Timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Noh Omar tidak mahu menganggap kempen 'Selamatkan Selangor' sebagai satu kejayaan, tetapi beliau berpendapat bahawa program tersebut telahpun menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mula berasa gelisah. Tegasnya, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjalankan program berkenaan oleh pengerusi Umno negeri Datuk Seri Najib Razak. Namun itu tidak bermaksud beliau akan menjadi menteri besar sekiranya BN berjaya merampas semula negeri itu. Begitu juga untuk dua lagi nama yang ditonjolkan dalam 'Selamatkan Selangor' -- Senator Ezam Mohd Nor dan bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo. Mereka tidak mahu memasang "angan-angan Mat Jenin." Menyentuh soal kerjasama dengan PAS dalam mencapai perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam pula, seperti yang giat dilaporkan, Noh turut memilih untuk menutup mulut dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam. Kini, mereka sekadar mengharapkan keuntungan politik apabila PAS atau mana-mana parti tidak lagi "bersekedudukan secara haram" dan keluar daripada Pakatan ekoran pendiriannya untuk mempertahan dasar berhubung Islam, tambahnya. Noh juga enggan mendedahkan rancangan Umno dalam merampas kembali negeri tersebut. Namun beliau menggambarkan bahawa serangan berkenaan akan dijalankan di peringkat akar umbi. Bagi tujuan itu, Umno Selangor telahpun mengaktifkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bawah pimpinannya untuk menjalankan arahan berkenaan, kata Noh. Berikut sedutan wawancara Noh dengan Malaysiakini: Sejauh mana berkesan program 'Selamatkan Selangor'? Saya tidak tahu sejauh mana berkesan atau tidak berkesan. Tapi saya difahamkan kalau tidak berkesan kenapa mesyuarat exco terpaksa panggil ketua polis negeri untuk datang? (Bertanya polis) kenapa bagi permit kepada kempen ini kalau ia tidak berkesan dan tidak menggugat mereka, apa pasal dia hendak ambil berat? Tapi kalau kenyataan ketua penerangan PKR Selangor kata yang datang itu cuma upahan kita dan juga orang tegar Umno. Tak apalah. Saya lebih suka dia kata kita tidak berjaya. Saya lebih suka dengan kenyataan yang dia buat ini yang katakan program yang kita buat ini tidak berjaya, Umno Selangor lemah, Umno Selangor tidur. Saya suka begitu. Tak apalah mereka bercakap, tapi rakyat yang boleh menilai. Tuduhan yang dilemparkan? Dia tuduh saya dengan Khir Toyo tak sehaluan. Kemudian masuk pula Ezam menenggelamkan saya, Ezam lebih popular. Oh, itu bagus. saya suka kenyataan macam ini. Biarlah, itu kerja dia. Dia hendak lagakan saya dengan Khir Toyo ke, nak lagakan saya dengan Ezam ke, nak laga, lagalah. Tak jadi masalah, saya lebih suka begitu. Kalau saya ada kepentingan diri, takkan saya nak suruh Khir Toyo jadi penceramah dalam program saya. Takkan saya nak jemput Ezam jadi penceramah program saya. Tentu saya boleh ketepikan dia seperti PAS buat. Khalid Samad buat lain, (Datuk) Hasan Ali buat lain, bukan? Tapi tengok kami tetap sama-sama, kalau nak buat kita buat sama-sama. Lepas raya ini kita akan tambah berceramah lagi. Siapa lagi yang popular di Selangor ini kita akan bawa bersama. Setakat mana kesungguhan yang ditunjukkan dalam program ini? Ezam tiap-tiap malam bersama. Saya lima belas kali, Ezam dalam lima belas kali juga turun. Tak dapat turun penuh sebab saya ada masanya kena (ikut program lain). Ezam yang saya tahu setiap malam dia turun. Ada sekali dua saja dia miss (terlepas). Tapi Khir Toyo masa kita ajak pada mula-mula tu dia ada program permukiman, tapi dia dapat juga ikut. Jadi sekarang ini, saya nak beritahu PAS, dia kena bersedia. Kalau kami bertiga ini dia tengok sebagai tokoh Selangor, ya kamilah orang muda yang akan gempur Selangor. Dulu Khir Toyo seorang saja. Sekarang saya masuk, Ezam masuk sebagai satu pasukan. Setiap sudut dia (Pakatan) akan kena. Kita pun tak takut, kalau nak ajak debat pun kita tak takut. Mengapa hanya Umno yang aktif dalam usaha ini sedangkan kekalahan BN di Selangor di kerusi majoriti kawasan bandar (yang dikuasai