KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Oktober untuk perbicaraan kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berjumlah RM100 juta.
Timbalan Pendaftar K. Pavani menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam S.N. Nair mewakili Anwar dan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah atas kedudukan peribadinya.
Anwar menyaman Anifah atas kedudukan peribadinya sebagai anggota Parlimen Kimanis serta kedudukan rasmi sebagai Menteri Luar, dan menteri itu dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, sementara kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.
Pada 27 Mei tahun lepas, Anwar memfailkan saman itu berikutan kenyataan Menteri Luar itu pada sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton 16 Mei tahun lepas, yang mendakwa ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya Ketua Pembangkang itu menubuhkan kerajaan pada 16 Sept, 2008.
Anwar juga mendakwa Anifah memfitnahnya dengan menyatakan beliau cuba membeli anggota Parlimen dan mencemarkan imej negara.
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment