Sedang ghairah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah ke hulu ke hilir seluruh pelosok negeri Kedah kononnya untuk memulihkan Umno di negeri ini, tiba-tiba 11 ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Alor Setar meletakkan jawatan.
‘Pukulan’ kepada Ahmad Bashah ialah kerana Alor Setar adalah bahagian yang dipimpinnya. Bagaimana dia nak menyatukan Umno Kedah yang sedang berpecah-belah, kalau bahagian yang dipimpinnya sendiri bercelaru.
Dalam catatan politik tanahair hampir tidak pernah berlaku perletakan jawatan yang begitu ramai dalam sebuah parti yang besar seperti Umno. Ia sangat mengejutkan.
Setelah usaha memujuk mereka kembali kepada jawatan dilakukan dengan serius hanya tiga orang sahaja yang bersedia kembali. Itupun dikatakan berlaku selepas mereka dihulurkan sumbangan duit raya dengan jumlah yang ramai orang akan ketawa mendengarnya.
Perletakan jawatan beramai-ramai ini berlaku selepas beratus ahli Umno dari kawasan DUN Bakar Bata dan Alor Mengkudu (dalam Parlimen Alor Setar) keluar parti untuk menyertai PAS beramai-ramai.
Sama ada cerita perletakan jawatan beramai-ramai ini berlaku dengan percaturan pihak lain atau ‘keikhlasan’ mereka sendiri maka yang pasti imej Dato’ Bashah sebagai calon Menteri Besar Kedah jatuh menjunam. Spekulasi bahawa dia akan diangkat menjadi Pengerusi Perhubungan berakhir di situ sahaja.
Menurut sumber dalaman Umno, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom akan dilantik dalam masa terdekat sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah menggantikan Dato’ Shafie Afdhal yang sudah hilang keyakinan terhadap masa depan Umno negeri ini.
Serentak itu juga Jamil Khir adalah calon Menteri Besar bayangan BN. Sejak mendapat ‘arahan’ pihak atasan itu, anak aktivis PAS Jerai itu begitu kerap turun kawasan dengan memberi tumpuan kepada DUN Guar Chempedak.
Kawasan DUN Sungai Limau yang diwakili Dato’ Seri Ustaz Azizan tentulah bukan kerusi pilihan bagi Jamil Khir kerana di waktu PAS Kedah paling lemah pun, kerusi tersebut tidak pernah dirampas oleh BN.
Khabarnya banyak habuan duniawi telah dihampurkan beliau kepada penduduk di situ dengan menggunakan kedudukannya sebagai menteri.
Sekarang Jamil Khir adalah ketua Penerangan Umno Kedah. Dia dianggap tokoh paling layak memimpin Umno negeri ini.
Soalnya dalam Umno ia tidak semudah itu. Tan Sri Sanusi Junid yang tinggi profailnya dalam Umno Pusat pun, jadi ‘orang asing’ bila balik memimpin Umno Kedah.
Bukan setakat di peringkat negeri, di peringkat DUN Guar Chempedak pun usaha menyekat Jamil Khir sudah berlaku.
Calon lain untuk jawatan Menteri Besar Kedah BN dalam bayangan ialah Datuk Mukhriz Mahathir. Sebab itulah namanya turut tersenarai sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil Kota Siputeh. Dia dianggap bisa selagi Tun Dr. Mahathir masih bernafas.
Seorang lagi calon yang dijangka tidak akan mengalah ialah Ketua Pembangkang DUN yang juga bekas Menteri Besar. Buat masa ini dia masih mempunyai rangkaian di Kedah namun kian lemah.
Biasalah, budaya Umno mereka tidak akan bersandar kepada pemimpin yang tiada kuasa. Dato’ Seri Mahdzir Khalid menjadi sasaran belasahan blog-blog Umno Kedah atas pelbagai isu.
Senario politik semasa di Kedah makin menjarakkan mereka dengan persada kuasa. Rata-rata veteran Umno yang ditemui di negeri ini tidak yakin bahawa Umno akan kembali berkuasa. Bukan kerana parti itu tidak besar tetapi perpecahan dalaman mereka sudah berada di tahap kronik.
Agak menarik jika dalam keadaan nazak begitu pun, jawatan Menteri Besar sudah jadi perhitungan.
Setiap isu yang berlaku dalam negeri tidak lagi menjadi talian hayat mereka. Sebaliknya semua isu yang mereka cuba manipulasikan kembali menikam diri sendiri.
Terbaru ialah isu banjir lumpur di Sik yang kononnya diakibatkan oleh aktiviti pembalakan yang berlaku di situ. Sedang ghairah mereka menuding jari menyalahkan kerajaan negeri, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa lesen pembalakan di kawasan itu diluluskan di zaman BN.
Kompartment 73 Hutan Simpan Rimba Teloi telah diluluskan untuk pembalakan pada 25 Ogos dan 9 November 2005, dan ia dibahagikan kepada tujuh blok.
Tiga blok telah dikeluarkan lesen menebang, 4 blok lagi belum diberi lesen menebang kerana belum sempurna prosedur yang perlu laksanakan.
Khabarnya, salah satu blok yang belum dapat lesen menebang itu dianugerahkan kepada ADUN yang beriya-iya menjuarai isu banjir lumpur tersebut. Kini dia pula yang diselaputi lumpur apabila orang kampung semua dah tahu.
Memang menjadi amalan sejak berzaman, ahli politik tidak akan menggunakan nama sendiri dalam perebutan balak. Di atas kertas hanya nama proksi yang digunakan sebagai pemilik lesen tapi pihak yang terbabit tahu, ini kawasan si anu si anu.
Setiausaha Politik Menteri Besar dalam blognya mendedahkan, biasanya apabila surat tawaran kelulusan balak dikeluarkan, pemilik sebenar ataupun ‘politikus balak’ akan menerima bayaran untuk bahagiannya, dan dia tak akan muncul lagi dalam apa-apa urusan di kawasan itu. Pemilik atau penama lesen akan dapat bayaran duit lesen RM50 ribu (biasanya) untuk satu kawasan.
Pengusaha itu patut mendapat apa yang diusahakan, dan pemilik lesen pun patut dapat habuan dia kerana dia membayar duit lesen setiap tahun di samping cukai syarikat. Yang untung ialah 'pemilik sebenar' yang bersembunyi di sebalik lesen dan pengusaha tersebut.
Di zaman balak dianugerahkan secara besar-besaran dengan hanya premium RM1000 bagi hutan dara dan RM500 bagi hutan sudah kerja (KSK), para ‘politikus balak’ ini mengaut keuntungan berjuta ringgit. Duit ini akan diguna untuk mendapat tempat dan membina pengaruh untuk memanjat hierarki dalam parti politik.
Apabila tiba-tiba, datangnya banjir lumpur yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan; maka pemimpin-pemimpin Umno berlumba-lumba nak jadi juara rakyat, ia mengingatkan kita kepada pepatah Melayu ‘kokok berderai-derai tapi badan penuh najis.’
0 comments:
Post a Comment