KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Harapan Mohammad Fadhlullah Abdul Razak, 28, tahanan terbaru ISA untuk beraya bersama keluarga bulan depan mungkin malap.
Menurut Hasnol Hadi Abdul Razak, 25, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum memberitahu tentang status tahanan abangnya itu sejak ditahan 36 hari lalu.
Bagaimana pun, katanya, Polis memanggil waris Fadhlullah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok.
"Setakat ini, tidak ada apa-apa lagi tetapi esok, polis panggil kami ke Bukit Aman.
"Saya kerja, kedua-dua ibu bapa saya mungkin pergi melawat abang esok," ujarnya tengah hari tadi pada Harakahdaily.
Beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri akan membebaskan abangnya itu sebelum raya ekoran tiada dakwaan yang jelas ke atas abangnya itu.
Difahamkan, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA membolehkan seseorang tahanan tanpa bicara ditahan maksimum selama 60 hari untuk membantu siasatan.
Turut difahamkan, berdasarkan Seksyen 8, ISA, tahanan tanpa bicara itu memberi kuasa kepada seorang Menteri Dalam Negeri untuk mengizinkan seseorang itu ditahan atau sebaliknya.
Lanjutan itu, katanya lagi, pihak pembelaan yang dilantik telah mengfail permohonan habeas corpus atau 'hak untuk bersuara di mahkamah' beberapa hari lalu.
20 Julai lalu, Fadhlullah ditahan di Sungai Buloh oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.
Menurut laporan Harakahdaily, Hasnol ditahan kononnya demi memerangi keganasan Jamaah Islamiah (JI) dalam negara.
Namun, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri beberapa hari kemudian pada satu kenyataan media di ibu negara mengaku di depan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa Kuala Lumpur komited bersama Washington dalam memerangi keganasan global.
-Harakah daily-
0 comments:
Post a Comment