Kim Quek menyelar tindakan polis rampas bukunya...!!!!!!!!

on Aug 26, 2010

"Tangan kiri tidak sedar apa yang tangan kanan lakukan", demikianlah sindiran yang dilontarkan oleh Nathaniel Tan, penyunting buku berjudul "Di manakah keadilan?" (Where is Justice?) ketika mengulas dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa mereka tidak terlibat dalam rampasan buku yang dijalankan oleh polis.
Nathaniel Tan berkata sedemikian dalam satu sidang media bersama Kim Quek (gambar kiri), yang juga ditimpa nasib seperti dirinya.  Kim Quek, penulis buku Perarakan ke Putrajaya (The March to Putrajaya) menyelar tindakan polis untuk merampas bukunya sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang, malah bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kim Quek dimaklumkan pada 19 Ogos 2010 bahawa bukunya telah dirampas oleh polis, tetapi pihak polis tidak memberi sebarang penjelasan berhubung rampasan tersebut.

Apa yang menarik, ketika dihubungi Malaysiakini pada 21 Ogos, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Zaitun Ab Samad berkata bahawa KDN bukanlah pihak yang bertanggungjawab dalam tindakan rampasan berkenaan, malah menambah bahawa buku tersebut mungkin diambil polis, tetapi bukan KDN.

Lantaran daripada itu, Kim Quek menyelar polis kerana memberi "jawapan yang teruk", tanpa melihat kepada realiti bahawa pasukan polis berada di bawah bidang kuasa KDN.  Dengan sinis Nathaniel Tan pula menyindir, "Tangan kiri kerajaan langsung tidak sedar apa yang tangan kanan lakukan!"

Buku The March to Putrajaya adalah koleksi artikel Kim Quek yang diterbitkan oleh Oriengroup Sdn.Bhd pada Mac tahun ini.  Khabar rampasan buku oleh polis hanya tersebar selepas enam bulan selepas buku diedarkan dalam pasaran.  Rampasan buku dikhabarkan berlaku di Pahang, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan sebagainya sehingga hari ini.

Bilangan buku yang dirampas belum diketahui, tetapi maklumat yang diperolehi menunjukkan bahawa buku ini dirampas oleh pegawai special branch.  Pihak special branch hanya meninggalkan satu dokumen, namun tidak dinyatakan pegawai yang bertanggungjawab, unit mana yang menjalankan rampasan, malah tiada tandatangan pegawai penguatkuasa.

Polis mengambil keterangan penerbit

Sementara itu, tiga orang polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengambil keterangan daripada Pengarah Eksekutif Oriengroup Sdn.Bhd, Low Chee Chong di pejabatnya, semalam.  Selain daripada soalan biasa, satu-satunya soalan yang menyentuh kandungan buku itu berbunyi, "Apakah kamu menganggap buku ini akan menimbulkan suasana ketidakstabilan di Malaysia?"
Low Chee Chong (gambar kanan, kanan) yang diambil keterangan selaku saksi diberitahu bahawa siasatan dijalankan di bawah seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan Kim Quek pada hari ini, beliau menganggap bahawa seandainya tulisannya memberi kesan yang buruk kepada mana-mana pihak, maka langkah yang tepat adalah menyamannya di bawah Akta Fitnah.  "Adalah satu kesalahan dari segi moral mahupun undang-undang jikalau bertindak mengganggu kedai buku, menjejaskan kelarisan pengedaran buku saya."

Low: Debat seandainya tidak bersetuju

Malah, Low Chee Chong bagi pihak penerbit merakamkan penghargaan terhadap Kim Quek yang menyarat bukunya dengan idea-idea yang bernas.  Low mengalu-alukan sebarang kritikan terhadap kandungan buku ini, bahkan bersikap terbuka untuk sebarang perbincangan, bahkan perbahasan berhubung pandangan yang diketengahkan dalam buku tersebut.

Selain The March to Putrajaya, buku berjudul Where is Justice? dan 1 Funny Malaysiayang diterbitkan Malaysiakini book juga ditimpa nasib yang sama.  Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran yang turut hadir dalam sidang media berkata, tindakan polis untuk merampas buku menunjukkan bahawa "kerajaan kita kekurangan sense of humor", malah bertentangan dengan halatuju kerajaan Najib yang mahu menuju ke arah keterbukaan.
Pihak Malaysiakini books dan kartunis, Zunar telah membawa kes ini ke mahkamah, yang akan dibicarakan pada pagi esok.
Penyunting buku Where is Justice, Nathaniel Tan juga mengkritik siri tindakan kerajaan yang mengganggu kedai buku sejak kebelakangan ini.  Pihak kedai buku diselubungi ketakutan untuk menjual buku dari penerbit berkenaan lantaran daripada tindakan polis sedemikian, katanya.  Beliau menyeru agar polis menghentikan segera gangguan terhadap kedai buku, malah menambah, "Tiada baiknya untuk negara."

Selain Kim Quek, Nathaniel Tan, Low Chee Chong dan Premesh Chandran, mereka yang turut hadir dalam sidang media pagi ini termasuklah anggota WAMI (Writers Alliance for Media Independence) Josh Hong, Ng Yap Hwa dan Chong Ton Sin dari GerakBudaya.

Josh Hong dan Ng Yap Hwa menyeru semua penulis, penerbit dan pencetak agar bersatu untuk menentang pencabulan terhadap kebebasan bersuara, malah menggalakkan aktiviti protes bercorak karnival, agar orang awam dapat menyertainya tanpa rasa ketakutan.


-MerdekaReview-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List