MCA atau MIC)? Tak apalah, itu kita akan cuba bawalah dalam second round(pusingan kedua). Ini trend Umno lain sikit. Daripada dulu pun kita jarang ceramah sama-sama. MCA dia pergi ke cawangan MCA, cakap dalam bahasa Cina, yang India pegi jumpa India. Melayu cakap Melayu, itu (amalan) daripada dulu lagi. Tapi sekarang kita nak kawal, kita nak buat seperti malam terakhir kempen pilihan raya kecil, mana ada orang lain. PM saja yang bercakap, mereka semua bercampur. Semua pemimpin datang. Kalau datang pun tak ada berucap. Itu memang budaya kita begitu. Generasi muda ini mungkin kita akan ambil juga penceramah daripada parti komponen. Dalam pusingan kedua, kita akan buat. Kita akan minta kerjasama daripada MIC, MCA siapa yang boleh bantu kita. Apakah rancangan selepas kejayaan Selamatkan Selangor? Saya tidak kata ini sebagai satu kejayaan. Saya tidak mahu kata ini sebagai satu kejayaan. Saya kata, ini satu tanggungjawab kepada kita untuk terangkan kepada rakyat segala isu yang saya cakap tadi. Lepas ini kita akan teruskan. Datuk bersedia untuk bertanding kerusi negeri dan jadi menteri besar? Itu kita tak boleh fikir itu semua. Saya sekarang tak fikir (perkara itu). Sekarang saya fikir kita nak tawan semula Selangor.... tidak lebih daripada itu. Kalau kata Ezam patut ke depan, kalau ada orang luar daripada kami bertiga, orang luar pula masuk. Tidak ada masalah. Sebab bagi kita ialah Selangor mesti ditawan semula. Sebab itu tak ada gunanya kita hendak jadi angan-angan Mat Jenin. Wah, kalau dapat (Selangor) orang ini hendak jadi menteri besar, itu semua angan-angan Mat Jenin. Hakikatnya Selangor mesti ditawan semula. Itu tanggungjawab saya yang diberikan oleh Datuk Najib. Datuk Khir, Ezam masing-masing juga ada peranan untuk disumbangkan. Apa strategi sebenar untuk menawan Selangor Strategi kita tak boleh cakaplah. Dari segi semangatnya, senang saja. BN bukan saja dia minta tapi menghayati tawan semula Selangor itu saja. Semalam saya jumpa dengan JKKKP (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pusat), saya pun sampaikan mesej yang sama. Mesti masing-masing mainkan peranan untuk menawan semula Selangor. DAP ada 14 kerusi, DAP 13 kerusi, PAS ada 8 kerusi. Ini kedudukan yang betul dan BN ada 21. Kalau nak memerintah Selangor, satu-satu parti mesti ada 29 kerusi. Kalau salah satu parti keluar daripada Pakatan kita kena ada pilihan raya baru di negeri Selangor. PAS ada lapan kerusi tapi kalau PAS keluar, tinggal 27 kerusi. Runtuh, tidak boleh tubuh kerajaan. Kalau PAS saja keluar, cukuplah (untuk) runtuh kerajaan ataupun sekiranya PKR keluar atau DAP keluar. Sejauh mana usaha untuk bentuk kerajaan perpaduan dengan PAS? Ini saya tidak mahu komenlah, ini senang saja, siapa yang sayang bangsa Melayu siapa nak tengok orang Islam terus maju, maka orang Melayu kena bersatu bukannya kerana Umno, kerana Islam pun kata kembalilah kamu kepada jalan Allah, janganlah kamu berpecah belah. Saya dah kata PAS takut dengan DAP. Di Kelantan hukum hudud sudah diluluskan, mengapa tidak dilaksanakan? Kerajaan persekutuan tidak berkuasa untuk halang, ini kuasa mutlak kerajaan negeri. PAS dan Umno susah dapat titik pertemuan, sebab pendekatan kita berbeza. PAS gunakan agama untuk mendapat kuasa politik. Mereka akan jual, lacurkan agama, mereka akan pengaruhi rakyat dengan agama kerana nak kuasa politik. ini PAS punya kerja. Bagaimana keadaan ini akan beri keuntungan kepada BN? Kita akan jelaskan bahawa PAS, dasar Islam ini berbeza-beza, guna banyak kitab. PAS Kelantan ikut kitab Nik Aziz kononnya untuk jadi negara Islam. Di Selangor dia pakai kitab Khalid Samad dengan kitab Hasan Ali. Khalid Samad kata semasa kempen pilihan raya dulu Selangor negeri maksiat sebab BN yang bawa semua maksiat di sini. Dia kata akan tegakkan Islam kalau memerintah. Dia kata kalau dia memerintah, sebelum ayam berkokok, kilang Carlsberg akan tutup. Dia memerintah dua tahun, ayam dah puas berkokok, dia nak pindah dan besarkan lagi kilang itu sebab kecil, tak cukup besar lagi. |
Sumber: MalaysiaKini
0 comments:
Post a Comment