Rakyat Malaysia Bersikap Waspada Tetapi Tenang.

on Aug 26, 2010

malay indon

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang menetap di Indonesia mengambil sikap berwaspada tetapi tenang berikutan ancaman kumpulan nasionalis negara itu, Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), mahu memulakan operasi "menyapu" (sweeping) dengan menghantar pulang semua akyat Malaysia.
Timbalan Pengerusi Persatuan Mahasiswa Nasional Malaysia di Indonesia Mohd Nazaluddin Mat Nasir berkata, seramai 6,000 pelajar yang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh Indonesia, termasuk 800 pelajar di Jakarta, tidak terlibat dengan demonstrasi ini dan mereka berada dalam keadaan selamat.
"Setakat ini tidak kedengaran peristiwa "menyapu" berlaku dan kumpulan yang berdemonstrasi ini sebenarnya diperbesarkan oleh media," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
Bagaimanapun katanya, kami menasihati para pelajar yang kebanyakannya berada di Jakarta untuk bertenang dan mengelak dari mengunjungi kawasan-kawasan hitam.
"Sebagai contoh, Jalan Diponegoro di mana terletak pejabat Bendera, mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memeriksa rakyat Malaysia apabila tidak ada anggota polis," katanya.
Menurut beliau, persatuannya sentiasa bekerja rapat dengan Jabatan Pelajar Malaysia dan oleh demikian keselamatan tidak menjadi masalah serius buat para pelajar.
Bendera merupakan kumpulan kecil
Nazaluddin berkata, "Bendera hanya merupakan sebuah kumpulan yang kecil. Kami mempunyai Prosidur Operasi Standard di mana apabila berlaku protes, biasanya kami berdiam diri untuk seketika.
"Dan kami tidak akan bertembung dengan mereka.  Secara keseluruhannya, Indonesia merupakan tempat yang selamat buat kami," kata beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata perayaan kemerdekaan tahun ini menjadi lebih hambar ekoran insiden ‘panas’ itu.
Sementara itu, Pengurus Besar syarikat perladangan Kumpulan P T Sarimas Group J Suparmaniam berkata Indonesia merupakan sebuah negara yang aman dan tidak ada yang perlu dibimbangkan.
"Kami sedikit pun tidak merasa bimbang.  Sebagai ‘expatriate’, kami merasa selamat kerana kerajaan Indonesia melayan kami dengan baik. Di Jakarta, jumlah penduduknya sama dengan Malaysia, tentu ada segelintir yang ingin membuat kacau," katanya.
Beliau bekerja di Sumatera tetapi menetap di beberapa tempat di Indonesia selama sembilan tahun, seperti Jakarta, Pontianak dan Kalimantan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Ahmad Farid Asyraf Ramli, berkata keadaan di Jakarta kini terkawal namun amaran berjaga-jaga perlu di patuhi setiap pelajar pada setiap masa.
Menurutnya, notis amaran dikeluarkan pihak kedutaan Malaysia di Jakarta pada Isnin lalu dan menasihatkan mereka supaya tidak keluar di tempat-tempat umum mahupun di kawasan berlakunya demonstrasi itu.
"Alhamdullillah…setakat ini tiada masalah serius dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di sini. Namun kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga seperti amaran yang dikeluarkan pihak Kedutaan.
Keluar secara berkumpulan
"Kami tidak boleh pergi ke tempat awam secara sendirian, perlu berkumpulan. Malah mahasiswa diminta menghindari dan menjauhi kawasan kejadian khususnya Jalan Diponegoro," terang beliau.
Kawasan tersebut menurut Ahmad Farid dikenalpasti antara kawasan akan berlakunya ‘penyapuan’ ke atas rakyat Malaysia.
Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia (JPMI) Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata keadaan keselamatan rakyat Malaysia di Jakarta masih terkawal.
"Aktiviti-aktiviti harian dilakukan seperti biasa, namun pihaknya akan terus memantau kawasan yang diramalkan akan berlaku ‘penyapuan’ tersebut," ujar beliau.
Beliau turut menasihati para mahasiswa mahupun rakyat kita agar mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihaknya.
"Setakat ini keadaan rakyat mahupun mahasiswa kita dalam keadaan stabil. Jumlah mahasiswa pun kurang kerana mereka balik bercuti.
Menurut Junaidi, insiden itu tercetus akibat propaganda media massa, kumpulan NGO serta ahli politik Indonesia.
"Mereka ini memainkan sentimen menabur api provokasi sehingga berlakunya insiden tersebut. Namun ancaman itu tidak dituju kepada mana-mana pihak dan ia lebih kepada ancaman umum," jelasnya.
Katanya lagi, pasukan keselamatan Indonesia turut memberi kerjasama yang baik bagi melindungi rakyat Malaysia di sana.
Keadaan terkawal
Dalam perkara berkaitan, FMT turut mendapatkan maklumat lanjut keadaan pelajar Malaysia di beberapa wilayah lain di negara itu.
Pelajar bidang syariah di Institusi Islam Negeri Ar-Raniri, Acheh, Zaim Irshad, 25, berkata keadaan di sana terkawal namun mereka mengambil langkah berjaga-jaga.
Zaim mendakwa sebarang demonstrasi oleh aktivis ‘Bendera’ akan mensasarkan negeri-negeri yang mempunyai konsul atau pejabat kedutaan Malaysia.
Kebimbangan itu disuarakan kepada FMT memandangkan insiden dilakukan aktivis ‘Bendera’ bukan sesuatu yang asing di Indonesia.
Memetik laporan Berita Harian online hari ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau tidak menggalakkan rakyat Malaysia berkunjung ke Indonesia buat masa ini kecuali membabitkan urusan penting dan perlu disegerakan.
Menurut Anifah, setakat ini Wisma Putra belum mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan rasmi ke Indonesia.
Isnin lalu, ahli Bendera menyapu najis manusia pada bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta dan memijak-mijak bendera Jalur Gemilang.
Mereka memprotes terhadap penahanan tiga pegawai miritim Indonesia oleh pihak berkuasa Malaysia di kawasan perairan yang dipertikaikan berhampiran Riau seminggu yang lalu.
-FreeMalaysiaToday-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List