KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan Umno-Barisan Malaysia serta Kementerian Luar diselar kerana mengambil sikap sambil lewa terhadap nasib Yong Vui Kong, seorang rakyat Malaysia dari Sabahyang kini berdepan dengan hukuman gantung di Singapura.
Jurucakap kumpulan peguam 'Lawyers For Liberty', N Surendran berkata Kementerian Luar yang diterajui oleh Datuk Seri Anifah Aman yang juga merupakan adik kepada Ketua Menteri Sabah, seolah-olah berpeluk tubuh dan tidak menghiraukan langsung nasib yang bakal menimpa Vui Kong.
"Ini merupakan amaran kepada kerajaan Malaysia dan juga kepada Singapura. Kami kecewa dengan sikap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang gagal untuk memberikan bantuannya kepada Yong Vui Kong. Dia (Anifah) yang berasal dari Sabah telah gagal untuk membantu rakyat Malaysia yang juga berasal dari Sabah.
"Kita akan mengambil tindakan yang lebih tegas daripada (penyerahan memorandum) ini, untuk menghukum kerajaan Malaysia termasuk melalui peti undi. Rakyat Sabah diminta untuk mengambil pendirian berikutan sikap tidak peduli kerajaan terhadap orang dari negeri anda," tegas Surendran di perkarangan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Jalan Tun Razak pagi semalam bagi menyerahkan memorandum membantah penafian hak kepada Vui Kong untuk mendapatkan proses keadilan yang sewajarnya.
Turut bersama menyerahkan memeorandum tersebut termasuk Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran, Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya serta 20 orang penyokong kempen tersebut.
Mereka tidak dibenarkan untuk memasuki bangunan suruhanjaya tinggi untuk menemui Pesuruhjaya Tinggi Singapura T Jasudaseen tetapi hanya dibenarkan menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Pertama, Walter Chia.
Kumpulan penyokong tersebut turut membawa kain rentang yang memaparkan mesej antaranya 'Singapura, Hentikan Pembunuhan' dan 'Berikan Keadilan Kepada Yong Vui Kong'.
Kenderaan yang lalu di jalan utama berhampiran dengan bangunan kedutaan Singapura turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Sehubungan itu Manikavasagam melahirkan kekecewaannya berikutan kegagalan pihak Suruhanjaya Tinggi Singapura untuk mengaturkan pertemuan antara kumpulan Ahli Parlimen Malaysia dan peguam Jasudaseen.
"Saya telah menghubungi pihak suruhanjaya tinggi sebelum ini untuk mengadakan pertemuan, tetapi malangnya gagal. Saya sangat kecewa. Sekiranya mereka masih lagi mahu meneruskan hukuman tersebut, kami akan datang untuk mengadakan demonstrasi lebih besar disini, dan kami akan bawa keranda sebagai tanda kekecewaan kami.
"Kami serius dengan tindakan akan datang dan kami turut kecewa dengan sikap kerajaan Malaysia yang gagal memberikan tekanan dan bantuan. Sebelum ini pun, pernah juga terjadi rakyat Malaysia telah dihukum tanpa mendapat bantuan dan kehakiman yang sewajarnya. Kali ini, tolong berikan peluang kedua kepada Yong Vui Kong," ujar Manikavasagam.
Sumber:- SuaraKeadilan
0 comments:
Post a Comment