Pemilihan AMK : Badrul anggap persaingan 'adik beradik'

on Aug 26, 2010

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Pertembungan tiga penjuru pada pemilihan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) November depan seharusnya mengajak setiap ahli parti itu mengangkat semangat baru dalam PKR.

Demikian harapan salah seorang calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

"Saya tidak akan umum bertanding, biarlah 'adik beradik' dalam AMK yang menentukan pemimpin mereka dengan ruang demokrasi ini.

"Ini pertandingan dalam keluarga, pertandingan adik beradik takkan perlu abang memburukkan adik atau sebaliknya," ujarnya.

Padanya, Shamsul Iskandar Md Akin telah memberi sumbangan yang termampu sejak mengetuai AMK selama ini.

Rekod kepemimpinan Shamsul menurutnya sudah tentu memberi kelebihan pada Ketua AMK itu berbanding dirinya dan seorang lagi calon Ketua AMK, Rafizi Ramli.

"Kita perlu menyuntik budaya politik baru, bukan atas atas arahan atau sentimen atau retorik semata-mata.

"Cara berkempen harus seiring dengan semangat demokrasi yang melebar dalam AMK yang memberi kuasa pada ahli.

Menurutnya inisiatif akar umbi AMK Perak mengadakan dialog calon ketua AMK menjelang pemilihan kelak adalah baru dalam parti itu dan seharusnya disambut secara sihat oleh semua.

"Seharusnya dipertemukan semua, diberi ruang yang sama, bentangkan apakah tawaran (manifesto) yang nak dibawa serta ke mana AMK ini nak dihalakan," ujarnya.

Selain itu, pemilihan AMK kali ini juga jelasnya penting dalam suasana menjelang pilihanraya Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

Sehingga kini menurutnya, AMK tidak mempunyai satu cabang pun di Sarawak dan tindakan segera perlu diambil.

"Sarawak tidak lama lagi akan hadapi pilihan raya tetapi tidak ada satu pun cabang rasmi AMK sedangkan AMK mesti bina jentera dan kekuatan di sana...sebab potensi kita ada di sana," tambahnya.

-Harakahdaily-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List