua pemimpin bukan sahaja meminta jawatan, malah berebut sehingga ke tahap sanggup ‘berbelanja besar’, hatta ‘membunuh kerjaya politik lawan’ di kalangan sesama Umno sendiri.
Ini bukan rahsia. Ia diketahui umum. Dan, Umno perlu menerima hakikat bahawa inilah antara ‘perangai hodoh’ pemimpin Umno yang sentiasa menggugat keutuhan parti itu – ia bukan sahaja perlu berdepan dengan Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP, malah percakaran seteru politik dari kalangan dalam parti Umno sendiri.

Maknanya, jika ciri yang ada pada Khalifah Islam Saidina Uthman Affan mahu dijadikan satu daripada kriteria calon boleh menang (winnable candidate) Umno, kemungkinan besar parti itu tidak akan ada calon pada PRU13!
Secara jujur, jika Umno mahu kekal mendapat mandat di negara ini, ia perlu mengerah segenap kudrat menghapuskan perangai kotor lagi jijik di kalangan ahli dan pemimpinnya dalam meminta dan berebut jawatan, termasuk calon pilihanraya.

Namun, berdasarkan pemerhatian penulis sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2011 setakat hari ini, Umno lebih berminat menghentam lawan sama ada Pas, Parti Keadilan Rakyat atau DAP – bukan berbincang dan merumus solusi konkrit bagaimana Umno patut mendepani PRU13.

Dalam kata lain, sepanjang perhimpunan itu, Umno lebih berminat ‘mengkritik rumah orang lain walaupun rumahnya sendiri makin senget’ (dan mungkin roboh dalam PRU13)! Tindakan mencemuh ‘rumah orang lain’ lebih ketara berbanding usaha ‘membaiki rumah sendiri’.

Umno perlu akur bahawa pengundi kini makin cerdik dan aliran maklumat pula kian telus. Pemerintah tidak lagi dapat memilih mana maklumat mahu didedahkan dan mana maklumat mahu disembunyikan. Ini bukan zamannya lagi untuk Umno dapat ‘bermain wayang’ dengan rakyat. Rakyat kini tidak mudah dipujuk untuk hanya mengundi Umno.

Sikap dan pendirian Umno dalam pelbagai isu sedang diamati secara bersungguh-sungguh oleh pengundi.
Contohnya apabila Mohd Kamal turut menyebut bahawa ‘perjuangan Umno perlu dilihat menepati kriteria perjuangan golongan beriman’.

Pengundi yang semakin berilmu, terutama berikutan kesedaran agama yang kian tinggi di kalangan pengundi beragama Islam, akan melihat Umno sebagai sebuah parti munafik (dan hipokrit) kerana dalam ia melaungkan ‘perjuangan menepati kriteria perjuangan golongan beriman’, pada masa sama parti itu menolak mentah-mentah hukum Allah taala seperti hudud dan sebagainya.

Pada masa sama pemimpin parti itu juga sering dikaitkan dengan pelbagai penyelewengan kuasa dan pembolotan kekayaan. Semua ini tentu sekali tidak serasi dengan ‘perjuangan menepati kriteria perjuangan golongan beriman’. Dan, pengundi yang berilmu serta bermaklumat tentu sekali tidak akan menerima bulat-bulat apa sahaja sikap dan pendirian Umno.

Maknanya, jika Umno mahu kekal menang pada PRU13, banyak ‘kerosakannya’  perlu dibaiki segera kerana masa untuk pilihanraya sudah suntuk.

Jika diibaratkan sebagai sebuah kenderaan, Umno sudah terlalu banyak rosaknya. Ia perlu dibaiki dalam banyak perkara, malah jika perlu, enjinnya wajib ditukar!

Ini kerana jika rakyat mendapati Umno kini bukan lagi sebuah kenderaan yang sesuai digunakan, ia akan dibuang di tepi jalan dan tidak lagi dibenarkan bergerak di atas jalanraya. – inimajalah.com


sumber
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List