
Pada awal 1981 Anwar Ibrahim menggemparkan negara. Pemimpin belia yang dilihat paling dinamik dan berbakat mencorakkan lanskap politik Malaysia mengumumkan dirinya menyertai Umno.
Perisytiharan itu dibuat oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad , Perdana Menteri keempat Malaysia yang baru sahaja menaiki takhta beberapa bulan sebelumnya.

Maka pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri itu, wartawan tempatan dan antarabangsa bingkas bertanyakan prinsip perjuangan Anwar. Apakah sikapnya terhadap peraturan dan pelbagai akta yang mencengkam kebebasan dan hak rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah berubah?
Anwar menjawab ringkas tetapi tegas dan jelas : “Dulu kerajaan tidak mahu mendengar suara rakyat. Sebab itu, saya tentang. Tapi sekarang kerajaan (Dr Mahathir) lebih responsif terhadap tuntutan kita, maka kita harus bersikap lebih bertanggungjawab (responsible)”.
Bersorak Umno khasnya dan rakyat jelata amnya. Dr Mahathir pula meraih dividen politik yang amat besar dalam tempoh paling singkat memimpin Umno. Harimau muda dalam politik Malaysia itu berjaya dijinakkan dan rela bekerjasama dengannya.

Hal ini disifatkan agak menakjubkan kerana tidak lama sebelum itu, Angkatan Belia Islam (Abim) yang dipimpin oleh Anwar membuat keputusan membenarkan beberapa pemimpin kanannya untuk menyertai PAS demi mengukuhkan gerakan Islam menawarkan alternatif kepada politik sekular di Malaysia yang ditunjangi Umno.
Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Datuk Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim mendewasakan diri dalam arena politik dengan meninggalkan Abim untuk menyertai PAS. Datuk Fadzil Noor diterima baik oleh PAS hingga dilantik menjadi presiden parti itu akhirnya.
Nakhaie pula selepas meningkat kedudukan dalam PAS hingga menjadi naib presiden berpatah balik dengan menyertai Umno untuk menuruti jejak Anwar.

Saingan Anwar dalam politik, terutama di kalangan Umno, amat berhati-hati dengan pemikiran politik yang bersih dan ikhlas Anwar itu. Enam bulan kemudian Anwar bertarung jawatan Ketua Pemuda Umno dan menang dengan majoriti 10 undi.
Kawan seperjuangan baik dalam Abim dan PAS kaget. Memang berkesan dan jelas pendirian politik Anwar hingga dihormati dalam Umno dan serangan terhadapnya pun mula mengendur. Kedudukan Anwar dalam Umno pun semakin kukuh hingga meningkat menjadi timbalan presidennya. Malah Anwar pun berpeluang memangku jawatan perdana menteri .
Namun agak mengecewakan apabila Anwar secara tidak terhormat terpaksa meninggalkan Umno, sikap bertanggungjawab beliau kerana meyakini kerajaan Mahathir yang responsif masih belum menjadi kenyataan. ISA tetap terus menghantui lanskap politik Malaysia.

Malah beliau mengatakan ia adalah gula-gula politik menjelang pilihanraya umum ke-13 yang di ambang mata. Anwar juga menganggap pengumuman Najib itu adalah tindakan terdesak kerana diasak oleh gerakan BERSIH 2.0. Soalnya, ke mana perginya sikap bertanggungjawab Anwar?
Adakah Anwar ini terlalu serik diperlakukan pelbagai rupa oleh Umno hingga sudah hilang kepercayaan terhadap konsep politik luhur bahawa jika kerajaan responsif terhadap kehendak rakyat, maka rakyat pula (termasuk Anwar) perlu bertanggungjawab seperti yang dicanangkan 30 tahun lalu?

Di samping itu, dalam usaha untuk menyalakan idealisme generasi pewaris kepimpinan negara terhadap sistem politik, Kerajaan hari ini sudah pun merintis jalan untuk membuat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Ini dilakukan berikutan keputusan mahkamah bahawa AUKU bertentangan dengan semangat perlembagaan negara.
Sekali lagi kerajaan bersikap responsif, namun mengapa Anwar dan rakan-rakan Pakatan Rakyatnya masih tidak bersikap bertanggungjawab? Adakah ini boleh dianggap politik luhur? Jika dalam tempoh 30 tahun keluhuran dan keikhlasan kenyataan dan pernyataan politikus seperti Anwar boleh dikenalpasti berubah-rubah, bayangkan bagaimana nanti menghadapi Allah?

Hari ini, Najib sudahpun mengorak langkah melakukan apa yang Mahathir dan Anwar sendiri tidak berani dan berupaya melakukan. Tunjukkanlah sikap bertanggungjawab itu, Anwar! - oleh Abdul Rahman Malik
Dan berapa nilai rencana ini...?
Aris Awang · 75 years old
Masa Anwar belum masuk UMNO/BN aku tentang UMNO/BN, masa Anwar dalam UMNO/BN aku tentang UMNO/BN, masa Anwar kena terajang keluar UMNO/BN aku tentang UMNO/BN... aku lawan UMNO/BN bukan pasai ikut Anwar atau sapa-sapa. Aku lawan UMNO/BN kerana aku faham UMNO/BN adalah warisan Penjajah British dan semakin hari semakin jahat termasuk semasa Anwar masih dalam UMNO/BN (19 Nov 1985 - Peritiwa UMNO/BN bunuh Ustaz dan 13 pelajarnya di Memali). Sekarang Anwar bersama PR untuk tumbangkan UMNO/BN jadi tiada masalah untuk aku bersama dia menentang musuh bersama iaitu UMNO/BN!
Natureboy Azmie · Top Commenter
...Walaupun ianya hanya sekadar ulasan peribadi penulis,...tapi kalau boleh biarlah penulisan itu jujur sejujur-jujurnya....Ketara sangat dacing tu berat sebelah.... Rasulullah bersabda: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)...A word to the wise ain't necessary, it's the stupid ones who need the advice.
sumber

0 comments:
Post a Comment